Bagi mencapai matlamat untuk mengukuhkan lagi kedudukan  sebagai peneraju utama kandungan dalam dunia penyiaran, Astro dengan  berbesar hati membawakan sebuah lagi projek hebat berjudul Mania yang  bakal menggegarkan industri muzik tanah air. Program yang akan  menyaksikan pertembungan sengit penyanyi-penyanyi hebat berbakat besar  yang akan bekerjasama dengan penerbit muzik tersohor di rantau ini bakal  bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria pada setiap hari Sabtu jam  9.00 malam bermula 17 Mac 2012 secara eksklusif di saluran 104.
Berkonsepkan  pertandingan nyanyian, program Mania ini akan dikemudikan oleh Aznil  Haji Nawawi yang telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab  sebagai pengacara selama 10 minggu bersiaran.
Program Mania bakal  menyaksikan dua belas (12) penyanyi terkenal iaitu Stacy AF6, Jaclyn  Victor, Hafiz AF7, Shila Amzah, Hazama AF9, Atilia, Akim AF7, Alyah,  Kumpulan Estranged, Adira AF8, Kumpulan Kristal dan Awi Rafael yang akan  berentap untuk membuktikan bakat dan kebolehan menyanyi masing-masing  sekaligus dinobatkan sebagai juara di kalangan yang terbaik.
Tiga  (3) orang ikon muzik tersohor telah diberi amanah untuk memikul  tanggungjawab sebagai penerbit muzik untuk program Mania yang mana empat  (4) orang penyanyi akan diletakkan di bawah bimbingan dan pemerhatian  mereka. Mereka juga diberi kuasa untuk memilih sendiri penyanyi-penyanyi  yang akan dibimbing kelak. Ikon-ikon tersebut adalah Dato' M Nasir,  Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito.
Uniknya program ini, sebanyak tiga  (3) orang penyanyi lagi akan diserap masuk menyertai pertandingan ini  yang akan dipilih menerusi undian Hot Seat secara online, menjadikan  jumlah keseluruhan peserta adalah seramai 15 orang. Penyanyi-penyanyi  yang terpilih ini juga akan diletakkan di bawah bimbingan penerbit muzik  terlibat yang akan ditetapkan sendiri oleh pihak Astro.
Tempoh  talian undian Hot Seat secara online akan dibuka bermula pada 20  Februari 2012 sehingga 16 Mac 2012, jam 12.00 tengah hari. Untuk  mengundi, orang ramai hanya perlu melayari laman sesawang rasmi program  Mania di www.mania.com.my. Para peminat kini boleh menilai dan mengundi  calon-calon peserta yang digemari untuk diserap masuk ke program Mania.
20  orang penyanyi yang akan dipilih menerusi undian secara online adalah  Idayu (AF2), Akma (AF3), Noni,  Ebi, Shawal (AF5), Riz, Toi, Nadia  (AF6), Aishah, Aril (AF7), Daus, Maulana (AF8), Azri, Kay, Lena, Erul,  Fina (AF9), Chaq, Fiq dan Mohd (Mentor).
Program Mania akan  menggunakan format pemarkahan 100% undian penonton melalui sistem  pesanan ringkas (SMS) yang mana peserta dengan undian terendah setelah  talian ditutup di akhir konsert mingguan pada setiap minggu akan  tersingkir. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke  semasa di saluran Astro Ria.
Juara Mania bakal membawa pulang  hadiah lumayan iaitu wang tunai berjumlah RM500,000. Manakala naib juara  dan tempat ketiga pula masing-masing akan memenangi RM200,000 dan  RM100,000. Bukan itu sahaja, penerbit muzik yang berjaya membimbing  mana-mana penyanyi di bawah pengawasannya sehingga dinobatkan sebagai  juara juga akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM300, 000.
Jangan  lupa saksikan program Mania menerusi Astro Ria pada setiap hari Sabtu  jam 9.00 malam bermula 17 Mac 2012 secara eksklusif di saluran 104!
# Tak sabar nak tgok 
   
Tiada ulasan:
Catat Ulasan