Nama Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail bukanlah baharu dalam industri seni. Hampir 17 tahun berjuang dalam bidang seni membuatkan Tomok banyak menimba pengalaman dalam bidang ini.

Statusnya sebagai seorang bapa juga tidak menghalang penyanyi dan komposer muda ini untuk terus berkarya dalam memastikan perjuangannya dalam bidang seni ini untuk terus berkembang.

Malah rezeki anak kelahiran Negeri Sembilan ini juga semakin bertambah. Selain nyanyian, kariernya sebagai pelakon juga semakin menyerlah.
"Alhamdulillah, saya baru sahaja habis penggambaran untuk drama bersiri sebanyak 13 episod sambungan dari drama Suamiku Jururawat bersama Yana Samsudin.

"InsyaALLAH, saya akan memperbaiki dan menajamkan mutu lakonan saya, supaya dapat memberikan yang terbaik pada setiap lakonan saya.

"Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga dan peminat membuatkan saya terus terusan bersemangat, dan merekalah pendorong utama yang menyokong kejayaan saya hari ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang mula menempa kemasyhuran menerusi lagu Sejarah Mungkin Berulang bersama kumpulan New Boyz pada akhir tahun 90-an ini juga bakal muncul dengan single terbaharu.

"Selepas keluar single solo saya ini saya akan fokus untuk buat album penuh pula. Saya masih mencari material lagi dan setakat ini memang dah ada perancangan itu.

"Kali ini saya akan cuba ketengahkan pelbagai elemen agar muzik saya lebih kelihatan matang dari sebelumnya," katanya.

Turut melunaskan tugasnya sebagai ketua kumpulan Manifesto, Tomok berkata, selain menjalani penggambaran klip video Manifesto, dia juga bakal tampil dengan album terbaru bersama kumpulan itu.

"InsyaALLAH, Manifesto juga bakal keluarkan album pada tahun ini, Setakat ini, sudah dua buah lagu telah menjalani rakaman," katanya.