
FAIZAL HUSSEIN pastinya bukan satu nama yang kecil dalam industri   lakonan tempatan kerana mempunyai pengalaman 30 tahun dalam industri   selain telah membintangi kira-kira 25 buah filem.
Terbaru, aksinya filem Bunohan arahan Dain Said memberi impak tersendiri buat pelakon bertubuh kurus dan tinggi lampai ini.
Membawakan watak seorang pembunuh upahan bernama Ilham yang telah   diupah untuk membunuh adiknya sendiri, mainan jiwa dan konflik dalaman   yang dipersembahkan Faizal menyaksikan kehebatan lakonan anak pasangan   seniman Hussein Abu Hassan dan seniwati Mahyon Ismail ini.
  Tidak hairanlah filem 
Bunohan yang diterajui oleh Faizal itu mendapat sambutan baik dan tercalon dalam beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.
Tentu sekali dengan bakat, pengalaman dan statusnya sebagai pelakon   berwibawa membuatkan Faizal berada dalam kelasnya tersendiri.
Pasti ada pihak tertanya-tanya apakah Faizal sudah merasakan dirinya   hebat sehingga tidak mahu terlibat dengan filem yang melibatkan individu   yang masih baru dalam industri.
  Namun pelakon yang melonjak namanya dengan watak Azroy dalam filem 
Gila-Gila Remaja pada tahun 1986 dan 
Bayangan Maut   pada tahun 1990 ini menyangkal dakwaan itu sebaliknya mengatakan bahawa   dia bersikap terbuka untuk bekerja dengan sesiapa sahaja.
"Apa yang telah saya lakukan selama ini tidak boleh dijadikan   penyebab untuk saya mendabik dada atau meletakkan diri satu tahap lebih   tinggi berbanding pelakon lain.
"Secara jujur, saya gemar bekerja dengan pelbagai pihak kerana secara   tidak langsung dapat memberikan saya pengalaman berbeza kerana cara   kerja setiap orang berlainan.
"Apa yang penting, sebagai pelakon kita perlu memastikan mutu lakonan   yang diberi sentiasa berada pada tahap terbaik dan akhirnya kita akan   dinilai daripada lakonan kita, bukan dengan siapa kita berlakon,"   jelasnya.
Kekal lasak
Terdapat banyak gaya lakonan dalam bidang perfileman, ada antaranya   memerlukan permainan emosi dan penjiwaan watak yang berat tetapi kurang   penggunaan tubuh badan secara fizikal dan ada sebaliknya.
Merupakan suatu bonus apabila seseorang pelakon itu dapat membawakan   watak dengan baik dalam melakonkan adegan yang memerlukan penggunaan   fizikal yang tinggi dan juga permainan emosi yang berat.
Itulah yang sudah dilakukan oleh Faizal apabila mula melibatkan diri dalam bidang lakonan pada tahun 1982 melalui filem Senja Merah.
  "Saya merupakan seseorang yang gemar aktiviti lasak dan saya gabungkan dua minat saya iaitu berlakon dan aksi lasak sekali gus.
"Kini pada usia 45 tahun, saya masih lagi melakonkan babak-babak aksi   yang saya gemar semasa zaman remaja dahulu dan mujurlah keadaan fizikal   saya masih mengizinkan," katanya.
Terbaru, Faizal bakal tampil dengan sebuah lagi filem aksi terbitan Metrowealth Productions (MIG) bertajuk Longkai yang diarahkan sutradara Hashim Rejab.
Faizal berkata, dia masih tidak mempunyai masalah untuk melakonkan   babak-babak aksi kerana dia sememangnya mengamalkan gaya hidup yang   sihat dan aktif.
"Saya merupakan seseorang yang sukakan gaya hidup lasak kerana   apabila mempunyai masa terluang antara aktiviti kegemaran saya adalah   bersukan dan bermain sukan paintball.
"Selain itu, saya juga gemar melakukan watak aksi sendiri berbanding   menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri kerana bagi saya, ia memberikan   kepuasan yang berbeza apabila babak aksi itu dilakukan diri sendiri,"   katanya.
Walaupun begitu, Faizal juga akan mendapatkan pandangan pengarah dan   kru produksi terlebih dahulu kerana semua keputusan bergantung kepada   mereka sama ada dia dibenarkan melakukan aksi itu sendiri atau perlu   dilakonkan pihak lain. [UM]