UNTUKMU SAHABAT
     
Sahabat,    
Aku sayang kau, kerana itu aku bicarakan    
Rasa resah dalam jiwa ini,    
Anak mataku dalam sepi memerhati,    
Inginku luahkan, inginku laungkan sekuat hati,    
Wahai sahabatku yang mencari,    
Mari genggam tanganku ini.
       
Ya aku tahu,    
Kebahagiaan fatamogana yang tak pasti yang kau dambakan    
Ya aku mengerti,    
Puji insan yang tak kau cintai dan tak kau kenali    
jadi garis pandu hidupmu
       
Tidakkah tergetar    
Tidakkah tercelar    
Qalbumu yang penuh parut cereka,    
Akan kasih tuhanmu    
yang rindukan taubatmu    
Rindu pada basah bibirmu    
Mengesakan Yang Esa    
Membesarkan Yang Besar
       
Sudah lama memaling muka, marilah kembali    
Sudah jauh tersasar santun lidahmu, marilah kembali
       
Tiada dayaku melainkan kata,    
Walau kadang kau punca mataku berkaca    
Cinta pada sahabat melangkaui segala    
Dalam resahku memerhati    
Pada satu nafas yang dihembus sia-sia    
Aku ingin bersamamu di Firdausi    
Tasnim di lidah dan kesyukuran tak berhenti
       
Sahabat,    
Lepaskan syaitan di hatimu    
Biarkan fana jahiliyah yang menggoda, menangisi dan merindukanmu    
Kerana kau sahabat dicipta untuk lebih daripada itu
     
-Diana Amir-
    
    P/s : Teringat kenangan masuk pertandingan sajak kat sekolah tapi kalah. =p
       
Tiada ulasan:
Catat Ulasan