Bagi peminat Rita Rudaini, drama lakonannya sebagai Suri dalam Jangan Bunuh Matahariku, kembali untuk siri kedua bermula malam ini, setiap Rabu, jam 9 malam di TV2.

Drama 13 episod ini turut dibintangi Aqasha (Rahas), Azlee Khairi (Urwah), Geofrey Williams (Owen) dan Siti Fazurina.

Jangan Bunuh Matahariku, berkisarkan kekeluargaan, percintaan, pengkhianatan dan persahabatan. Kisah bermula selepas Rahas meninggalkan Suri dan hidupnya mula dilanda kemurungan.

Saban hari, Suri menantikan kepulangan kekasihnya itu. Pada masa sama, suasana di Ca­meron Highland juga berubah. Ramai pekerja Tuan Micheal, meninggalkan ladang itu dan Pak Darip, ayah Suri adalah antara orang yang risau dengan keadaan kampung mereka. Dia juga marah terhadap Rahas yang telah memporak-perandakan kampung itu dan menghilangkan diri. Sementara, Suri dipaksa berkahwin dengan orang lain. Dia meminta bantuan Ana, mencari Rahas.

Namun sebaliknya berlaku, apabila dia bertemu dengan Urwah yang menyamar sebagai Rahas. Apakah Suri terus tertipu dan berkahwin dengan Urwah yang berniat jahat terhadapnya? Jangan lupa saksikan kesudahan drama ini.