PENGARAH terkenal, Mamat Khalid yakin filem terbaharunya, Rock Oo: Rimba Bara Kembali (Rock Oo) yang merupakan kesinambungan filem Rock (2005) mampu pecah panggung berikutan kematangannya dalam berkarya dan juga barisan para pelakon yang memberikan persembahan yang mantap.
"Dengan izin Tuhan, saya yakin seperti mana filem Rock dahulu, Rock Oo ini juga akan pecah panggung sebab ia diadun dengan lebih serius. Penonton juga dapat saksikan kembali lakonan Que Haidar dan dapat melihat perubahan lakonan Que yang sebelum ini lebih cenderung membawa watak cinta dan ganas, " ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Rock Oo yang diadakan di Cathay Cineplex Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Mengulas mengenai lakonan Que Haidar, dedah Mamat, pada mulanya dia terkejut dan kecewa dengan mutu lakonan pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 itu yang dilabelkannya seperti kayu.
Mengetahui lakonan Que Haidar sebelum ini begitu hebat dan berkesan, ulas Mamat, mungkin suami kepada koreografer Linda Jasmine itu menghadapi dilema lakonan kerana sudah dua tahun bersara dalam dunia lakonan.
Que Haidar sebelum ini membuat keputusan untuk bersara dari bidang lakonan secara mengejut pada tahun 2010 setelah berkahwin dengan Linda Jasmine. Biarpun terpaksa mengecewakan peminat-peminat dan pengkarya filem, Que Haidar nekad untuk beralih arah ke bidang perniagaan dan menjadi tenaga pengajar kelas lakonan.
Enggan membiarkan Que Haidar daripada terus larut dalam dilema lakonan, Mamat terpaksa memarahinya sehingga membuatkan pelakon itu menangis.
"Saya tertekan bila Mamat marah dan memanggil saya kayu. Saya tidak boleh kena marah. Jadi, akibat terlalu tertekan saya menangis. Dalam kalangan kesemua pelakon Rock Ooo, saya rapat dengan Khir dan saya mengadu padanya serta menyalahkannya kerana memaksa saya kembali berlakon dan menghadapi situasi ini," jelas Que Haidar yang kembali pada dunia lakonan kerana jatuh cinta dengan jalan cerita dan barisan pelakon filem Rock Oo.
Terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk peminat melihatnya muncul kembali dalam arena lakonan, membuatkan Que Haidar tertekan dan tidak mampu memberikan lakonan mantapnya sebelum ini dalam filem Rock Oo.
Ulas Mamat mengenai perkara itu pula, katanya, Que Haidar sebenarnya berasa rendah diri dan terlalu memikirkan mengenai lakonannya sehingga membuatkan dia tidak dapat menjiwai karakter lakonannya sebagai Amy Mat Piah.
"Mujur lakonan 'kayu' Que Haidar cuma bertahan selama beberapa hari sahaja sebelum dia kembali menjadi Que Haidar yang asal," jelas Mamat lagi.
Berhubung cabaran lain pula dalam menghasilkan filem Rock Oo, ujar Mamat lagi, dia perlu menjaga keseluruhan aspek seperti pakaian, dialog dan juga visual untuk menghasilkan zaman rock yang popular sekitar tahun 80-an.
Ditanya mengenai barisan pelakon-pelakon filem Rock Oo, ujar Mamat lagi, dua watak baharu ditampilkan dalam Rock Oo ialah Slash Haji Tapah, lakonan Pekin Ibrahim dan Mi Black, yang direalisasikan Azmi Black.
Kongsi Mamat, walaupun watak lakonan Pekin dan Azmi Black tidak mempunyai banyak dialog tetapi kedua-dua pelakon itu mampu memantapkan lagi jalan cerita filem tersebut bersama pelakon-pelakon yang sedia ada sebelum ini seperti Khir Rahman, Sofi Jikan dan Que Haidar sendiri.
Rock Oo mengisahkan mengenai Amy Mat Piah yang berhasrat ingin menyatukan kembali kumpulan rock Rimba Bara yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu. Begitupun, hasratnya untuk membuatkan Rimba Bara menyinar kembali bukan mudah kerana mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.
Filem terbitan bersama Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Naga AVXS Sdn. Bhd. itu yang sudah ditayangkan di pawagam bermula 28 Februari lalu itu turut menampilkan lakonan aktres sensasi, Tasha Shilla.
(Sumber Dari KOSMO! 02/03/2013)
No comments:
Post a Comment