
 Fouziah Gous yakin satu hari nanti terus kekal bertudung
 INSAN  yang bergelar artis juga turut mempunyai agenda tersendiri bagi  menyemai perasaan cintakan Rasulullah sempena sambutan Maulidur Rasul.
 Itulah yang berlaku dalam sanubari Fouziah Gous apabila terlintas untuk  bertudung.  Tidak dapat dinafikan, niat untuk menutup aurat dengan  mengenakan tudung secara rasmi memang wujud dalam naluri pelakon ini.
 "Seboleh-bolehnya saya tidak mahu jadi orang yang sekejap pakai dan  sekejap buka tudung. Prinsip saya, kalau sudah memakai tudung, saya akan  terus memakainya walau ke mana pun destinasi saya.
 "Saya mahu  memakai tudung dengan niat yang betul dan dengan izin tuhan suatu hari  nanti saya akan pakai juga dan tidak akan meninggalkannya (membuka  tudung) lagi.
 "Saya akui saya masih takut dan belum bersedia  kerana sekiranya saya memakai tudung, saya mahu jadi teladan yang baik  untuk dicontohi. Saya merasakan ia tanggungjawab besar apabila saya  memakai tudung," kata Fouziah ketika ditemubual Hip baru-baru ini.
 Dalam  sesi temu bual dan fotografi ini di Studio Hip di Balai Berita, Fouziah  Gous atau nama penuhnya Nor Fouziah Mohd Gous, tampak lebih manis  mengenakan tudung daripada biasa.
Dan apabila mula ditanya mengenai perihal tudung, senyuman lembut  terukir di bibir gadis berdarah campuran Melayu, Pakistan dan Cina ini.
 Tidak dapat dinafikan, niat untuk menutup aurat dengan mengenakan tudung secara rasmi memang wujud dalam naluri Fouziah.
 "Peminat  juga lebih gemar saya memakai tudung kerana sejak dulu lagi saya banyak  menjadi model bertudung seperti untuk iklan Avon. Syukur, rezeki saya  bertambah apabila saya memakai tudung," ujar Fouziah.
 Apatah  lagi, seorang pengusaha butik, Koleksi Zaliana, ada menjahit dan  menghasilkan rekaan tudung khas untuk Fouziah yang diberi nama FG,  bersempena dengan singkatan namanya sendiri,  Fouziah Gous.
 Bagaikan  satu penghormatan dan tidak seperti gadis bertudung yang lain, Fouziah  mendapat tajaan tudung khas dari Koleksi Zaliana ini untuk dipakai di  dalam drama terbitan TV AlHijrah berjudul Kala Terbit Cinta.
 "Pada  mulanya saya memang mencari satu rekaan tudung yang berwarna untuk  dipadankan dengan jubah hitam yang sering saya pakai dalam drama Kala  Terbit Cinta.
 "Selain mencari fesyen berlainan yang boleh  diketengahkan, saya juga ingin menyelitkan warna di dalam drama ini.  Saya cuba gabungkan satu fesyen yang boleh diterima ramai. Di sinilah  saya menemui Koleksi Zaliana yang sudi memberi tajaan tudung kepada  saya.
 "Saya berterima kasih kepada butik tersebut kerana memberi  peluang kepada saya secara tidak langsung saya dapat mempromosikannya  menerusi drama yang ditayangkan di TV AlHijrah ini," katanya yang kali  pertama bekerja bersama TV AlHijrah.
 Drama Kala Terbit Cinta, gandingannya bersama Adi Putra bukanlah drama pertama yang memerlukan Fouziah menutup auratnya.
 Pelakon  itu mengakui dia sudah banyak membintangi drama yang memerlukan dia  memakai tudung dan ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepadanya.
 Selain  Kala Terbit Cinta, Fouziah menerima tawaran berlakon drama Tahajud  Cinta arahan Erma Fatima yang memerlukan dia berpurdah.
 Watak ini  dianggap agak sukar untuk dibawa kerana dia harus pandai bermain emosi  dengan menggunakan mata dan ini dianggap sebagai cabaran yang  mendewasakan dirinya.
 Masih dalam pembelajaran
 Berbicara  mengenai kerjayanya, Fouziah sedar dia masih di dalam proses  pembelajaran dan masih mencari maksud sebenar lakonan yang bagus bagi  mendalami apa saja watak yang diterimanya.
 Pemenang Pelakon  Harapan Wanita Popular, Anugerah Skrin 2007 (ASK2007) yang sudah  terbabit di dalam industri seni sejak 2006 ini, mengakui kini dia lebih  matang dan bijak menjiwai watak kerana banyak yang sudah dipelajari  sejak pembabitannya.
 Drama pertamanya yang diakui menaikkan namanya ialah, Cinta Medik pada tahun 2007.
 Gadis  kelahiran Kuala Lumpur ini juga tidak lupa diri bahawa Prof Madya A  Razak Mohaideen sudah banyak berjasa dalam menaikkan namanya di dalam  dunia lakonan.
 Bermula dengan watak pembantu dalam filem Bujang  Senang arahan sutradara tersebut, Fouziah terus dilamar untuk beraksi  dalam beberapa lagi filemnya, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa, Skrip  7707, Dua Hati Satu Jiwa dan Ratu.
 Selain itu, Fouziah juga  pernah bekerja dengan ramai pengarah yang berpengalaman antaranya Bade  Azmi, Erma Fatima, Amy Maziah dan Rosyam Nor.
 Kini, Fouziah sibuk  menjalani penggambaran drama bertajuk Maya Helina serta filem Hantu  Bukit Cina, manakala Ratu adalah filem terbarunya yang akan ditayangkan  dalam tahun ini.
 Tunai umrah sendirian
 Bagi  sambutan Maulidur Rasul ini juga Fouziah tidak terlepas melipatgandakan  amalan bagi meraih keberkatan seperti umat Islam yang lain.
 Sementara  itu, mengagumi keberanian gadis ini kerana Fouziah pernah menunaikan  umrah berseorangan pada Ramadan tahun lepas tanpa ditemani oleh kenalan  mahu pun saudara terdekatnya.
 Ia adalah kunjungan kedua Fouziah  ke Makkah di mana kali pertama pada 2009. Tujuan murni gadis ini adalah  ingin merebut nikmat malam istimewa, lailatulqadar di sana. Ini adalah  sikap yang perlu dicontohi bukan saja oleh artis malah seluruh umat  Islam yang lain kerana sesungguhnya tiada yang mustahil dalam beribadah  ke jalan Allah SWT.  Justeru hendaklah kita menjadikan Nabi Muhammad SAW  sebagai contoh paling terbaik.
 NAMA: Nor Fouziah Mohd Gous
PANGGILAN: Fouziah Gous
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982
UMUR: 29 Tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Model dan pelakon
STATUS: Bujang
KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan, Kolej Systematic (Segi College)
IKLAN: Adabi, Homesoy, Kentucky Fried Chicken (KFC), Fab, Munchies, Adidas, Alaisyah
DRAMA: Sangga  Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The  Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Enigma, Kain Ketat Isabella, Sutera  Maya, Kasihmu Di Bulan Ramadan, Puisi Untuk Anis, Kepulangan, Spa Q 2,  Shah Jehan, Penunggu Gunung Raya, Trilogi Cinta, Kala Terbit Cinta,  Tiramisu, Mantera Anjasmoro
FILEM: Bujang Senang, Malaikat  Maut, Skrip 7707, Otai, Rasukan Ablasa, Sifu & Tongga, Dua Hati Satu  Jiwa, Rasuk, Hantu Bukit Cina, Ratu
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007
 Tudung : Koleksi Zaliana, Axis Atrium Pandan Indah
Baju : Butik Mimpi Kita, Jalan Telawi 2
Make up : Sue Hashim 012-3494957.       
  			 			 		 			 			 			 						 		Full content generated by Get Full RSS.