TANGGAL 29 Mei 2011 pastinya menjadi momen indah buat penyanyi dan pelakon, Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi, 31, atau Elly Mazlein apabila mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya iaitu Azmi Hata, 37, yang juga merupakan seorang pengarah drama.
Mengimbas semula majlis pertunangan mereka yang berlangsung di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur, ia diadakan dalam majlis yang serba mewah. Malah, Elly turut dibawa menaiki kereta kuda menuju ke dewan.
Mengikut perancangan pasangan itu sepatutnya diijabkabulkan pada Februari lalu, namun pelantun lagu Sutera Kasih itu pernah memberitahu perkahwinan mereka terpaksa ditunda pada bulan Disember 2012.
Bagaimanapun, Elly yang ditemui pada penggambaran drama Bazar Al-Mubarak baru-baru ini menyatakan tidak dapat memberikan tarikh rasmi mengenai majlis pernikahan mereka.
Kosmo!: Sudah lebih setahun bertunang, adakah tarikh pernikahan Azmi dan Elly sudah ditetapkan?
ELLY: Sebenarnya masih belum ada lagi tarikh yang betul-betul rasmi untuk majlis pernikahan kami. Kalau boleh saya ingin berkahwin segera kerana kami pun sudah bertunang agak lama.
Apakah yang menyebabkan kalian berdua belum mendapatkan tarikh yang sesuai?
Semuanya disebabkan kesibukan saya dan Azmi dalam kerjaya masing-masing. Saya sangat bersyukur kerana pada tahun ini tawaran berlakon yang saya terima tidak putus-putus, manakala Azmi pula sibuk dengan kerjayanya sebagai pengarah. Malah, semasa bertunang pada tahun lalu pun saya cuma bercuti selama dua hari sahaja sebelum kembali menjalani penggambaran. Jadi, jadual kerjaya kami memang sentiasa padat buat masa sekarang.
Pada jangkaan anda, adakah kalian akan tetap mendirikan rumah tangga pada tahun ini atau mungkin ditangguh ke tahun hadapan?
Kalau nak diikutkan saya memang mahu berkahwin pada tahun ini, namun semuanya bergantung kepada keadaan kami berdua. Disebabkan itu saya tidak boleh memberikan jawapan yang kukuh mengenainya. Bagaimanapun, kalau kami sudah bersedia dan mendapat tarikh yang sesuai, saya sendiri akan umumkan kepada media dan peminat. Lagipun, saya memang tidak keberatan untuk berkongsi tentang hari bersejarah kami kepada umum.
Apakah perkembangan kerjaya anda sekarang?
Ketika ini saya sedang sibuk menjalani beberapa penggambaran drama dan telefilem. Yang terbaharu, saya kini menjalani penggambaran drama sitkom berjudul Bazar Al-Mubarak yang akan ditayangkan pada bulan Ramadan ini.
Asyik sibuk dengan dunia lakonan, bagaimana pula dengan karier sebagai penyanyi?
Karier nyanyian saya masih lagi diteruskan dan banyak terlibat dengan beberapa projek seperti merakamkan lagu runut filem iaitu Awan Dania The Movie dan Aku, Kau Dan Dia.
Pada bulan puasa ini saya akan berehat sebentar daripada dunia lakonan kerana akan masuk studio untuk menghasilkan single terbaharu. Cuma, saya tidak dapat menceritakan lebih lanjut mengenainya, tetapi lagu sudah ada dan kini tinggal masa untuk merakamkannya sahaja.
Anda dilihat bertudung. Adakah ini penampilan terkini anda?
Ketika ini saya masih lagi belum bertudung dan penampilan saya sekarang ini kerana menjalani penggambaran drama yang sedang saya lakonkan sekarang. Dalam drama ini saya membawakan watak sebagai Milah, seorang janda yang berniaga kuih-muih di bazar semasa bulan Ramadan.