Teka-teki mengenai hubungan penyanyi Alyah dengan konduktor muzik terkenal tanah air, Datuk Ramli MS bakal terjawab apabila pelantun lagu 'Kisah Hati' itu dikhabarkan akan membuat satu pengumuman mengenai status hubungan mereka sebelum hujung tahun ini.
Menerusi akhbar Bipop baru-baru ini, Alyah memberitahu dia akan merungkaikan segala perkara mengenai isu tersebut kerana tidak mahu perkara yang sudah berlanjutan sejak empat tahun lalu itu terus diperkatakan umum.
"Jangan salah faham, Alyah bukan mahu membuat satu pengumuman. Maksud Alyah, sekiranya waktu itu sampai, Alyah akan menjelaskannya kepada semua. Hampir empat tahun orang bertanya mengenai isu yang sama sehingga ayat yang keluar menjadi kontroversi. Sebab itu Alyah akan merungkaikan perkara tersebut jika sampai waktunya. Bila masanya, itu Alyah tak boleh nak jamin, tapi insyaAllah dalam waktu yang terdekat," tutur Alyah ketika ditemui pada majlis pengumuman Alyah sebagai duta Butik Aalia Tudung dan Selendang di gedung Euro Moda Gulati's , Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada Selasa.
Alyah ketika ditemui turut menjelaskan bahawa bukan niatnya untuk melarikan diri atau mengelak apabila ditanya mengenai status hubungannya dengan pemuzik itu. Namun, pelantun lagu 'Tak Mungkin Kerna Sayang' ini memberitahu dia mempunyai sebab tersendiri selain perlu menjaga hati semua pihak.
"Bukan saya mahu melindungi, namun perkara ini bukan melibatkan saya saja, tapi ia melibatkan banyak pihak, jadi saya tak boleh nak memandai-memandai dalam perkara ini. Lagipun, saya sendiri faham apabila berada dalam industri ini, saya nak lari ke mana lagi.
Namun, jika dipandang dari sudut saya seorang wanita, sudah tentu saya malu dan sebab itulah saya memang tak mahu bercakap lebih mengenai hal ini. Lagipun, cerita yang ditulis kebanyakannya bertanya kepada saya saja dan bukan dari pihak sana. Saya juga kena jaga hati keluarga saya dan sebab itulah apabila waktu itu sampai, saya akan cakap. Saya harap hujung tahun ini akan memberi sesuatu yang baik selepas empat tahun saya menyimpan perkara ini," ujar Alyah lagi.
Nikah di Thailand?
Kontroversi mengenai hubungan Alyah dengan Datuk Ramli MS mula timbul apabila mereka berdua dikatakan menjalin hubungan cinta. Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka mengambil pendekatan untuk tidak berbicara secara terbuka mengenai perkara tersebut. Namun, tahun lalu timbul pula gosip pasangan ini sudah mendirikan rumahtangga di negara jiran. Apabila ditanya kepada Alyah, apakah status sebenarnya sekarang, ini jawapannya.
"Dari dulu saya memang tak akan cakap ya atau tidak tentang status saya. Namun, sudah tentu saya juga mahu berkongsi perkara gembira dengan peminat. 14 tahun berada dalam industri merupakan satu jangka masa yang panjang. Saya sudah melalui macam-macam dugaan dalam karier, begitu juga dengan perhubungan saya. Walaupun hampir jatuh, saya tak mudah mengalah. Saya percaya, Allah menjanjikan sesuatu buat orang yang sabar. Jadi, saya harap semua dapat mendoakan sesuatu yang positif dan terbaik untuk saya," kata Alyah mengakhiri perbualan.