
 BARISAN karyawan filem (dari kiri) Frank Peterson, Sidek Hussin, Fouziah Gous, Iqram Dinzly dan Khir Mohd. Noor.
  
SELEPAS kerap berlakon dalam drama seram, terkini aktres Fouziah Gous  muncul dengan sebuah filem seram berjudul Rasuk yang telah ditayangkan  bermula 23 Jun lalu. 
Filem Rasuk, arahan S. Baldev Singh buat pertama kalinya menyatukan  Fouziah dan Iqram Dinzly sebagai suami isteri selepas sebelum ini pernah  membawakan watak sebagai pasangan kekasih dan adik-beradik.
 Cerita Fouziah, meskipun dia dan Iqram merupakan sahabat baik di luar  layar, namun agak sukar untuk mereka melakonkan watak sebagai pasangan  suami isteri.
 "Saya memang rapat dengan Iqram tetapi bila dalam filem kami harus  menjadi suami isteri, rasa pelik dan janggal pula terutamanya apabila  tiba pada babak romantis, kami asyik menahan gelak.
 "Atas bantuan pengarah yang banyak memberi tunjuk ajar dan kerjasama  dengan Iqram, saya yakin kami telah melakukan yang terbaik dalam filem  Rasuk," ujarnya.
 Sambung Iqram pula, peminat mereka berdua sememangnya mengetahui  mereka bersahabat baik dan ramai yang mengharapkan mereka benar-benar  bercinta dan berkahwin dalam dunia realiti.
 "Ramai peminat mengharapkan kami bercinta dan berkahwin. Kiranya  dalam filem ini impian mereka menjadi kenyataan meskipun sekadar dalam  filem sahaja, saya rasa itu sudah memadai," kata Iqram.
 Menariknya, sepanjang penggambaran filem yang menelan belanja  sebanyak RM1.5 juta ini berlangsung, semua aksi lagak ngeri dilakonkan  oleh Fouziah dan Iqram sendiri.
 Bayarannya, mereka berdua tercedera di lokasi penggambaran, Fouziah  sehingga kini menghadapi sakit tulang belakang dan Iqram pula secara  tidak sengaja mengalami kemalangan apabila mukanya disambar api obor.
 "Ketika menjayakan babak terjerat di akar pokok, kulit muka saya  terbakar akibat disambar api obor. Walaupun sakit dan terkejut, saya  teruskan penggambaran selepas mendapatkan rawatan di klinik. Nasib baik,  kesan terbakar itu tidak meninggalkan parut," kata Iqram.
 Fouziah pula yang mengakui tertekan kerana perlu melakukan banyak  adegan berbahaya seperti, memecahkan botol kaca, menolak perabot jati  hingga jatuh, memanjat tiang seri dan membaling apa sahaja yang ada di  depan matanya.
 "Memang saya tertekan tetapi saya berpuas hati kerana melakukan semua  adegan bahaya itu sendiri. Saya masih menghadapi sakit tulang belakang  akibat jatuh secara terduduk di atas batu.
 "Saya juga terpaksa menggunakan segala kekuatan yang ada untuk  meronta dan membaling apa sahaja yang ada di depan mata semata-mata  untuk menjayakan watak Melati yang dirasuk," terang gadis berusia 29  tahun itu lagi.
 Tambah Fouziah lagi, dia benar-benar letih membawakan watak Melati  kerana sebagai orang yang rasuk, dia harus merenggangkan kesemua anggota  badannya dan juga memberi renungan yang tajam sepanjang masa.
 "Mata memainkan peranan sangat penting, mata saya tidak boleh  berkelip. Jadi, saya terpaksa tahan mata daripada berkelip walaupun di  depan saya ada kipas yang besar. Setiap kali buat babak Melati dirasuk,  habis sakit satu badan saya," ujar Fouziah.
 Filem Rasuk terbitan White Merpati Entertainment Sdn. Bhd. yang  melakukan penggambaran di Janda Baik, Pahang itu dilihat sebagai sebuah  filem seram yang berbeza daripada filem seram yang lain kerana ia  mengenai kerasukan.
 Walaupun  pengarahnya bukan orang beragama Islam, tetapi filem ini  tetap menyelitkan  unsur-unsur agama Islam dengan bacaan ayat al-Quran.
 Sungguhpun filem ini cuba lari daripada elemen seram yang biasa wujud  dalam filem Melayu, namun sayangnya skrip hasil tulisan Ikhzal Ideris  dilihat longgar dan tidak kemas.
 Bagaimanapun segala kekurangan ditutup oleh lakonan berkesan Fouziah  Gaus sebagai wanita yang dirasuk. Karya ini jelas menunjukkan Fouziah  sebagai seorang aktres yang berbakat besar serta pujian atas efek CGI  (imej janaan komputer) yang cantik dan kemas.
 Buat penonton jangan terkejut apabila watak doktor di dalam filem ini agak menjengkelkan kerana sentiasa ketawa tanpa sebab.
 Apabila disoal kepada pengarahnya, katanya watak doktor itu adalah  untuk mengurangkan ketegangan buat penonton walhal hakikatnya kewujudan  watak doktor itu menambahkan lagi tekanan penonton. Jika mahu  menyelitkan elemen komedi, rasanya tidak perlu untuk menampilkan doktor  separuh gila seperti itu.
 Filem ini membongkar misteri sebuah banglo Melayu lama yang terbina  sejak dari zaman pemerintahan Jepun. Pelbagai kejadian aneh berlaku  selepas pasangan suami isteri Arman (Iqram) dan Melati (Fouziah)  berpindah masuk ke rumah lama itu.
 Keadaan menjadi lebih buruk apabila Melati mula dirasuk oleh roh  jahat setelah dia mengalihkan sebuah batu yang terletak di kawasan rumah  tersebut.
 						 												  					Full content generated by Get Full RSS.