BIARLAH orang kata dirinya tak popular kerana soal glamor dan   populariti sudah jatuh nombor dua. Apa yang penting, kata pelakon yang   bermula di pentas teater, Azhan Rani, 35, tawaran berlakon yang   diterimanya tidak pernah putus sampai hari ini. 
"Walaupun sudah enam tahun berlakon dalam lebih 40 drama, saya tetap   berasa diri tidak popular. Tapi, pengarah tetap tawarkan saya berlakon   lagi dalam filem mereka selepas itu.
"Sepanjang tempoh itu   juga, saya tidak menghadapi masalah kerana sentiasa mendapat kepercayaan   produser dan pengarah sampai hari ini. Jika ada pelakon mengeluh tiada   tawaran berlakon, saya pula tidak berdepan dengan situasi itu," katanya.
Namun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Drama dan Teater, Universiti   Malaysia Sarawak (Unimas) yang dikenali dalam drama bersiri Gemilang,   Wasiat dan Supermak ini mengakui, dia sering ditawarkan watak antagonis   dalam drama dan teater lakonannya.
"Saya pun tak tahu kenapa   pengarah sering tawarkan saya bawa watak jahat.  Mungkin wajah saya yang   garang ini lebih sesuai untuk watak jahat.
"Saya akui memang susah sangat nak dapat tawaran watak baik seperti ustaz dan sebagainya ketika ini," katanya.
  Terbaru, pemilik nama sebenar Azhan Abdul Rani dan berasal dari   Tanjung Karang, Selangor ini beraksi dalam drama bersiri Amukan Pocong   arahan Aidilfitri Mohamad Yunos, terbitan Padi Pictures Sdn Bhd milik   Nor Aliah Lee Abdullah untuk stesen TV3.
Azhan bawa watak   utama sebagai Long Husin, kaki judi yang kemaruk dengan dua rakannya   yang sanggup memuja kubur dengan khidmat bomoh siam untuk mendapatkan   alamat nombor ekor, sekali gus untuk menang wang dengan cara mudah.
  Malangnya, Long Husin yang mempunyai isteri, Long Jamilah (lakonan   Elly Mazlein) tidak menjangka sesuatu yang lebih dahsyat menanti mereka   akibat perbuatan terkutuk itu.
Secara peribadi, Azhan   mengakui watak Long Husin paling mencabar kemampuannya sepanjang   berkecimpung sebagai pelakon, setakat ini.
"Saya perlu dibalut dengan kostum pocong selama sejam setiap hari. Saya berasa rimas dan panas sepanjang penggambaran.
Selain itu, saya juga dilumur dengan lumpur dan ada kesan darah di muka dan tubuh," katanya.
Bagaimanapun, Azhan tidak berdepan dengan pengalaman menakutkan atau   terbawa-bawa dengan watak itu selepas  penggambaran drama berakhir.
"Saya akui tidak pernah nampak hantu dalam hidup, setakat ini. Saya   juga pernah berlakon dalam cerita seram sebelum ini iaitu Sumpah Orang   Minyak.
"Sebenarnya, saya pernah bawa watak Raja iblis yang   paling jahat dalam teater Antara arahan Erma Fatima di Istana Budaya,    sebelum ini.
"Pada mulanya, saya memang takut dan ingin   menolak bawa watak itu tapi Erma yang beri keyakinan pada saya dengan   niat ia adalah lakonan semata-mata untuk beri pengajaran kepada   masyarakat.   "Bagi saya, semua watak yang dibawa mencabar dan ia   memberi pengalaman baru buat saya. Apabila berjumpa dengan pengarah baru   yang kreatif, saya berasa seronok bekerjasama dengan mereka," katanya.
Drama untuk slot seram TV3 ini disiarkan setiap Khamis, jam 9.30 malam   mulai 15 Mac ini. Cerita ini turut dibintangi Ezany Nizarif, Iqram   Dinzly, Neelofa, Nabila Huda, Faralyna Idris, Sharifah Sakinah, Elly   Mazlein, Namron, Siti Elizad, Liza Abdullah dan ramai lagi.
Menyentuh perkembangan karier seninya setakat ini, kata Azhan yang masih   bujang ini, dia juga berlakon dalam drama Cinta Dalam Hati arahan Zul   Arshad untuk saluran RTM.
Tidak ketinggalan, dia juga bakal   melakonkan watak anggota polis dalam filem Zombi Jaya arahan Woo Ming   Jin untuk Grand Brilliance Sdn Bhd.
Antara drama lakonannya   ialah slot Samarinda, Sesuci Cinta Sofia, Ku Milikmu, Tower 13, Lembing   dan Dayang, Warkah Terakhir dan banyak lagi.    
     
Tiada ulasan:
Catat Ulasan