PETALING JAYA, 7 Jan Penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 27, yang  sebelum ini begitu  kecewa dengan keruntuhan rumah tangganya dengan  pelakon Faizal Yusop,33,  mengakui tidak lagi menyimpan dendam terhadap  isteri bekas suaminya, Rosmunira Rashid, 27.
 Siti Nordiana mengaku sebelum ini hatinya pernah terluka kerana   perpisahan itu sehingga  menganggap Rosmunira  sebagai penyebab  keruntuhan rumah tangganya.
 Bagaimanapun, selepas kematian Faizal pada 1 Januari lalu, perasaan tersebut hilang, sebaliknya berubah menjadi simpati.
 "Sebelum ini saya beranggapan buruk kepada dia (Rosmunira) dan tidak  pernah terfikir untuk berbaik. Namun ketika kali pertama berjumpanya di  Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) pada hari kematian Faizal, perasaan  tersebut bertukar menjadi simpati.
 
 Rosmunira (kiri) menyiram air mawar di pusara arwah suaminya yang meninggal dunia pada 1 Januari lalu.
 "Segala yang saya fikirkan tentang dia selama ini lain sama sekali.  Saya menganggap penderitaan dia yang kehilangan suami ketika sedang  mengandung lebih perit daripada saya yang diceraikan ketika anak sedang  membesar," ujarnya ketika dihubungi media
 Pelakon Mohd Faizal Yusop meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam pada  1 Januari lalu kira-kira pukul 1.45 petang akibat serangan jantung.
 Allahyarham meninggalkan seorang balu,  Rosmunira yang sedang  mengandung 5 bulan dan seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu  dengan Siti Nordiana iaitu Muhammad Rayyan Nakhaie,  yang kini berusia 2  tahun 9 bulan.
 Siti Nordiana berkata, hubungan dia dan balu Allahyarham menjadi  lebih akrab selepas peristiwa sedih itu dan menganggap kejadian tersebut  memberi satu hikmah buat mereka.
 "Bila saya fikir sudah setahun saya bercerai dan mengapa perlu menyimpan perasaan marah terhadap orang lain.
  
 Faizal Yusof
 "Anak dalam kandungan Rosmunira juga adik kandung kepada Rayyan. Dia  juga melayan saya dengan baik walaupun kami tidak pernah berjumpa  sebelum ini.
 "Sekarang ini kami sering berhubung melalui telefon dan SMS untuk  mengetahui keadaan masing-masing. Dia juga meminta kebenaran saya untuk  menjaga Rayyan beberapa hari bagi mengisi kesunyian dan kerinduan  terhadap Allahyarham," katanya.
 Dalam pada itu, menurutnya, sebelum meninggal dunia, Allahyarham meminta mereka berdua agar berbaik.
 "Rosmunira ada beritahu saya  sebelum meninggal dunia,  Faizal   pernah banyak kali meminta agar kami dapat berbaik dan tidak lagi  berdendam," katanya.
 Sementara itu, ketika ditanya tentang riak wajahnya yang dikatakan  kelihatan seolah-olah tidak begitu sedih pada hari kematian tersebut,  dia memberitahu tidak mampu untuk menangis lagi.
 "Saya sangat sedih sehinggakan tidak mampu lagi untuk mengeluarkan  air mata. Ketika Allahyarham nazak saya berada di sisinya. Namun begitu  saya juga tidak mahu anak saya lihat saya terus berkeadaan begitu.
 "Rayyan sendiri bertanya kepada saya mengapa semua menangis di hadapan ayahnya," katanya.
   
Tiada ulasan:
Catat Ulasan