Ajak anak muda sertai bisnes mudah jual makanan ringan, kembali bawa watak jahat dalam dramaBukan saja pandai memasak, jejaka bertubuh tegap ini rupa-rupanya bijak berniaga.
Pelakon, Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali dengan panggilan Fizo Omar, khabarnya sibuk mengajak anak muda menyertai projek rangkaian gerai burger yang diusahakannya, empat bulan lalu.
Diam tak diam, rupanya Fizo sudah mempunyai 30 cawangan gerai burger yang dinamakan, Hot Burger. Mensasarkan 100 buah gerai dibuka di Lembah Klang hingga akhir tahun ini, Fizo menjadi pembekal bahan mentah dalam projek rangkaian gerai burger itu.
"Saya membekalkan bahan menghasilkan burger seperti daging, sos dan sebagainya. Saya bekalkan semua bahan itu kepada belia atau individu yang berminat membuka gerai Hot Burger.
"Apa yang penting, modal dan gerai saya beri secara percuma. Motif utama saya sudah tentu mahu membantu belia selain berkongsi panduan berniaga secara mudah." katanya.
Fizo berkata, inisiatif menawarkan rangkaian gerai burger itu diperkenalkan selepas kajian lengkap dibuat mengenai prospek perniagaan itu.
"Sudah lama saya ingin membuka perniagaan ini. Saya juga membuat kaji selidik dan bersyukur, akhirnya ia dapat dilancarkan.
"Dalam sehari, kira-kira 3000 biji burger terjual. Selepas ini, saya mahu membuka gerai di Johor kerana banyak permintaan dari luar Kuala Lumpur," katanya yang mencipta resipi sendiri dalam burger yang dijual.
Fizo ditemui ketika menjalani penggambaran drama bersiri terbaru arahan Rashid Sibir di Ridgewood Desa Parkcity, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain akan tampil dengan filem Isyarat Cinta arahan Bade Azmi dan Sembunyi serta Hello, Fizo akan kembali menghiasi layar televisyen dengan watak yang berbeza dan lebih segar.
Tak sesuai watak komedi
Selepas selama empat tahun tidak menjayakan watak antagonis, Fizo teruja kerana diberi peluang menghidupkan karakter sisi gelap pula.
"Sekarang, saya mahu cuba sesuatu yang berbeza. Ini dihidupkan dalam watak Haikal menerusi drama Surat Dari Langit Biru. Selama ini, peminat sudah selesa dan banyak melihat saya memainkan watak baik," katanya.
Fizo berkata, dia tidak sabar melihat reaksi peminat apabila muncul dengan watak jahat.
"Kalau diimbas kembali, watak saya dalam drama Bio Nik saja yang dikatakan jahat. Itupun empat tahun lalu. Saya teruja hendak melihat pembaharuan dalam mainan watak kali ini," katanya yang menganggap dirinya tidak sesuai memainkan watak komedi.
Tidak mahu memperbodohkan diri sendiri, Fizo menganggap watak komedi bukan untuk dirinya.
Namun, Fizo pernah menjayakan teater muzikal komedi seperti Ali Baba The Musical dan drama Dollah Hapak, baru-baru ini.