
 KALAU orang lain mempunyai kampung halaman untuk pulang meraikan  lebaran, Sazzy Falak pula hanya mengenali Kuala Lumpur sebagai kampung  halamannya. Sejak 29 tahun lalu, di situlah tempat dia dan keluarganya  berkumpul untuk meraikan hari mulai itu.
 Walaupun tidak pernah melalui kehidupan suasana desa, Sazzy tidak  terkilan. Kehadiran ibu bapa dan sana saudara sudah cukup memeriahkan  sambutan Aidilfitri. Setiap tahun, menjadi kewajipan wanita itu  berkumpul bersama sanak saudara di rumah datuk dan neneknya di Kampung  Melayu Ampang.
  Di situlah dia dan ahli keluarganya berkumpul. Setiap kali berkumpul,  pelbagai aktiviti yang akan dilakukan bersama-sama. Sebagai sepupu yang  paling besar, dia umpama ketua yang perlu melayan kerenah sepupu lain  yang lebih muda.
 "Keluarga saya sangat 'gila'. Apabila kami  berkumpul di rumah datuk dan nenek, memang kecoh jadinya. Ada saja  aktiviti yang akan kami lakukan, termasuklah ibu bapa kami. Mereka pun  biasanya akan turut serta. Malah ada ketikanya, orang dewasa akan lebih  kecoh daripada kanak-kanak.
 "Biasanya aktiviti kami adalah  bermain bunga api bersama. Sementara itu yang wanita pula akan sibuk di  dapur tetapi sejak dulu lagi saya memang 'diharamkan' daripada masuk  dapur oleh nenek kerana saya kurang mahir dengan kerja dapur.
 "Jadi  tugas saya setiap kali kami berkumpul adalah mengemas rumah saja,"  katanya yang akan pulang ke rumah suaminya, Nazril Idrus di Port  Dickson, Negeri Sembilan pada hari raya pertama nanti.
Kata Sazzy, tahun ini giliran pulang ke kampung suaminya tetapi  mereka hanya akan pulang ke sana pada pagi raya dan berada sehari suntuk  di sana. Biasanya mereka tidak bermalam di sana kerana rumah keluarga  Nazril dipenuhi sanak saudara.
 Sepanjang empat tahun melayari  bahtera rumah tangga, pernah juga terlintas dalam fikiran pasangan itu  untuk menginap di hotel saja. Namun bila memikirkan ia membazir  sedangkan perjalanan dari Port Dickson ke Kuala Lumpur bukannya jauh,  pasangan itu mengambil keputusan untuk pulang saja pada hari sama.
 Mengenai  persiapan raya, Sazzy berkata dia hanya membuat persiapan ala kadar  saja. Seperti biasa, dia akan menyediakan kuih-muih sementara baju raya  pula hanya sekitar dua pasang saja. Mujur suaminya mempunyai banyak  koleksi baju Melayu, justeru, Sazzy tidak perlu pening kepala mencari  baju raya untuk suaminya. Kebetulan setiap warna baju dimiliki suaminya,  jadi dia tidak perlu untuk tampil sedondon.
 Selepas empat tahun  mengikat janji sehidup semati, nampaknya masih belum ada sebarang  petanda pasangan itu akan menimang cahaya mata. Seperti pasangan yang  lain, Sazzy dan suami sudah bersedia untuk menimang cahaya mata tetapi  sehingga ke saat ini, mereka masih belum dikurniakan rezeki.
 "Kami sudah bersedia untuk memiliki anak, tetapi nampaknya sehingga kini  kami masih belum ada rezeki. Lagi pun kami masing-masing sibuk, jadi  mungkin belum waktunya untuk kami memikirkan mengenai anak lagi,"  katanya yang memegang watak Jane di dalam filem 4 Madu.
 Tidak letakkan sebarang kelas
 Ternyata  gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-19  sememangnya layak menjadi miliknya apabila wanita itu berjaya  menghidupkan watak Jane dengan cukup baik.
 Watak Jane dibawakan  dengan cukup bersahaja oleh Sazzy, malah boleh dikatakan wataknya serta  dua lagi pelakon iaitu Bienda dan Rosnah Mat Aris paling menyerlah.
 Sazzy  berkata, dia sendiri tidak percaya mampu membawakan watak komedi. Bagi  menghayati watak Jane yang gemar bertutur dengan slanga orang putih,  Sazzy hanya menjadikan rakan-rakannya sebagai rujukan. Katanya, mujur  dia banyak menggunakan perkataan Inggeris di dalam filem berkenaan,  justeru dia lebih lancar untuk berbuat lawak berbanding bahasa Melayu.
 Ditanya  apa pula yang membuatkan dia terpanggil untuk berlakon di bawah arahan A  Razak Mohaiden sedangkan dia lebih dikenali sebagai pelakon kelas  urban.
Kata Sazzy, dia tidak pernah melabelkan dirinya pada kelas  mana tetapi apa yang membuatkannya mahu mencuba kerana tawaran dari  Razak sendiri.
 "Saya tak kisah bekerja dengan sesiapa pun. Bagi  saya setiap karya yang dihasilkan perlu saya hargai. Saya juga tak  pernah meletakkan diri saya di tahap mana, saya adalah artis Malaysia.  Jadi saya bebas menerima tawaran daripada sesiapa.
 "Sebelum  berlakon dengan prof, saya tak tahu pun kemampuan melakonkan watak  komedi. Kalau boleh saya tak mahu lagi bawakan watak yang sama tetapi  sekiranya peminat masih mahu melihat saya berlakon watak komedi, saya  akan cuba tunaikan kehendak mereka," katanya.
  						 												  					Full content generated by Get Full RSS.