Browse >
Home /
Hiburan / Huish!! Azhar Sulaiman muflis sudah??
Sebuah telefilem berjudul Manis Manis Mulut bakal disiarkan untuk mengisi slot Panggung Seri pada 17 Disember dengan menampilkan lakonan hebat Azhar Sulaiman, Acong Sweetchild, Anita Baharom, Atie AF, Fathil Dani, Watie Sadali dan Atty Sulaiman.
Bermula kerana cuba untuk memenuhi tuntutan kedua-dua isterinya yang pada mulanya aman bahagia bermadu namun kemudiannya sering berbalah, Badrul cuba menambah pendapatan dengan mencari kerja sampingan. Dia sedar, pendapatannya sebagai penceramah dan pakar jualan di sebuah syarikat jualan langsung tidak sebanyak mana.
Kerana terdesak mencari duit, secara senyap Badrul terpaksa memberi ceramah jualan di sebuah syarikat yang menjadi pesaing kepada syarikatnya sekarang. Kehebatan Badrul telah lama diketahui oleh Salim, juga seorang pengusaha syarikat jualan langsung. Jadi, untuk memenuhi kehendak kedua-dua isterinya, Badrul terpaksa berulang alik antara kedua-dua syarikat itu.
Oleh kerana terlalu sibuk dengan tugasan barunya, Badrul sering lewat pulang ke rumah. Masanya kini terlalu terhad untuk dibahagikan antara isterinya dan kerja. Ini menimbulkan kecurigaan di fikiran Rita dan Ima. Mereka telah berpakat untuk mengintip segala pergerakan Badrul. Kadang-kala Badrul diserang hendap oleh mereka sehingga membuatkan dirinya teramat marah dengan situasi yang dihadapinya.
Di dalam kebingungan ini, Badrul mendapat durian runtuh apabila Salim menawarkan jawatan lembaga pengarah syarikat, gaji tinggi dan mendapat saham syarikat 51% tanpa mengeluarkan modal. Dia begitu gembira lalu terus menerima tawaran itu tanpa berfikir panjang.
Dia mula mencari rumah untuk menempatkan isteri keduanya Ima. Dia berjumpa dengan seorang ejen hartanah bernama Fida. Badrul sungguh teruja dan tertarik dengan kecantikan dan keyakinan Fida. Badrul ajak Fida berkahwin tetapi sebelum sempat apa-apa berlaku, Rita dan Ima mengetahui rancangan Badrul lalu memulakan perang dan meminta cerai. Kawan Ima, Samy seorang peguam perceraian memberi nasihat kepada Ima supaya harta Badrul dibahagikan sama rata.
Badrul terkejut dengan desakan penceraian dan agihan harta daripada isteri-isterinya. Dia tidak mahu hidup susah lagi dan tidak mahu hilang rumah yang baru dibeli melalui Fida. Fida memberi idea untuk meletakkan rumah baru itu di bawah namanya untuk sementara sehingga kemelut ini berakhir dan Badrul bersetuju.
Sesudah Badrul selesai bercerai dengan Rita dan Ima serta mengetahui pembahagian harta, dia dikejutkan di pejabatnya dengan surat dari peguam yang menyatakan syarikat Salim sebenarnya menanggung hutang yang banyak. Badrul cuba menghubungi En Salim tapi tidak berjaya. Kini barulah Badrul sedar yang dia telah teraniaya oleh kata-kata manis Salim. Badrul akan diistiharkan muflis jika tidak dapat membayar hutang syarikat.
Lalu bagaimanakah kesudahannya? Dapatkah Badrul mengembalikan kebahagiaan dalam keluarganya atau segalanya sudah jadi sia-sia belaka?