BIARLAH orang kata dirinya tak popular kerana soal glamor dan  populariti sudah jatuh nombor dua. Apa yang penting, kata pelakon yang  bermula di pentas teater, Azhan Rani, 35, tawaran berlakon yang  diterimanya tidak pernah putus sampai hari ini. 
"Walaupun sudah enam tahun berlakon dalam lebih 40 drama, saya tetap  berasa diri tidak popular. Tapi, pengarah tetap tawarkan saya berlakon  lagi dalam filem mereka selepas itu.
"Sepanjang tempoh itu  juga, saya tidak menghadapi masalah kerana sentiasa mendapat kepercayaan  produser dan pengarah sampai hari ini. Jika ada pelakon mengeluh tiada  tawaran berlakon, saya pula tidak berdepan dengan situasi itu," katanya.
Namun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Drama dan Teater, Universiti  Malaysia Sarawak (Unimas) yang dikenali dalam drama bersiri Gemilang,  Wasiat dan Supermak ini mengakui, dia sering ditawarkan watak antagonis  dalam drama dan teater lakonannya.
"Saya pun tak tahu kenapa  pengarah sering tawarkan saya bawa watak jahat.  Mungkin wajah saya yang  garang ini lebih sesuai untuk watak jahat.
"Saya akui memang susah sangat nak dapat tawaran watak baik seperti ustaz dan sebagainya ketika ini," katanya.
 Terbaru, pemilik nama sebenar Azhan Abdul Rani dan berasal dari  Tanjung Karang, Selangor ini beraksi dalam drama bersiri Amukan Pocong  arahan Aidilfitri Mohamad Yunos, terbitan Padi Pictures Sdn Bhd milik  Nor Aliah Lee Abdullah untuk stesen TV3.
Azhan bawa watak  utama sebagai Long Husin, kaki judi yang kemaruk dengan dua rakannya  yang sanggup memuja kubur dengan khidmat bomoh siam untuk mendapatkan  alamat nombor ekor, sekali gus untuk menang wang dengan cara mudah.
 Malangnya, Long Husin yang mempunyai isteri, Long Jamilah (lakonan  Elly Mazlein) tidak menjangka sesuatu yang lebih dahsyat menanti mereka  akibat perbuatan terkutuk itu.
Secara peribadi, Azhan  mengakui watak Long Husin paling mencabar kemampuannya sepanjang  berkecimpung sebagai pelakon, setakat ini.
"Saya perlu dibalut dengan kostum pocong selama sejam setiap hari. Saya berasa rimas dan panas sepanjang penggambaran.
Selain itu, saya juga dilumur dengan lumpur dan ada kesan darah di muka dan tubuh," katanya.
Bagaimanapun, Azhan tidak berdepan dengan pengalaman menakutkan atau  terbawa-bawa dengan watak itu selepas  penggambaran drama berakhir.
"Saya akui tidak pernah nampak hantu dalam hidup, setakat ini. Saya  juga pernah berlakon dalam cerita seram sebelum ini iaitu Sumpah Orang  Minyak.
"Sebenarnya, saya pernah bawa watak Raja iblis yang  paling jahat dalam teater Antara arahan Erma Fatima di Istana Budaya,   sebelum ini.
"Pada mulanya, saya memang takut dan ingin  menolak bawa watak itu tapi Erma yang beri keyakinan pada saya dengan  niat ia adalah lakonan semata-mata untuk beri pengajaran kepada  masyarakat.   "Bagi saya, semua watak yang dibawa mencabar dan ia  memberi pengalaman baru buat saya. Apabila berjumpa dengan pengarah baru  yang kreatif, saya berasa seronok bekerjasama dengan mereka," katanya.
Drama untuk slot seram TV3 ini disiarkan setiap Khamis, jam 9.30 malam  mulai 15 Mac ini. Cerita ini turut dibintangi Ezany Nizarif, Iqram  Dinzly, Neelofa, Nabila Huda, Faralyna Idris, Sharifah Sakinah, Elly  Mazlein, Namron, Siti Elizad, Liza Abdullah dan ramai lagi.
Menyentuh perkembangan karier seninya setakat ini, kata Azhan yang masih  bujang ini, dia juga berlakon dalam drama Cinta Dalam Hati arahan Zul  Arshad untuk saluran RTM.
Tidak ketinggalan, dia juga bakal  melakonkan watak anggota polis dalam filem Zombi Jaya arahan Woo Ming  Jin untuk Grand Brilliance Sdn Bhd.
Antara drama lakonannya  ialah slot Samarinda, Sesuci Cinta Sofia, Ku Milikmu, Tower 13, Lembing  dan Dayang, Warkah Terakhir dan banyak lagi. 
   
Tiada ulasan:
Catat Ulasan