Mana mungkin anda, para peminat tegar dunia hiburan lupa pada Siti Nordiana. Penyanyi yang mesra dengan panggilan Nana ini popular dengan lagu Gurauan Berkasih bersama vokalis Spin, arwah Achik. Meskipun sudah jarang-jarang muncul di kaca TV mahupun di dada-dada akhbar dan majalah, namun menurut pelantun lagu Bukan Mengungkit Tapi Membangkit yang sudah tampil denga imej berhijab ini, dia masih aktif menyanyi hingga sekarang.
Pun begitu, sekitar bulan lalu nama Nana hangat diperkata ramai ekoran timbul gosip ibu anak satu ini dikatakan menjalin cinta dengan bekas pelajar Akademi Fantasia (AF6), Nubhan. Spekulasi semakin rancak memandangkan kedua-dua selebriti ini berstatus solo dan mereka kebetulan berasal dari Negeri Sembilan.
"Ya, memang sekarang ramai juga yang masih bertanyakan mengenai gosip tu kepada saya. Sebenarnya dakwaan saya bercinta dengan Nubhan tak sahih.
"Kami berkawan baik. Kami pun berasal dari negeri yang sama. Dulu memang kami kerap berjumpa. Memang pergi mana-mana, kami selalu bersama. Cuma sekarang ni kami jarang jumpa sebab masing-masing sibuk. Kami tak bercinta. Saya anggap dia macam adik saya. Gosip tu tak munasabah.
"Kalau betullah kami bercinta, takkan lah kami dengan mudah nak kongsi gambar percutian di Perhentian lalu. Kami kongsi setakat suka-suka saja. Lagipun kami pergi beramai-ramai. Kawan-kawan dia kawan saya juga. Kawan-kawan saya, kawan dia juga", kata Nana kepada Malaysian Digest.com ketika ditemui selepas majlis sidang media Baby & Raya Ekspo 2013, di PWTC, semalam.
Nana diminta mengulas mengenai gambarnya bersama Nubhan yang tersebar diinternet lantas timbulnya gosip mereka bercinta.
Dalam pada itu Nana juga mendedahkan, sejak bergelar ibu tunggal, ada beberapa lelaki yang cuba mendekatinya tak kurang mahu melamarnya sebagai isteri. Namun dia menolak lamaran tersebut secara baik kerana merasakan dirinya belum berjumpa dengan lelaki yang benar-benar mampu membuka pintu hatinya untuk kembali bergelar isteri, buat masa ini.
"Ada juga yang mendekati. Ada yang nak lamar saya. Tapi saya tolak sebab tak rasa lelaki itu sesuai dengan saya. Dulu ada juga keluarga cuba jodoh-jodohkan, tapi saya tak mahu. Saya rasa biarlah saya yang pilih sendiri.
"Sebolehnya kalau saya berkahwin semula nanti, saya mahu suami saya itu menyayangi Rayyan. Saya mahu Rayyan dapat kasih sayang seorang ayah seperti mana kasih sayang ayahnya. Saya hanya berserah sajalah", ujar Nana yang turut mengakui kini lebih berhati-hati dalam membuat pilihan teman hidup.
Nana mempunyai seorang anak lelaki, Mohamad Rayyan Nakhaie yang berusia 5 tahun, hasil perkahwinannya dengan arwah pelakon Mohd Faizal Yusup pada 2006.
Dalam perkembangan lain, selain bakal muncul dengan single terbaru duet bersama Syura, Nana mula berjinak-jinak dalam dunia pernigaan shawl dan cookies, 'Nana Bepan Cookies'.
"Perniagaan shawl ni baru jer bermula, yang cookies pula sebenarnya saya tolong makcik saya. Bepan tu sejenis cookies macam cakar ayam. Harganya, RM20 untuk 60 biji. Alhamdulillah setakat ni kami dapat banyak tempahan. Kalau ada yang berminat nak buat tempahan boleh hubungi nombor ni, 013-3802680″, tuturnya.