Browse >
Home /
Hiburan / Kalau sudah jodoh… – Aida Aris
APABILA panahan cinta sudah menembusi ke dasar hati, singkat atau panjangnya tempoh perkenalan, bukanlah satu ukuran untuk memutikkan bunga-bunga kasih. Apatah lagi jika insan yang ditemui itu memang sudah ditakdirkan untuk menjadi pasangan hidup, pastinya ia tidak mampu ditolak walau dengan apa alasan sekali pun.
Begitulah gambaran terbaik untuk menceritakan perkenalan yang diatur oleh seorang teman, yang akhirnya membawa pelakon dan penerbit, Aida Aris dan Husfarid Shaikh Ali@Shaikh Hussain untuk diijabkabulkan di bawah langit 25 Ramadan, pagi Sabtu lalu.
Tidak sukar untuk Ketua Pramugara di syarikat penerbangan MAS itu untuk menawan hati pelakon jelita dan tinggi lampai ini. Dengan tempoh perkenalan yang cukup singkat iaitu dua bulan, bulat tekad Husfarid untuk melamar pemilik nama penuh Siti Rohaida Mat Aris ini untuk menjadi suri hidupnya.
Kami diperkenalkan seorang rakan sekolah saya. Sebaik saja melihat wajahnya, saya tahu dia seorang pelakon kerana pernah terpandang wajahnya di kaca televisyen. Dari situ kami mula bersembang dan timbul rasa senang dalam hati saya apabila bersamanya. Apabila sudah suka, saya pun mendapatkan nombor telefonnya daripada rakan saya tadi, lalu mengajaknya keluar.
Tapi kami tidak keluar berdua. Sebaliknya bersama-sama rakan yang lain. Dia memperkenalkan saya kepada semua rakan-rakannya. Selepas dua bulan menjalinkan hubungan, pada April lalu, saya mengambil keputusan untuk melamar dirinya dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga secepat mungkin, cerita Husfarid membuka bicara pagi itu.
Tempoh dua bulan bagi sesetengah orang cukup singkat untuk mengenali hati budi seseorang. Apatah lagi jika ia membabitkan soal jodoh dan perkahwinan tentunya tidak elok jika di buat secara tergesa-gesa. Namun bagi Husfarid, jika hati sudah berkenan dan lebih-lebih lagi jika perkara baik seperti ini, untuk apa dilengah-lengahkan.
Selepas mengenalinya, saya dapat berasakan keserasian antara kami berdua. Mengenali Aida, dia tak poyo, tidak sombong dan apa yang penting saya dapat rasakan keikhlasan hatinya, luah duda kepada sepasang cahaya mata ini. Aida yang kelihatan anggun mengenakan kebaya moden rona perak rekaan Arefen Zaidin itu juga bersetuju dengan apa yang dikatakan suaminya. Tegasnya, jika hati sudah terpikat, tak perlu untuknya menunggu lebih lama.
Panjang atau singkatnya perkenalan bukanlah satu jaminan dalam kebahagiaan. Ada yang lama berkenalan, tetapi kalau nak bercerai, bercerai juga. Bagi saya, apabila sudah bertemu dengan apa yang saya cari, untuk apa saya tangguh lagi? Seperti jawapannya, saya juga tertarik dengan keikhlasan yang ditunjukkan, luah Aida yang sudah lima tahun memegang status janda.
Jarang sekali ada pasangan memilih bulan Ramadan untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri, namun Aida dan suaminya bagai menongkah arus apabila diijabkabulkan pada bulan Ramadan. Apakah memang ini suatu impian buat pasangan suami isteri ini?
Sebenarnya kami tak terfikir untuk mengadakan majlis pada bulan puasa. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Kalau boleh kami nak mengadakannya lebih awal, namun disebabkan urusan dokumen perkahwinan ada masalah, maka kelulusan untuk bernikah hanya kami dapat baru-baru ini. Perkara yang baik bagi saya tak perlu ditangguhkan.
Selepas mendapat persetujuan daripada keluarga kedua-dua belah pihak, kami memutuskan untuk bernikah pada hari ini. Lagi pun memang hasrat kami untuk mengadakan majlis pernikahan ini seberapa ringkas yang boleh. Kami buat apa yang afdal dulu. Kami mahu acara yang penuh makna ini diraikan bersama keluarga, saudara mara dan kawan terdekat.
Disebabkan itulah juga majlis pernikahan kami tidak diiringi sebarang dulang hantaran. Memang tak sempat nak buat apa-apa persediaan. Malah pelamin yang ada ini pun, kawan saya Sharifah Shahira yang beriya-iya mahukannya. Dia juga yang sanggup mencari penaja untuk merealisasikan impiannya itu.
Cuma apa yang kami buat adalah, memastikan majlis hari ini berjalan lancar. Kami cari baju dan jurusolek kerana itu penting untuk sesi fotografi serta cari katering untuk majlis resepsi malam ini. Kami tak buat besar-besaran. Harapan kami moga majlis resepsi berlangsung dengan sempurna," kata Aida.
Pada upacara akad nikah yang berlangsung di kediaman Aida di Ukay Perdana, Aida sah bergelar isteri kepada Husfarid dengan hanya sekali lafaz. Pasangan itu dinikahkan Pegawai Tadbir Agama / Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Gombak Timur Keramat, Daim Jajuli berwalikan abang Aida, Amiruddin Mat Aris dengan mas kahwin RM330.
Mengenai wang hantaran, Aida ternyata lebih selesa merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ramai, kecuali kaum keluarga terdekatnya.
Sedia jadi ibu segera
IBARAT beli satu percuma dua, itulah yang berlaku kepada dramatis cantik ini apabila mengambil keputusan menerima lamaran Husfarid. Mengahwini duda kepada dua anak, secara tidak langsung, Aida boleh dianggap sebagai ibu segera. Dan apakah dia bersedia untuk memikul tanggungjawab menjaga anak tirinya itu, Danish Hazim, 7, dan Farish Nasha, 9 tahun seperti darah dagingnya sendiri?
Saya rasa perkara itu tidak mendatangkan masalah buat saya. Walaupun saya tidak ada pengalaman bergelar ibu, tetapi saya ada pengalaman berlakon sebagai ibu. Ditambah saya memang ramai anak buah, jadi taklah kekok sangat. Pengalaman seperti itu sedikit sebanyak membantu sebenarnya. Bagaimanapun, saya sendiri tidak pasti apakah mereka akan tinggal bersama kami kerana ia belum dibincangkan lagi.
Lagipun, saya sendiri baru saja bertemu dengan mereka. Apapun, alhamdulillah, kami boleh serasi. Mereka panggil saya aunty, cerita Aida yang bersedia untuk menerima cahaya mata sendiri pada bila-bila masa saja.
Ditanya destinasi bulan madu, Husfarid berkata perkara itu hanya dapat diputuskan selepas sambutan Hari Raya nanti.
Lagipun masa raya nanti, saya tak dapat cuti apabila terpaksa bertugas di Kuching, Sarawak dan kota Kinabalu, Sabah. Isteri saya juga akan ikut sekali terbang bersama. Mungkin pada Hari Raya pertama, saya dan dia akan berada di lapangan terbang kerana saya kena bersedia untuk bertugas. Nampaknya terpaksa bermaafan di situlah, katanya sambil mengharapkan ikatan perkahwinan yang dibina itu dirahmati Tuhan dan berkekalan sehingga ke akhir hayat.