Ladylike kumpulan pertama KRU lebar sayap ke peringkat global
LANGKAH KRU untuk mengembangkan perniagaannya nampaknya tidak terhenti setakat di peringkat Asia semata-semata.
Selepas melancarkan KRU Studios di Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan Hong Kong, empayar perniagaan yang diasaskan oleh trio adik beradik, Norman, Yusry dan Edry ini terus mengorak langkah dengan menembusi pasaran Eropah menerusi syarikat KRU Europe Ltd yang ditubuhkan pada 7 April 2008 di London, England.
Berfungsi sebagai ibu pejabat operasi KRU di Eropah, KRU Europe Ltd juga turut menguruskan hal ehwal pemasaran filem dan muzik khususnya produk dalam bahasa Inggeris. Di negara ini, syarikat KRU diketuai oleh Robert Bromley - seorang yang pernah berkhidmat di sebuah agensi berita, Reuters dan menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat telekomunikasi, Nortel di benua Eropah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios Sdn Bhd, Norman Abdul Halim berharap perlantikan Robert itu mampu merealisasikan impian mereka untuk terus bertapak di negara ini.
"Pengalaman dan rangkaian perniagaan Robert sememangnya akan banyak membantu operasi KRU di benua berkenaan.
"Sebagai langkah pertama KRU Europe, pihak kami sudah pun mengadakan sesi uji bakat di seluruh negara berkenaan seperti Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Iceland sejak Jun tahun lalu untuk mendapatkan anggota kumpulan gadis pertama di bawah KRU," kata Norman dalam satu kenyataannya kepada Hip.
Ternyata, sesi uji bakat itu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila lebih 600 peserta hadir untuk menyertai acara yang diadakan di Cosmos Studios itu. Cosmos Studio adalah sebuah studio di Stockholm yang pernah digunakan artis terkenal antarabangsa seperti ABBA dan juga Roxette.
Selepas melalui pelbagai peringkat saringan, akhirnya empat orang peserta berjaya di pilih untuk disatukan menjadi sebuah kumpulan gadis pertama KRU Europe. Mereka yang dianggotai Miranda Hortland, Valerie Wigardt, Louise Tomassino dan Isabel Billing menggelarkan diri mereka sebagai Ladylike.
Berkonsepkan pop rock, Ladylike dijadualkan akan turun ke ibu negara bagi memulakan rakaman album pertama mereka yang diterbitkan Edry pada Jun ini. Kesemua lagu sudah pun dikumpulkan dan hanya menunggu kehadiran anggota kumpulan ini untuk sesi rakaman vokal.
Di peringkat awal, album ini hanya akan diedarkan di peringkat Asia dan Eropah. Sekiranya mencapai kejayaan yang diharapkan, KRU tidak teragak-agak untuk mencuba memasarkannya di Amerika Syarikat.
KRU berharap dengan langkah pertama ini, bukan saja dapat membantu KRU mengeksport produk terbitan Malaysia dan mencapai kejayaan malah ia juga sekali gus mengharumkan nama negara di persada seni antarabangsa.