MALAYSIAKINI

Ketika perhatian awam beralih kepada kapten   Penerbangan MH370 dan simulator penerbangannya, pemangku Menteri   Pengangkutan, Datuk Hishammuddin Hussein mengingatkan bahawa semua dalam   pesawat yang hilang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
"Sesetengah data telah dipadam dari simulator dan kerja-kerja forensik digunakan untuk mendapatkan data ini, sedang dijalan.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa penumpang,   juruterbang, dan anak-anak kapal, tidak bersalah sehingga dibuktikan   sebaliknya.
"Demi keluarga mereka, saya minta agar kita jangan membuat sebarang   spekulasi yang boleh menyulitkan lagi keadaan," kata Hishammuddin dalam   sidang akhbar mengenai krisis MH370 petang ini. [Baca berita penuh]
Berikut Bernama melaporkan kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku   Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat   media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS)   Penerbangan MH370 di Sepang, Selangor hari ini:
   
Kenyataan pengenalan
    
Pencarian MH370 diteruskan. Seperti yang saya nyatakan dalam sidang   akhbar semalam, usaha kini membabitkan masyarakat antarabangsa.
Fokus utama kami kekal operasi mencari dan menyelamat. Kami kini berusaha mengecilkan koridor carian melalui:
    
- Pengumpulan maklumat satelit
- Menganalisis data radar
- Menambah aset udara, laut serta darat, dan
- Menambah bilangan pakar teknikal.
Kami turut mengambil langkah untuk menangani keperluan keluarga pada masa yang sukar ini.
Perkembangan terkini operasi
    
Saya akan mulakan dengan memberi taklimat berhubung perkembangan terkini   operasi. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, pencarian MH370   membabitkan cabaran dari segi diplomatik, teknikal dan logistik.
   
Sehubungan itu, pasukan teknikal utama yang mengendali operasi mencari dan menyelamat dipecah kepada tiga kumpulan:
   
- Satu pasukan diplomatik diketuai Kementerian Luar
   
- Satu pasukan penempatan aset dan logistik diketuai Angkatan Tentera Malaysia
   
- Satu kumpulan teknikal yang mengekalkan kawalan keseluruhan operasi diketuai Jabatan Penerbangan Awam.
    
Di barisan depan diplomatik, kesemua 26 negara yang terbabit dalam   operasi mencari dan menyelamat telahpun secara lisan bersetuju membantu   operasi ini dan Malaysia secara rasmi sudah memohon kerjasama dari semua   negara yang berkaitan.
   
Sejumlah aset kini hanya menunggu kebenaran diplomatik bagi memulakan   operasi.   Sebaik menerima kebenaran rasmi, kami boleh mempercepat   penempatan aset di sepanjang koridor carian. 
   
Seperti yang saya nyatakan semalam, meskipun pencarian masih diselaras   oleh Malaysia, rakan kita kini mengambil alih operasi di wilayah mereka   dan di sektor yang dipersetujui.
Kami mengalu-alukan langkah ini dan sekali lagi, kami ingin mengucapkan   terima kasih kepada semua rakan kita atas bantuan serta sokongan mereka   yang berterusan.
   
Saya boleh mengesahkan bahawa kami menerima beberapa data radar namun   tidak boleh mendedahkan maklumat yang diperoleh dari negara lain.
   
Saya merayu kepada semua rakan kita untuk terus secara sukarela memberi   sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dan pencarian MH370.
    
Mengenai laporan bahawa pesawat itu dilihat di Maldives, saya boleh   mengesahkan bahawa panglima angkatan tentera telahpun menghubungi rakan   sejawatan beliau di Maldives, yang kemudian mengesahkan bahawa laporan   itu adalah tidak benar.
   
Titik laluan
    
Saya sedar tentang spekulasi yang menyatakan bahawa titik laluan   ditambah kepada laluan penerbangan pesawat itu. Saya boleh mengesahkan   bahawa pesawat itu terbang di laluan normal sehingga ke titik laluan   IGARI.
   
Tiada titik laluan tambahan didokumen di pelan penerbangan MH370 dan ini   menggambarkan laluan normal sepanjang perjalanan pesawat itu ke   Beijing. 
    
Siasatan polis
    
Berhubung siasatan polis, sepertimana yang disahkan oleh ketua polis   negara, kes ini diklasifikasi di bawah Seksyen 130C Kanun Keseksaan.   Semua penumpang, anak kapal dan kakitangan yang mengendali pesawat   sedang disiasat.
   
Kami berkongsi semua maklumat berkaitan kes ini dengan semua agensi penyiasatan antarabangsa yang memerlukannya.
   
Kami telahpun menerima laporan berkaitan latarbelakang penumpang dari   semua negara kecuali Ukraine dan Rusia, yang kedua-dua rakyatnya turut   berada dalam pesawat itu. Setakat ini, tiada maklumat yang didapati   signifikan berkaitan mana-mana penumpang.
   
Kepakaran tempatan dan antarabangsa diambil untuk meneliti simulator   penerbangan juruterbang terbabit. Beberapa data didapati telahpun   dipadam daripada simulator itu dan kerja-kerja forensik untuk   mendapatkannya kembali sedang dilakukan.
   
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa penumpang,   juruterbang dan anak kapal adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan   sebaliknya. Demi keluarga mereka, saya minta agar kita jangan membuat   sebarang spekulasi yang boleh menyulitkan lagi keadaan.
   
Pasukan peringkat tinggi
    
Saya ingin mengumumkan bahawa sebagai tambahan kepada pasukan sedia ada   di lapangan, Malaysia kini menghimpun satu pasukan peringkat tinggi yang   akan berlepas ke Beijing secepat mungkin.
   
Pasukan ini akan memberi taklimat dan perkembangan kepada waris   berkaitan situasi terkini dan pelan operasi mencari serta menyelamat.
    
Pasukan itu termasuk wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian   Luar, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam dan   Malaysia Airlines.
Pasukan itu akan diketuai Leftenan Jeneral Dato' Sri Ackbal Abdul Samad   (Komander Operasi Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia), dibantu oleh   Ahmad Nizar Zolfakar (Pengarah, Perkhidmatan Trafik Udara, Jabatan   Penerbangan Awam) serta membabitkan seorang juruterbang kanan pesawat   777. 
   
Kenyataan penutup
    
Kami akan berusaha bersungguh-sungguh. Fokus utama kami ialah operasi   mencari dan menyelamat. Kami kini melakukan segalanya bagi mengecilkan   kedua-dua koridor carian.  
     
Tiada ulasan:
Catat Ulasan