GAMBAR | NORA DANISH SUDAH ADA CINTA BARU
NORA DANISH MOHD. HANIF hadir ke sesi fotografi dengan wajah polos, cukup sekadar cermin mata hitam menjadi pelengkap aksesori. Berpimpin tangan dengannya adalah anak kesayangan yang cukup bijak dan comel, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, tiga tahun. Rayqal yang lebih teruja untuk berposing sambil mulut mungilnya menyatakan dia mahu membuat sesi fotografi.
Seiring lincah jurusolek mengoles wajah cantik pelakon yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi ini, kami berbicara. Nora berbicara tentang sisi kerjayanya yang semakin menapak tinggi, mengejar momentum sebenar seorang pelakon penuh integriti.
Hal itu dapat dilihat sejak pertengahan tahun lalu, sejak dia membawa karakter Dhia dalam drama rantaian Tentang Dhia yang mendapat sambutan hangat. Berganding dengan aktor Adi Putra sebagai pasangan suami isteri yang teraniaya, saham Nora melonjak naik. Padahal, itu bukan hasil lakon pertamanya. Nora sudah terbabit dengan lebih segudang naskhah baik drama ataupun filem.
Hanya kali ini, kredibiliti dia sebagai seorang pelakon mula membuka banyak mata orang yang beranggapan Nora terkadang terlalu comel untuk dipelbagaikan watak, terutama untuk menggalas karakter yang bermain dengan banyak emosi.
Nora senyum sebelum semangat bercerita. Dia mengaku kalau Tentang Dhia memang telah membuka mata banyak pihak tentang kredibiliti sebenarnya.
"Namun sebenarnya, yang membuat cerita itu bagus, bukan sebab saya, tetapi kerana skrip, jalan cerita dan seluruh produksi yang terlibat. Bayangkan, waktu baca skrip saja saya sudah menangis, yang membawa maksud cerita itu memang memberi kesan yang besar terhadap sesiapa saja," katanya yang mengaku hampir menolak tawaran tersebut kerana bimbang tidak mampu memberi hasil kerja yang baik.
Bertitik tolak daripada Tentang Dhia yang mengangkat Nora ke satu tahap lakonan yang lebih serius, ia kini disambung dengan drama rantaian Ariana Mikhail yang hangat ditayangkan di TV9 setiap pukul 8.30 malam hari Isnin dan Selasa. Masih membawa watak seorang isteri, kali ini dia berganding pula dengan Hussein atau Sein yang juga menampakkan keserasian.
Dalam masa yang sama, dia akan kembali berganding dengan Adi Putra dalam sebuah filem yang diberi judul Aku Terima Nikahnya yang akan memulakan penggambaran dalam masa terdekat.
Begitu bersyukur dengan kesempatan terbabit bersama produksi yang mempercayai bakatnya yang boleh diperkembangkan, kata Nora ia juga adalah tanda aras terhadap kembara seninya yang kini sudah mencecah usia 10 tahun.
"Bagai tidak percaya tahun ini sudah genap 10 tahun saya menjadi pelakon. Saya kira, kini memang banyak peluang lakonan yang hebat telah saya terima, selain dapat berganding dengan aktor yang hebat-hebat. Alhamdulillah," ujarnya.
Tambah Nora, seiring kematangannya juga, dia mengaku menjadi selektif terhadap beberapa tawaran. Jelasnya ringkas: "Saya tidak kisah karakter yang bagaimana diberikan kepada saya, tetapi yang penting adalah impak yang ditinggalkan terhadap karakter yang saya bawa."
Diminta membayangkan 10 tahun akan datang di mana kedudukannya dalam industri, pantas dia memberitahu bahawa barangkali dia sudah tidak bergelar anak seni lagi, namun hanya waktu yang menentukan. Walau bagaimanapun ada harapan besar yang disemat dalam hati. Kata Nora: "Sementara nak tunggu 10 tahun akan datang, besar harapan saya agar dalam perjalanan seni ini, sekurang-kurangnya saya diiktiraf dengan anugerah."
|
PERMATA HATI. Nora bersama anaknya, Rayqal. Raqyal tinggal bersama Nora, namun dijaga bergilir bersama keluarga mantan suaminya, Rizal Ashram.
|
Hati sudah diisi
Di selang-seli cerita serius tentang kerjaya, Nora tidak juga lokek berkongsi tentang ceritera cintanya. "Yang pasti bukan dengan Khairul Fahmi Che Mat (Apek)," ujar Nora sambil ketawa mengenang entah bagaimana boleh bergegar gosip mengenai dia dengan penjaga gawang bola sepak negara itu baru-baru ini.
Ya, entah ribut mana datang menerpa, mantan isteri Toh Muda Rizal Ashram Ramli ini tiba-tiba dikaitkan dengan Apek. Dia mengaku mengenali Apek sebagaimana seluruh Malaysia mengenali penjaga gol itu, tetapi tidak lebih daripada itu sehingga sampai kepada bibit cinta.
Cinta yang tumbuh di hati Nora adalah milik jejaka lain, bukan Apek. Malah akuinya, sewaktu kecoh isu dia digosip dengan Apek, kekasihnya tidak melatah. "Dia adalah kekasih terhebat di dalam dunia," akui Nora ketawa mengekeh.
Ditanya jika hati sudah berkenan dan cinta sudah lama bersemayam, apa yang ditunggu oleh Nora untuk menamatkan status ibu tunggal yang dipikulnya sejak lebih tiga tahun lalu. Adakah dia masing dikejar bayang-bayang hitam tentang perkahwinannya yang roboh tidak lama dulu.
Jawab Nora, dia sentiasa optimis dengan kehidupannya. Dia juga bukan seorang yang kuat menjeruk rasa. Apa yang sudah berlaku, dia jadikan pengajaran. Malah dia mengaku, kegagalan rumah tangganya dahulu adalah satu pelajaran yang terbaik buat dirinya, sementelah waktu mendirikan rumah tangga dulu, dia baru berusia 24 tahun.
Kini, pada usia 30 tahun, dia lebih yakin dan mendapat banyak pengalaman baharu. Lebih-lebih lagi, suaminya bukan seorang lelaki yang terlalu buruk perangai. "Dia masih menjalankan tanggungjawab dengan memberi nafkah terhadap saya dan anak. Keluarga mertua saya juga masih mengambil berat terhadap saya dan Rayqal. Kami tidak pernah dilupakan," katanya penuh syukur.
Berbalik soal kembali mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Nora menjawab: "Saya percaya kepada cinta. Saya juga tidak menolak perkahwinan kedua. Memang ingin kembali berumah tangga tapi bukan dalam masa terdekat ini."
SUMBER :KOSMO ONLINE