Browse >   
Home / 
Hiburan / "Bront Palarae" Muncul Dari Satu Insiden 	 
BUKAN orang baru, Bront Palarae sebenarnya sudah lapan tahun  berada dalam dunia seni tempatan. Tetapi dalam tempoh itu, namanya  tidaklah begitu memuncak berbanding segelintir artis-artis lelaki lain.
 Bagaimanapun dalam tempoh mencari tapak dalam dunia lakonan tempatan,  tahun 2010 benar-benar memberi nafas baru terhadap perjalanan kerjaya  seninya apabila Bront dapat melonjakkan namanya dengan sekelip mata.
 Semuanya bermula selepas kejayaan anak kelahiran Alor Setar, Kedah  ini meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Belukar pada Festival Filem Malaysia (FFM23) dan Anugerah Skrin 2010 (ASK2010).
 Pelakon ini seperti memiliki aura yang tersendiri apabila berdepan  dengan umum. Namun, apa istimewanya Bront Palarae? Kehebatannya  berlakon, memiliki nama yang pelik atau mungkin kerana rupa parasnya?
 Mingguan mStar mendekati lelaki yang mempunyai satu karisma yang unik untuk dikongsi.
 Lebih-lebih lagi dengan memiliki nama yang janggal didengar, ramai  mempersoalkan bagaimana pelakon berusia 33 tahun ini memperoleh nama  tersebut. Pelik bukan?
 "Saya tahu, orang selalu tanya nama itu datang dari mana, kerana nak ikutkan nama sebenar saya adalah Nasrul Suhaimin Saifuddin.
 "Tapi sebenarnya, Palarae adalah nama keluarga saya. Nama itu sering  digunakan kami. Nama Bront pula diberikan oleh kawan-kawan sekolah.  Sejarah nama itu tercipta apabila emak saya memanggil saya dengan satu  gelaran. Saya kena rahsiakan gelaran itu… malu…
 "Kawan-kawan sekolah pula tersalah dengar. Mereka seakan-akan  mendengar emak saya menyebut "Bront". Jadi gara-gara "insiden" itulah  terus terlekat nama Bront sehingga hari ini.
 "Tapi saya juga ada panggilan lain di rumah dan nama itu agak manja.  Bagaimanapun saya enggan beritahu apakah nama itu. Saya enggan  mendedahkan terlalu banyak perkara tentang diri dan kehidupan saya.
 "Lagipun pelakon Hollywood, Johnny Depp juga disukai orang ramai,  tetapi mereka tidak tahu mengenainya secara lebih terperinci. Saya  selesa cara begitu," katanya tersenyum.
 Tambah Bront, dia lebih suka peminat mengenalinya menerusi kerja-kerja seninya dan bukannya kisah peribadi.
 Terlibat dengan filem indie
  Menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai satu permulaan, Bront  yang berdarah Melayu-Pakistan sebelah ibu dan Siam-Cina sebelah bapa,  merasakan kehidupannya sebagai seorang pelakon masih lagi berjalan  seperti biasa.
 "Apa yang saya dapat hari ini adalah satu bonus buat saya untuk  memajukan diri. Bagaimanapun, untuk berjaya, saya tidak boleh  melakukannya seorang diri.
 "Tanpa kerjasama seluruh tenaga produksi, impak sesebuah karya filem  kepada penonton pastinya kurang," tegasnya yang bakal menerbitkan sebuah  filem berjudul, Tiga Rasa di bawah syarikat penerbitannya, Otto Films.
 Bagaimanapun, kata Bront, terdapat sedikit perubahan yang dirasakan  apabila orang di sekelilingnya mula memberi perhatian lebih ketika di  set penggambaran.
 "Walaupun begitu, tawaran filem yang diterima masih lagi sama dan  bayaran lakonan juga tidak meningkat. Sekarang ini saya kembali kepada  projek-projek indie di mana salah satu filem yang akan saya sertai  adalah filem Jalan Pintas, arahan Namron.
 "Bagi saya, tak salah jika menyokong mana-mana filem indie yang  memerlukan saya berlakon dan skripnya menarik bagi sudut pandangan saya.  Pelakon James Farey juga masih berlakon dalam filem-filem indie  walaupun memiliki nama yang besar," tuturnya.
 Apa yang diinginkan Bront bukanlah nilai komersial yang terdapat pada  sesebuah filem sebaliknya dia gemar menerima watak yang mendatangkan  risiko dan cabaran buat dirinya.
 "Selain skrip yang bagus, saya gemar menerima watak yang pelik dan tidak sama seperti karakter saya yang sebenar.
 "Selepas Belukar, anda akan terkejut melihat watak saya sebagai Pinto dalam filem Bara Jiwa, arahan Osman Ali yang ternyata berbeza dan pelik," katanya.
 Dalam pada itu, Bront baru saja tamat penggambaran filem terbitan sebuah produksi Hong Kong iaitu Quatro Hong Kong 2 di negara itu.
 Menariknya, filem tersebut membabitkan empat pengarah berbeza iaitu dari Thailand, Filipina, Hong Kong dan Malaysia.
 Tiada inspirasi
  Setiap pelakon pastinya mempunyai idola atau inspirasi masing-masing dalam menjayakan watak yang diberikan.
 Lain pula bagi Bront, tiada inspirasi dalam kamus hidupnya. Baginya,  dia hanya memainkan watak mengikut skrip dan melakonkan watak tersebut  sebaik yang mungkin.
 "Mungkin saya tertarik dan kagum dengan beberapa pelakon kerana cara  pemilihan kerja yang mereka buat seperti Christian Bale, Johnny Depp dan  Shawn Hann. Kiranya mereka yang membuat keputusan dalam setiap tawaran  kerja yang diberi.
 "Bagi saya 'jangan bermain dengan peraturan orang, tetapi mainlah  dengan peraturan sendiri'. Justeru itu, saya tiada inspirasi sebagai  rujukan dalam bidang lakonan.
 "Saya berlakon mengikut apa yang ditulis dalam skrip. Sebab itu saya memerlukan skrip yang bagus," tegasnya.
 Kata-kata itu mungkin dianggap agak keras yang menampakkan sisi tegas Bront dalam karier seninya.
 Namun, kata Bront, ia adalah prinsip hidup yang digunakannya sepanjang lapan tahun dalam industri seni.
 Selain itu, selepas apa yang dimiliki hari ini, Bront masih lagi  ingin menaiki tangga kejayaan dengan menjadi seorang pelakon yang  benar-benar berbakat dan mampu membawa pelbagai watak.
 Mengakui dia agak sukar mencapai impian yang diinginkan, bagi  pandangan Bront, perjalanan karier seorang pelakon merupakan satu  misteri di mana rezeki dan tuah boleh datang secara mengejut.
 "Susah bila kita bercakap mengenai tuah dan kejayaan. Bagi saya, hidup ini penuh dengan misteri.
 "Apa yang kita boleh lakukan ialah berusaha sehingga kejayaan itu  tiba dan bekerja keras lagi untuk menjadi yang terbaik," katanya.