Artis kacukan Melayu-Inggeris Diana Danielle sememangnya dikenali  sebagai pelakon, namun Diana juga sempat bergelar seorang penyanyi  apabila dia muncul dengan lagu single berjudul Tak Pernah Ada.
 Selain itu, kekasih kepada aktor Farid Kamil ini juga pernah  berkolaborasi bersama Mawi menerusi lagu Penyembuh Rindu dan lagu Radio  duet bersama Imran Ajmain  serta pelawak terkenal, Nabil.
 Disebabkan bakat yang ada pada Diana atau nama sebenarnya, Diana  Danielle Danny Beeson, 20, dia menjadi pilihan pihak penganjur, Dirich  Vision Sdn. Bhd. untuk menjayakan persembahan sempena Festival Pengantin  Malaysia ke-11 yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 April ini di Dewan  Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
 Selain Diana, festival yang bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam itu  turut mengundang penyanyi lain seperti Alif Satar, Ila Damia dan  Altimet. Diana dan Alif dijangka  menghiburkan bakal pengantin pada hari  Sabtu iaitu 7 April, pada pukul 2 petang. 
 Penyanyi rap Altimet dan Ila Damia pula akan berkongsi pentas  menghiburkan ribuan pengunjung pada keesokannya (Ahad), pada pukul 3  petang.
 Diana berkata, inilah kali pertama dia menerima undangan Festival  Pengantin Malaysia dengan kunjungan lebih 15,000 orang pengunjung setiap  kali diadakan sekitar Lembah Klang.
 "Mungkin saya lebih dikenali sebagai pelakon, tetapi saya juga  meminati bidang nyanyian. Saya sudah memiliki dua lagu single, Penyembuh  Rindu dan Radio. Menerusi dua lagu berkenaan, saya kerap menerima  undangan pentas nyanyian. 
 "Saya juga pernah diundang sebagai artis pembuka tirai konsert peniup  saksofon antarabangsa, Kenny G, tahun lalu. Alhamdulillah, rezeki  nyanyian semakin terbuka luas," ujarnya.
 Diana mengakui cukup terharu apabila diundang sebagai salah seorang  penyanyi pada Festival Pengantin Malaysia. Undangan itu sebagai bukti  bakat nyanyian diakui oleh pihak penganjur.
  "Saya terharu diundang ke festival pengantin. Bagi saya, festival  pengantin ini memudahkan bakal pengantin membuat pilihan dalam merancang  majlis bersejarah mereka.
  "Festival khas untuk mempelai itu juga akan menampilkan pakar dalam  bidang perkahwinan bersatu di bawah bumbung yang sama untuk menyediakan  perkhidmatan kepada bakal pengantin, sekali gus memudahkan mereka untuk  merancang persediaan majlis yang bakal berlangsung secara gemilang  kelak.
   "Apa yang menarik, mereka boleh mendapat tawaran harga yang  istimewa sepanjang festival pengantin ini berlangsung, yang tidak boleh  dinikmati pada hari-hari biasa. Ini adalah peluang keemasan untuk mereka  merancang perkahwinan mereka serta boleh berjimat," katanya.
 Sementara itu, Pengarah Dirich Vision Sdn Bhd, Nor Sharlina Abdul  Rashid, berkata Festival Pengantin Malaysia, salah satu platform untuk  usahawan yang terbabit dalam industri perkahwinan untuk menyertainya. 
 Dalam festival berkenaan, pihak penganjur menyediakan ruang pameran  yang lengkap bagi pengusaha mempamerkan hasil reka cipta secara terus  kepada bakal pengantin.
 "Antara perkhidmatan disediakan ialah andaman pengantin, perancang  perkahwinan, fotografi dan videografi, kad kahwin, cenderamata,  perhiasan, aksesori, dewan majlis perkahwinan, ejen perancang industri  perkahwinan, pusat penjagaan kecantikan dan perkhidmatan katering.
 "Selain itu, penganjuran festival ini dapat dijadikan platform untuk  usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan mereka, yang  mana  pengusaha butik perkahwinan dapat memberikan khidmat nasihat di gerai  pameran masing-masing, sekali gus menambah bilangan pelanggan.
  Bagi keterangan lanjut, mereka yang berminat boleh layari laman sosial  Facebook Festival Pengantin Malaysia.