SATU ketika dahulu, namanya pernah dikecam teruk berikutan watak kontroversi sebagai pondan yang mengamalkan kehidupan homoseksual menerusi filem, …Dalam Botol.
Bukan sahaja menerima kritikan hebat, malah nama pelakon, Arja Lee turut dikaitkan dengan kehidupan sebagai gay.
Enggan berpaling ke belakang dengan mencari punca kesilapan lalu, Arja atau nama sebenarnya, Azharudin Ramli, 30, kini lebih terbuka dan tidak mahu lagi dilabel sebagai artis yang menempa nama menerusi kontroversi
murahan.
Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur ini, pengalaman lalu cukup membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam memilih watak yang bersesuaian.
"Kontroversi lalu banyak mengajar saya untuk membawa diri dalam industri seni. Kalau boleh, saya tidak mahu lagi mengulangi perkara yang boleh menimbulkan rasa kurang senang masyarakat terhadap saya.
"Cukuplah dengan kontroversi itu. Inilah masa untuk saya bangkit semula dan mengatur kehidupan serta karier yang lebih bermutu.
"Pun begitu, saya tidaklah terlalu selektif dalam memilih watak. Saya akan menerima apa jua watak yang bersesuaian mengikut kelancaran jadual karier.
"Tapi, jika watak itu meragukan, mungkin saya akan tolak dengan cara yang baik. Alhamdulillah, walaupun pernah diterjah dengan kontroversi hebat, namun masyarakat masih memberi peluang kepada saya untuk mewarnai
industri hiburan tempatan," katanya yang tampil sebagai Doktor Aaron menerusi drama bersiri, Misiku Kuza di Astro Ria.
Selain Arja, drama itu turut menampilkan barisan pelakon termasuk Erin Malek dan Hairul Azreen.
Bukan sekadar rupa
Sebelum ini, Arja pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian termasuk Akademi Fantasia (AF) dan Gangstarz.
Pun begitu, rezeki Arja lebih menyerlah dalam bidang lakonan apatah lagi, empunya diri ini memiliki pakej lengkap sebagai selebriti.
Bersyukur dengan rezeki yang diterima, akui Arja, bukan mudah untuk dirinya berada di tahap ini. Malah, dua tahun kebelakangan ini, barulah dia merasai nikmat dalam dunia lakonan yang sebenar.
"Alhamdulillah, rezeki saya dalam lakonan semakin mencurah-curah. Mungkin kerana usaha yang tidak pernah kenal erti lelah dan mengalah membuatkan saya lebih kuat untuk terus berada dalam industri.
"Saya bersyukur kerana diberi bakat dan juga sedikit rupa. Namun, bagi saya, rupa tanpa bakat tidak akan ke mana. Jadi, saya perlu buktikan perkara itu.
"Ada suara-suara kecil mengatakan rupa saya mirip pelakon hebat, Aaron Aziz dan Shahz Jazle. Namun, saya tak kisah jika ada yang mengatakan saya menumpang populariti mereka kerana ianya bukanlah satu kesalahan.
"Saya masih baru dalam industri dan mereka adalah selebriti berbakat yang boleh dijadikan contoh," katanya yang bakal muncul dalam beberapa drama termasuk Ramadan Yang Hilang, Firdausi Cinta dan Kasih Fitrah.
Jaga ibu sakit
Dalam usia yang menjangkau 30 tahun, sudah pastinya terdetik di hati Arja untuk memiliki pasangan hidup dan melengkapkan kehidupannya sebagai suami.
Namun, akui Arja, dia masih lagi berkeseorangan dan mencari calon sesuai dijadikan isteri.
Bukan senang untuk mencari teman sehidup semati ditambah pula keadaan ibunya, Salmah Aziz, 60, yang kini menderita penyakit kanser lelangit.
"Saya tidak mahu wanita yang hanya inginkan saya sehingga saya perlu mengabaikan tanggungjawab saya terhadap ibu. Sejujurnya, saya ada berkawan dengan beberapa wanita, namun mereka hanyalah kawan sahaja.
"Saya inginkan wanita yang boleh menerima saya dan keluarga. Jika mereka hanya mahukan saya, dia silap untuk mendampingi saya. Sebagai anak bongsu yang belum berumah tangga, saya bertanggungjawab menjaga ibu
saya.
"Selagi dia ada, saya akan menjaganya hingga ke hujung nafas saya. Inilah masanya untuk saya membalas jasa ibu yang membesarkan saya. Buat masa ini, keadaannya sangat lemah dan turut menjalani rawatan kimoterapi serta radioterapi di Hospital Selayang.
"Saya sangat kagum dengan semangat dan kekuatan ibu melawan penyakit kanser yang dihidapinya sejak 13 tahun lalu. Malah, doktor juga turut mengakuinya," katanya yang turut memberi cadangan agar penderitaan ibunya
itu dikongsi dalam bentuk dokumentari. – Sinar Harian