Ikutilah temubual yang menarik antara Kosmo! dengan tiga pelakon berkualiti tanah air.
TIGA anak seni berjiwa besar milik persada lakonan tanah air, sama ada Sam, Noor dan Eman, mereka disanjung kerana kredibiliti bukannya sekadar populariti.
TIGA anak seni kesayangan ramai Eman Manan, Noorkhiriah Shapie dan Shaheizy Sam bergandingan secara tidak sengaja sempena meraikan sambutan jubli perak penganjuran Anugerah Bintang Popular, baru-baru ini.
Memanfaatkan ruang serta peluang yang bukan mudah untuk menyatukan bintang berjiwa besar itu, secara santai mereka diajak bersembang. Bercerita soal populariti dan kualiti yang berlingkar dalam rutin seni masing-masing, ketiga-tiga mereka saling menyanjung sesama sendiri.
Lebih manis, Eman, Noor dan Sam, mereka itu jatuh dalam kelompok artis yang bersinar di layar seni lebih awal sebelum popular di mata ramai.
Ceritakan detik terawal tatkala anda mula dilimpahi populariti?
EMAN MANAN (E): Masa tahun pertama menyambut hari raya sebagai artis, waktu itu sekitar 1984 masa saya berlakon filem Matinya Seorang Patriot. Masa awal-awal puasa, bila balik rumah, ada kad raya untuk saya, setiap hari pasti ada kad raya tapi setakat sekeping atau dua keping, jadi saya rasa saya tak popular macam artis yang dapat berguni-guni kad raya. Masuk dua atau tiga hari sebelum raya, saya terkejut besar apabila ada seguni kad raya depan pintu rumah saya, masa itu baru saya sedar, ini barangkali impaknya daripada kredibiliti filem itu.
SHAHEIZY SAM (S): Sejak 3 April lalu, selepas menang Anugerah Bintang Popular tapi saya tetap percaya bahawa saya hanya dikenali bukan bermaksud semua orang kenal saya.
NOORKHIRIAH (N): Memang saya pernah menang anugerah Pelakon Komedi Wanita Popular tiga tahun berturut-turut tapi sebelum itu saya tak pernah rasa bahawa saya ini pelakon popular. Cuma selepas tersiarnya drama Kerana Cintamu Saerah, saya rasa impak yang besar, dapat buka mata orang, orang mula tegur saya, saya dapat banyak respons serta lebih murah rezeki selepas itu.
Bila sudah popular, bagaimana pembawaan diri serta keyakinan berdepan umum?
S: Saya masih sama seperti Sam yang dikenali sebelum ini. Sebelum ini pun ramai artis sudah melalui zaman populariti masing-masing, saya cukup sedar hakikat itu jadi tak selamanya kita akan akan berada di mana kita berada sekarang. Saya cukup sayangkan penyokong saya jadi saya akan sesuaikan diri dengan apa sahaja situasi. Bagi saya peminat itu ikhlas jadi saya juga ikhlas.
N: Tak ada apa yang berubah, selagi orang tegur, pandang dan berikan senyuman, saya akan buat buat perkara yang sama. Kalaulah ada yang tidak berkenan tengok saya pun, saya tetap kena terima. Saya seorang yang simple tapi dalam masa yang sama cepat paranoid, terlalu memikirkan sesuatu secara lebih-lebih.
Kontroversi paling memuncak barangkali bila?
E: Mungkin semasa pernikahan saya dengan bekas isteri, Fauziah Ahmad Daud dulu. Ketika itu terlalu banyak hati yang harus dijaga, hormat perasaan keluarga sementelah Ogy anak orang besar-besar, tapi mujur media zaman itu belum banyak seperti sekarang. Saya juga tidak ambil pusing tentang gosip dan majalah. Saya hanya baca surat khabar.
S: Sejak kecil saya hidup dalam dunia saya sendiri, dan selalu rasa diri saya tidak menarik, jadi tiada apa untuk dihebohkan.
N: Suam-suam sahaja, tak ada yang besar. Kalau ada cerita panas pun masa awal-awal dululah, zaman pakai skirt pendek dalam majalah Mangga.
Pernah terasa hilang privasi akibat populariti?
E: Dulu bila sudah popular, saya jadi tidak selesa. Saya hilang kawan baik dan kawan sekolah sebab masing-masing ada kehidupan berbeza, saya pula jadi seorang yang eksklusif. Bila fikirkan semua itu, saya mula buka ruang untuk bergaul dan dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat kecuali media. Sebab itu dulu, apa sahaja hebahan tentang saya, banyak tentang kerjaya, bukan hal peribadi.
S: Paling saya jaga ialah perasaan orang lain, jadi sedaya upaya saya bercerita tentang kerja sebab bukan semua orang mahu tahu hal peribadi kita. Kalau kerap sangat baca tentang kisah peribadi artis lain, terdetik juga, baik simpan sahaja kisah begitu.
N: Tak ada sangat, tak ramai pun orang teruja nak tahu kisah peribadi saya.
Populariti artis terdahulu dan artis sekarang pula bagaimana?
E: Dulu acara-acara penganugerahan tidak banyak, tidak sebesar hari ini. Acara penganugerahan dulu juga lebih ikhlas, tiada penyelewengan, artis juga tidak perlu melobi diri sendiri untuk menang.
S: Saya lebih pandang tinggi usaha artis terdahulu, mereka lebih patut dipuji. Orang dulu popular kerana hasil kerja dan ketika itu mereka tidak terdesak pun untuk popular. Saya sendiri lebih baik tidak popular jika tiada hasil kerja yang berkualiti.
RIAK teruja terpancar daripada wajah Noorkhiriah apabila diajak oleh Eman (kanan) untuk berlakon bersama. Sam yang berada dalam situasi berkenaan turut berbangga jika mereka dapat berkolaborasi dalam dunia lakonan.
Pentingkah populariti itu?
E: Kalau populariti itu hanya kerana kisah peribadi, saya jadi kasihan.
S: Kerja yang baik akan mendatangkan dan mengekalkan populariti.
N: Bila popular, rezeki seseorang itu lebih lebat, makin banyak tawaran. Tapi saya bersyukur sangat, walaupun bukan artis 'panas' saya diterima baik oleh media. Popular memang boleh tambah rezeki jadi murah, tapi rezeki itu daripada Allah.
Nilai sentimental di sebalik sebuah trofi?
E: Ada orang kata, dapat anugerah bukan dapat duit, tapi trofi itu mustahak. Momen diberi dan menerima trofi itu seolah-olah, 'inilah detiknya'. Tapi trofi itu menjadi lebih berharga jika sehabisnya sesebuah pesta penganugerahan tidak berlaku apa-apa kekecohan.
S: Trofi hanya penghargaan diberikan tanda kenangan tetapi tidak menjanjikan saya untuk kekal dalam liga terbaik atau popular.
N: Trofi itu pengiktirafan, bernilai tapi suami dan anak-anak lebih bernilai rasanya buat saya. Trofi itu bukti saya kepada keluarga bahawa saya pernah dihargai dalam kerja lakonan ini. Ada lima trofi dalam almari saya, tapi ia tidak menjanjikan apa-apa, terutama dalam bab bayaran berlakon.
Jangka hayat dalam bidang lakonan?
E: Saya tiada jawapan untuk soalan itu, tapi kalau seseorang itu pemimpin yang hebat, dia sendiri tahu di mana titik 'matinya', tahu waktu harus undur. Pengertian heroism di Malaysia tidak sama dengan pengertian heroism di Barat.
S: Saya setuju dengan pegangan abang Eman. Bagi saya berundur tidak bermaksud hilang daripada dunia seni itu, mungkin harus beralih ke perjuangan lain, sebab, di mana kita berhenti, di situlah orang akan mengingati kita.
N: Soal hayat dalam industri, rasanya sudah tinggal tak berapa lama lagi. Saya sudah ada sasaran lagipun saya sudah berhijrah begini (bertudung), kalau rezeki lakonan bukan untuk saya lagi, saya reda. Sebenarnya saya rindu hendak berteater, cuma masa dan peluang belum ada.