Empat tahun menjanda, pelakon ini jarang dikaitkan dengan kisah-kisah kontroversi dan cinta. Walaupun pernah menyatakan hasrat untuk merasai kembali pengalaman bergelar isteri orang, namun pelakon genit, Wan Sharmila, ini bijak membawa diri.
Namun, sejak akhir-akhir ini, mungkin pengikut laman mikro, Twitter dan Instagram pelakon filem, Bisikan Syaitan, ini dapat menghidu sesuatu mengenai hubungan cintanya.
Sering memuat naikgambar dan ayat-ayat yang menunjukkan dirinya seolah-olah sedang dilamun cinta, akui Wan, dirinya kini sudah berpunya.
Menurut Wan, dia tidak mahu terlalu terburu-buru dengan hubungan yang baru dibina itu sehingga menyukarkan perjalanan cintanya.
"Ya, memang saya kini sedang dilamun cinta dan sudah berpunya. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang dan berharap hubungan ini berjalan lancar," katanya.
Ketika ditanya, apakah buah hatinya itu terdiri daripada golongan VIP, Wan nampaknya lebih selesa tidak mendedahkan lagi identiti sebenar jejaka itu.
"Siapa dia, tidak perlu saya perkatakan untuk ketika ini kerana saya tidak mahu terlalu terbuka dalam soal cinta dan perhubungan.
"Mungkin buat masa ini, masih tidak sesuai untuk memberitahu kesemuanya. Namun saya tidak menolak untuk memperkenalkannya secara umum satu masa nanti. Cukuplah saya katakan yang dia kini berada di London dan bukanlah di kalangan orang seni," katanya.
Sebelum ini, Wan pernah mendirikan rumah tangga bersama penerbit dan pemilik syarikat produksi, Radius One, Fazli Baharom. Namun, hubungan itu berakhir dengan penceraian pada 23 Oktober 2009, setelah tiga tahun bersama.
Raya ala kadar
Bertanya mengenai persiapan menyambut lembaran Syawal, akui Wan, dia lebih selesa bersederhana dan tidak terlalu awal menyediakan kelengkapan.
Menurut Wan, sambutan rayanya tidak terlalu fokus untuk diri sendiri, malah dia lebih mementingkan persiapan untuk ibu tercinta.
"Sambutan raya saya hanya ala kadar, maklumlah hidup seorang. Namun, saya lebih tertumpu kepada kelengkapan rumah mak di kampung.
"Baju raya mak pun saya dah beli dan bila dekat-dekat raya nanti, saya akan tolong mak untuk membeli barang-barang kelengkapan dapur dan sebagainya.
"Mungkin seminggu sebelum raya, saya akan pulang ke kampung halaman, Johor Bahru, dan mungkin seminggu selepas itu, saya akan kembali ke ibu kota untuk bekerja," katanya yang mengakui menu wajib yang perlu ada ketika raya ialah Laksa Johor.
Muka melecur teruk
Mengimbau kenangan berpuasa ketika zaman kanak-kanak, Wan akui ada peristiwa yang tidak dapat dilupakan sehingga kini.
Jelas Wan, peristiwa itu berlaku ketika itu usianya baru mencecah lapan tahun dan niat membantu ibunya berakhir dengan insiden buruk.
"Ada satu hari, mak saya kurang sihat. Jadi, dia suruh saya tolong tumiskan bawang dan cili yang telah dikisar.
"Bila saya nak tuangkan dalam kuali panas, cili itu melekat di dalam mesin pengisar. Jadi, saya goncangkan kuat-kuat sehingga minyak panas dan cili itu terpercik dekat muka.
"Muka saya melecur teruk sehingga berkudis. Sampaikan saya terpaksa menutup muka di sekolah kerana malu. Namun, syukur Alhamdulillah, kesan parut itu hilang," katanya yang mengakui pernah dicium lelaki dewasa ketika pergi beraya.
-Sinar harian