berita |
Tempatan
Teks oleh Syafiqah Jalal
Emel: syafiqah_jalal@digitalfive.com
KUALA LUMPUR, 26 JANUARI2012: Penyanyi dan pelakon jelita, Erra Fazira akui terkilan melihat perjalanan kerjaya nyanyian bekas protegenya dalam program realiti Mentor musim kelima, Salma atau Salmah A. Asis yang agak perlahan selepas menjuarai program tersebut.
Malah, dia berkata Salma sepatutnya berjumpa dengan orang yang tepat untuk membawanya melangkah jauh serta mengatur kerjaya juga namanya yang sudah dibina sejak menjuarai Mentor musim kelima itu.
"Selepas sahaja habis Mentor 5, saya ada menawarkan diri untuk membantunya serta menguruskan kerjayanya sebagai seorang penyanyi. Namun Salma menolak kerana mahu membawa haluan sendiri.
"Tapi sehingga kini, saya agak kecewa apabila melihat keadaanya yang masih terumbang-ambing membawa haluan diri sendiri dalam bidang ini.
"Sayang juga dengan nama yang telah ditempanya sebagai seorang juara. Bagi saya, juara bukanlah tiket untuk dia berjaya dalam bidang nyanyian kerana dia perlu banyak usaha lagi untuk kekal dalam indusrti ini.
"Saya pasti dia boleh pergi jauh jika dia dapat berjumpa dan dibawa oleh orang yang benar-benar tahu mengenai selok-belok industri muzik ini.
"Walau bagaimanapun, sebagai bekas mentornya saya masih lagi terbuka untuk membantu sekiranya dia meminta pertolongan daripada saya," katanya selepas sidang media Pilih Kasih 3, petang semalam.
Selepas menjuarai Mentor 5, Salma membuat keputusan untuk tidak mengambil mana-mana pengurus untuk mengurus kerjayanya sebaliknya bergerak sendiri.
Sungguh pun begitu, Erra Fazira masih berharap agar Salma lebih bijak mengatur kerjayanya dalam bidang nyanyian supaya dia berpeluang kekal lama dalam industri sebaris dengan artis realiti yang sudah berjaya lain.
"Saya lihat Salma masih mencari identitinya sendiri. Saya takut dia tersalah memilih identiti atau genre muzik untuk dipersembahkan.
"Saya tahu, dia sukakan muzik rock dan cuba untuk membawa identiti rock. Tapi sayang orang lebih suka melihatnya membawakan lagu pop dan balada.
"Tidak salah memilih genre muzik yang kita suka. Tetapi apa yang penting untuk bertapak dalam industri muzik, pertama sekali dia perlulah mengutamakan kemahuan peminat pada waktu itu.
"Bila kita sudah benar-benar dapat menempa nama dalam idusrti, barulah seseorang artis itu berpeluang untuk memilih muzik yang dia suka kerana waktu itu dia sudah ada pengikutnya sendiri," luah Erra Fazira lagi.
Erra Fazira yang selesa bergerak sebagai juri bakal menjadi pembimbing dan juri untuk program realiti Pilih Kasih musim ketiga bersama penerbitanya, Rosyam Nor.
Full content generated by Get Full RSS.