Browse >   
Home / 
Hiburan / Kalau sudah jodoh… – Aida Aris 	 
 			 						 			 			 			 			  			  
 APABILA panahan cinta sudah menembusi ke dasar hati, singkat atau  panjangnya tempoh perkenalan, bukanlah satu ukuran untuk memutikkan  bunga-bunga kasih. Apatah lagi jika insan yang ditemui itu memang sudah  ditakdirkan untuk menjadi pasangan hidup, pastinya ia tidak mampu  ditolak walau dengan apa alasan sekali pun.
 Begitulah gambaran terbaik untuk menceritakan perkenalan yang diatur  oleh seorang teman, yang akhirnya membawa pelakon dan penerbit, Aida  Aris dan Husfarid Shaikh Ali@Shaikh Hussain untuk diijabkabulkan di  bawah langit 25 Ramadan, pagi Sabtu lalu.
 Tidak sukar untuk Ketua Pramugara di syarikat penerbangan MAS itu untuk  menawan hati pelakon jelita dan tinggi lampai ini. Dengan tempoh  perkenalan yang cukup singkat iaitu dua bulan, bulat tekad Husfarid  untuk melamar pemilik nama penuh Siti Rohaida Mat Aris ini untuk menjadi  suri hidupnya.
 Kami diperkenalkan seorang rakan sekolah saya. Sebaik saja melihat  wajahnya, saya tahu dia seorang pelakon kerana pernah terpandang  wajahnya di kaca televisyen. Dari situ kami mula bersembang dan timbul  rasa senang dalam hati saya apabila bersamanya. Apabila sudah suka, saya  pun mendapatkan nombor telefonnya daripada rakan saya tadi, lalu  mengajaknya keluar.
 Tapi kami tidak keluar berdua. Sebaliknya bersama-sama rakan yang  lain. Dia memperkenalkan saya kepada semua rakan-rakannya. Selepas dua  bulan menjalinkan hubungan, pada April lalu, saya mengambil keputusan  untuk melamar dirinya dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah  tangga secepat mungkin, cerita Husfarid membuka bicara pagi itu.
 Tempoh dua bulan bagi sesetengah orang cukup singkat untuk mengenali  hati budi seseorang. Apatah lagi jika ia membabitkan soal jodoh dan  perkahwinan tentunya tidak elok jika di buat secara tergesa-gesa. Namun  bagi Husfarid, jika hati sudah berkenan dan lebih-lebih lagi jika  perkara baik seperti ini, untuk apa dilengah-lengahkan.
 Selepas mengenalinya, saya dapat berasakan keserasian antara kami  berdua. Mengenali Aida, dia tak poyo, tidak sombong dan apa yang penting  saya dapat rasakan keikhlasan hatinya, luah duda kepada sepasang cahaya  mata ini.    Aida yang kelihatan anggun mengenakan kebaya moden rona perak rekaan  Arefen Zaidin itu juga bersetuju dengan apa yang dikatakan suaminya.  Tegasnya, jika hati sudah terpikat, tak perlu untuknya menunggu lebih  lama.
 Panjang atau singkatnya perkenalan bukanlah satu jaminan dalam  kebahagiaan. Ada yang lama berkenalan, tetapi kalau nak bercerai,  bercerai juga. Bagi saya, apabila sudah bertemu dengan apa yang saya  cari, untuk apa saya tangguh lagi? Seperti jawapannya, saya juga  tertarik dengan keikhlasan yang ditunjukkan, luah Aida yang sudah lima  tahun memegang status janda.
 Jarang sekali ada pasangan memilih bulan Ramadan untuk disatukan  sebagai pasangan suami isteri, namun Aida dan suaminya bagai menongkah  arus apabila diijabkabulkan pada bulan Ramadan. Apakah memang ini suatu  impian buat pasangan suami isteri ini?
 Sebenarnya kami tak terfikir untuk mengadakan majlis pada bulan  puasa. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Kalau boleh kami nak  mengadakannya lebih awal, namun disebabkan urusan dokumen perkahwinan  ada masalah, maka kelulusan untuk bernikah hanya kami dapat baru-baru  ini. Perkara yang baik bagi saya tak perlu ditangguhkan.
 Selepas mendapat persetujuan daripada keluarga kedua-dua belah  pihak, kami memutuskan untuk bernikah pada hari ini. Lagi pun memang  hasrat kami untuk mengadakan majlis pernikahan ini seberapa ringkas yang  boleh. Kami buat apa yang afdal dulu. Kami mahu acara yang penuh makna  ini diraikan bersama keluarga, saudara mara dan kawan terdekat.
 Disebabkan itulah juga majlis pernikahan kami tidak diiringi  sebarang dulang hantaran. Memang tak sempat nak buat apa-apa persediaan.  Malah pelamin yang ada ini pun, kawan saya Sharifah Shahira yang  beriya-iya mahukannya. Dia juga yang sanggup mencari penaja untuk  merealisasikan impiannya itu.
 Cuma apa yang kami buat adalah, memastikan majlis hari ini berjalan  lancar. Kami cari baju dan jurusolek kerana itu penting untuk sesi  fotografi serta cari katering untuk majlis resepsi malam ini. Kami tak  buat besar-besaran. Harapan kami moga majlis resepsi berlangsung dengan  sempurna," kata Aida.
 Pada upacara akad nikah yang berlangsung di kediaman Aida di Ukay  Perdana, Aida sah bergelar isteri kepada Husfarid dengan hanya sekali  lafaz. Pasangan itu dinikahkan Pegawai Tadbir Agama / Pendaftar Kanan  Pejabat Agama Islam Gombak Timur Keramat, Daim Jajuli berwalikan abang  Aida, Amiruddin Mat Aris  dengan mas kahwin RM330.
 Mengenai wang hantaran, Aida ternyata lebih selesa merahsiakan  perkara itu daripada pengetahuan ramai, kecuali kaum keluarga  terdekatnya.
 Sedia jadi ibu segera
 IBARAT beli satu percuma dua, itulah yang berlaku kepada dramatis  cantik ini apabila mengambil keputusan menerima lamaran Husfarid.  Mengahwini duda kepada dua anak, secara tidak langsung, Aida boleh  dianggap sebagai ibu segera. Dan apakah dia bersedia untuk memikul  tanggungjawab menjaga anak tirinya itu, Danish Hazim, 7, dan Farish  Nasha, 9 tahun seperti darah dagingnya sendiri?
 Saya rasa perkara itu tidak mendatangkan masalah buat saya. Walaupun  saya tidak ada pengalaman bergelar ibu, tetapi saya ada pengalaman  berlakon sebagai ibu. Ditambah saya memang ramai anak buah, jadi taklah  kekok sangat. Pengalaman seperti itu sedikit sebanyak membantu  sebenarnya. Bagaimanapun, saya sendiri tidak pasti apakah mereka akan  tinggal bersama kami kerana ia belum dibincangkan lagi.
 Lagipun, saya sendiri baru saja bertemu dengan mereka. Apapun,  alhamdulillah, kami boleh serasi. Mereka panggil saya aunty, cerita Aida  yang bersedia untuk menerima cahaya mata sendiri pada bila-bila masa  saja.
 Ditanya destinasi bulan madu, Husfarid berkata perkara itu hanya dapat diputuskan selepas sambutan Hari Raya nanti.
 Lagipun masa raya nanti, saya tak dapat cuti apabila terpaksa  bertugas di Kuching, Sarawak dan kota Kinabalu, Sabah. Isteri saya juga  akan ikut sekali terbang bersama. Mungkin pada Hari Raya pertama, saya  dan dia akan berada di lapangan terbang kerana saya kena bersedia untuk  bertugas. Nampaknya terpaksa bermaafan di situlah, katanya sambil  mengharapkan ikatan perkahwinan yang dibina itu dirahmati Tuhan dan  berkekalan sehingga ke akhir hayat.