Pelakon dan penyanyi Rafidah Ibrahim atau Fida mengakui telah berbaik-baik semula dengan bekas kekasihnya iaitu Mamat (Sepah) selepas mereka muncul dalam sebuah program Apa Saja FBI di TV9 baru-baru ini.
Fida, 27, bagaimanapun berkata, hubungan tersebut tidak lebih daripada sekadar rakan biasa dan dia tidak mahu mengingati peristiwa buruk yang pernah berlaku di antara mereka.
"Kami kembali berbaik selepas sama-sama muncul dalam sebuah program dan hubungan itu hanyalah sekadar teman biasa. Mamat sebenarnya bukanlah seorang yang jahat untuk saya musuhi atau jauhi.
"Apa yang telah berlaku sebelum ini saya tidak mahu lagi kenang dan ambil pengajaran daripadanya," jelasnya ketika ditemui mStar Online.
Hubungan Mamat dan Fida sebelum ini berakhir selepas pelawak tersebut dengan secara tidak sengaja telah memuat naik gambar Fida yang menampakkan sebahagian rambut ke akaun Facebook miliknya mengakibatkan ia terus tersebut tersebar luas di Internet.
Mamat dalam satu kenyataannya sebelum ini kesal dengan kesilapan itu kerana telah mencemar nama baik Fida yang tidak pernah mendedahkan rambutnya di khalayak.
Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungannya dengan Zalif Sidek, Fida menjelaskan dia sudah tidak berhubung dengan pelakon itu lagi dan hubungan rapat yang terjalin selama tiga bulan sebelum ini telah pun berakhir.
Jelas Fida, dia mengundurkan diri kerana tidak mahu terus disalah anggap sebagai pihak ketiga ekoran seorang wanita mendakwa sebagai kekasih Zalif sebelum ini.
"Saya sudi untuk berkawan dan mengenali hati budi Zalif sebelum ini kerana tahu dia tidak mempunyai sesiapa dan tidak sangka ada pula pihak yang mendakwa sebagai kekasih Zalif.
"Atas sebab itu juga saya undur diri supaya keadaan tidak menjadi keruh pada masa akan datang," katanya.
Dalam perkembangan sama, Fida berkata, buat masa ini dia tidak mahu memikirkan soal cinta kerana ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonan dan nyanyian yang sedang berkembang.
- mStar