Masih seperti remaja lain
RASANYA baru semalam kemunculan si gadis manis ini dalam gelanggang seni lakon, namun tatkala berbual dengannya, tidak sangka usia pembabitannya sudah pun menjengah tahun keenam.
Begitu pantas masa berlalu dan secepat itu juga populariti menghimpitnya hingga melonjakkan nama bintang muda, Nurul Elfira Loy sebagai pelakon muda berbakat besar.
Mula dengan pentas teater Ali Baba Dan 40 Penyamun di Istana Budaya ketika usianya 12 tahun dan kemudian menyertai pentas komersial dengan menghidupkan watak Qalesya dalam drama siri sempena Ramadan tayangan Astro Prima, kini Elfira yang sinonim dengan senyuman manisnya sudah pun berdiri dengan jenamanya sendiri hingga terbaru diiktiraf Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2011 (ASK) menerusi drama Kum Kum.
Jelasnya, apa yang penting adalah ikhlas dan sentiasa berusaha keras.
"Saya sendiri terkejut apabila melihat semula perjalanan kerjaya saya. Mana tidaknya, rasa macam baru semalam saya berada di lokasi drama Qalesya dan mengenali tanggungjawab sebagai seorang pelakon. Namun rupa-rupanya sudah enam tahun berada di industri ini dan terus diberi kepercayaan oleh pihak produksi serta peminat khususnya.
"Syukur dan rasa bertuah saja yang sesuai untuk menggambarkan segala-galanya kerana saya diberi peluang pada usia muda. Bayangkan, saya menghabiskan keseluruhan waktu persekolahan menengah dengan komitmen sebagai pelakon. Saya berada di tingkatan satu ketika berlakon Qalesya dan kini saya sudah pun tamat persekolahan.
"Namun banyak kelebihan yang saya nampak apabila bermula dari awal. Walaupun luarannya ramai yang beranggapan saya akan ketinggalan dalam pelajaran dan terlepas keseronokan zaman sekolah bersama teman, namun saya melihat dari perspektif yang berbeza. Saya berpeluang menimba ilmu produksi dan pengalaman berlakon pada usia lebih awal dan kini semuanya saya pegang kuat untuk pengajaran masa akan datang.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana sentiasa diberi kerjasama dari pihak produksi dan banyak pihak yang membantu sejak awal terbabit dalam lapangan ini. Mulanya memang gementar namun hingga kini saya seronok kerana begitu ramai pelakon senior yang jauh lebih berpengalaman datang memberi tunjuk ajar kepada saya.
"Alhamdulillah akhirnya bertahan juga saya hingga ke hari ini," katanya membuka bicara.
Elfira yang kini menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan Seni Hiburan di Kolej Damansara Utama (KDU) turut menyatakan hasratnya yang ingin terus meneroka dunia penerbitan filem dan drama.
Enggan hanya berstatus selebriti di depan kamera, pelakon muda yang sebelum ini pernah muncul bersama Amy Mastura menerusi filem Damping Malam mengharapkan satu hari nanti dirinya akan berpeluang meninjau lebih jauh dalam dunia di belakang tabir.
Terlintas pula persoalan, adakah bintang drama Senja Permai, Tentang Bulan The Series, Ekspres Dania dan Syurgamu Ramadhan ini terlepas dari menikmati kegemilangan remaja seperti teman-teman yang lain kerana terlalu meletak fokus pada kerjayanya.
"Saya masih seperti remaja lain yang keluar bertemu kawan-kawan dan melakukan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan seperti membeli-belah, menonton wayang dan berkaraoke, cuma waktu saja yang membataskan pergerakan saya. Selalunya pun jika saya keluar membeli-belah, saya akan pergi bersama ibu kerana dia yang selalunya membantu saya memilih pakaian.
"Jika melihat pemakaian dan fesyen juga, saya bukanlah terlalu bergaya namun apa yang saya pakai adalah sesuatu yang digemari golongan remaja seperti saya.
Setidak-tidaknya saya masih memperlihatkan sisi remaja dalam diri walaupun setiap hari kelompok kawan dan rakan sekerja di lokasi penggambaran semuanya jauh lebih dewasa.
"Namun tidak pula saya terkilan atau kecewa dengan keadaan seperti ini kerana walaupun saya tidak sebebas remaja lain namun saya fikir positif yang semua yang saya lakukan hari ini adalah percaturan masa depan saya juga," katanya.
Anak kedua daripada empat beradik ini kini sibuk berada di lokasi drama Dalam Hati Ada Taman arahan Michael Ang. Meskipun sibuk di lokasi menghidupkan watak Bella di samping pelakon lain termasuk Amy Mastura, Didie Alias dan Sharifah Shahora, gadis berusia 18 tahun ini masih sempat meluangkan masa untuk bercerita perkembangan terbarunya.
"Saya sudah pun selesai membuat alih suara untuk watak Odelle dalam filem Smurf yang akan ditayangkan di HBO dan kini sibuk menjadi juri pula bagi program My School Rock Event tayangan Disney Channel. Alhamdulillah pihak Astro memberi kepercayaan kepada saya pula untuk mengendalikan program Reka Aktiviti yang akan menemui penonton tidak lama lagi.
"Selain itu saya juga baru selesai penggambaran drama epik lapan episod dan beberapa drama siri lagi yang masih dalam pertimbangan. Filem juga saya sedang meneliti dua skrip yang akan mula penggambaran tidak lama lagi. Satunya KL Meroyan dan satu lagi belum diberikan judul lagi. Semuanya masih dalam perbincangan.
"Insya-Allah tahun depan akan menjadi tahun yang lebih sibuk untuk saya kerana ada filem dan drama serta projek lain yang menanti," katanya yang sudah hampir dua tahun menjadi artis eksklusif Astro.