EDD Razhe (kanan) menunjukkan anak buaya yang menjadi daya tarikan dalam rancangan Travelog.
PERTAMA kali menjejakkan kaki ke wilayah Siem Reap, Kemboja pada 30 November lalu, hati pelakon Intan Ladyana cukup teruja.
Berdarah campuran Siam daripada sebelah ibu, Intan bagaikan kembali ke kampung halamannya di Bangkok, Thailand.
Memang benar pembangunan Siem Reap dan Bangkok sangat jauh bezanya tetapi bagi pelakon ini, Kemboja dan Thailand berkongsi beberapa keunikan yang sama terutamanya daripada segi budaya dan seni reka bangunannya.
Reka bentuk kuil di Siem Reap tidak jauh bezanya dengan yang terdapat di Thailand.
Malah, nama Siem Reap yang diambil daripada makna 'kekalahan Siam' (Thailand) yang merujuk kepada konflik peperangan berabad lamanya di antara orang Siam dan Khmer adalah bukti yang Kemboja mendapat pengaruh dari Thailand.
Kata Intan, kunjungan hujung tahun 2011 itu adalah kali pertama untuknya. Begitu pun, dia sudah tertambat hati di wilayah yang disifatkan sebagai cukup cool.
Kehadiran Intan ke Siem Reap, Kemboja adalah atas undangan AirAsia bagi program Travelog yang diacarakan oleh Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Edd Razhe.
Rombongan disertai dua jurukamera, dua penerbit dari TV3, empat wakil media serta Pengurus Komunikasi Korporat Air Asia, Aziz Laikar, Pengurus Komunikasi Korporat Tune Talk, Fara Hassan dan jurusolek tetap Travelog, Zulfazli Suhadi.
Punya tarikan tersendiri
"Intan suka Siem Reap sebab lain dari yang lain. Wilayah ini ini kecil saja, tidak ada banyak perkara yang boleh dilihat tapi dapat menarik ramai pelancong serata dunia untuk pergi ke sana.
"Bagi Intan, ia tarikan bertaraf dunia. Malah, Angkor Wat itu adalah antara salah satu di antara tujuh perkara ajaib di dunia bagi kategorinya sendiri.
"Yang menjadi tarikan pada Intan juga ialah Tonle Sap yang menempatkan perkampungan terapung yang kehidupan pada asasnya begitu simple dan mudah. Intan memang rasa sangat bertuah dapat datang ke sini atas undangan Air Asia. Dah lama merancang untuk ke sini tapi tidak pernah berkesempatan," cerita pelakon ini.
Memang benar seperti yang dikatakan oleh pelakon ini. Siem Reap yang mempunyai 1.5 juta penduduk begitu tersendiri.
Di sini tidak ada bangunan tinggi melebihi 65 meter kerana kerajaan Kemboja tidak membenarkan sebarang bangunan melebihi Angkor Wat. Justeru, bangunan di sini adalah setinggi tiga tingkat sahaja walaupun bersifat moden.
Di Siem Reap, anda pasti tidak akan bertemu dengan kesesakan jalan raya kerana di sini, kebanyakan penduduk menggunakan motosikal dan basikal.
Bagi yang memiliki kereta, mereka terdiri daripada golongan sederhana dan kaya. Ini kerana harga minyak kereta agak tinggi.
Paling menarik, di sini terdapat hanya lima lampu isyarat tetapi setiap pengguna kenderaan cekap menggunakan jalan raya tanpa adanya sebarang kemalangan. Barangkali juga kerana ada hanya satu jalan utama yang menghubungkan jalan-jalan kecil yang lain, maka kemalangan mudah dapat dielak.
Bagi penduduk Islam, hanya terdapat dua masjid di Siem Reap. Salah satunya ialah di Kampung Steung Tmei.yang kebanyakan penduduknya adalah Melayu Champa. Mereka bertutur dalam bahasa Melayu dan dikategorikan sebagai penduduk yang agak kaya dan berkemampuan tinggi.
Sebuah lagi masjid ialah di perkampungan menuju Tonle Sap.
Suasana malam di Siem Reap
Hari pertama di Siem Reap, rombongan di bawa berkunjung ke Cultural Village. Di sini, pelancong akan dipertontonkan persembahan tradisional masyarakat Khmer.
Antara tarikan menarik di Siem Reap pula sudah pasti waktu malamnya kerana adanya tiga pasar malam utama. Di pasar malam inilah para pelancong dapat membeli pelbagai barangan dengan harga yang murah jika pandai tawar-menawar. Barangan tarikan utama ialah batu-batu pertama daripada pelbagai jenis.
"Tetapi awas jangan tersalah pilih! Jika anda tak pandai menilai, sudah pasti anda terbeli batu-batu tiruan! Yang pasti, harga batu-batu permata yang asli di sini sangat murah berbanding di Malaysia.
"Waktu malam di Siem Reap juga sama dengan kota-kota lain. Ada banyak deretan kelab-kelab malam yang menjadi kunjungan penduduk tempatan serta pelancong.
"Kebetulan rombongan kami berada di Siem Reap ketika sambutan tahun baru 2012 dan sambutannya cukup meriah dengan dentuman bunga api di bandar itu," beritahu Intan, seperti pemandu pelancong yang begitu petah bicara.
Jika berada di Siem Reap, jangan sesekali anda melepaskan peluang untuk berurut kaki atau seluruh badan. Harganya berganda murah berbanding di Malaysia!
Jika anda mahu melihat matahari terbenam, lokasi terbaik dan menjadi tarikan ialah di Phnom Bakheng. Tapi ia agak menguji kesabaran apabila harus mendaki bukit setinggi 45 darjah sekitar 15 minit dan perlu berbaris pula menunggu giliran untuk berada di lokasi tersebut. Jumlah yang berbaris bukan sedikit tapi beratus-ratus orang!
Menyusuri Tonle Sap
Salah satu tempat wajib dilawati juga ialah di Tonle Sap iaitu tasik air tawar terbesar di Asia Tenggara. Dengan keluasan 2,700 km persegi ini, ia adalah kawasan penempatan penduduk miskin yang terdiri daripada orang Kemboja, Vietnam dan Islam
"Perkampungan terapung ini sangat unik kerana rumah-rumah mereka terapung di atas tasik. Penduduk di sini akan berpindah mencari lokasi yang sesuai jika musim tengkujuh atau kemarau melanda.
"Deretan rumah terapung ini merangkumi sekolah, restoran, kedai runcit, pusat hiburan dan karaoke serta gereja," kata Intan lagi.
Melihat kepada cara hidup mereka di Tonle Sap yang menggunakan air yang sama bagi kesemua urusan termasuk membuang najis, hati berdetik betapa bertuahnya tinggal di Malaysia kerana walau semiskin mana pun seseorang itu, kesengsaraan yang begitu hebat tidak berlaku di negara kita.
Kebanyakan penduduk di sini mendapat rezeki dengan memancing. Anak-anak kecil pula berjuang mendapatkan duit dengan mengejar bot pelancong sambil membelit ular sawa di leher! Pelancong yang mahu merakamkan aksi tersebut perlu membayar USD1.
Syukurlah, kelangsungan hidup sebegitu pasti tidak berlaku di Malaysia!
Rating Travelog naik 1.6 juta
Menurut Edd Razhe, program portal pelancongan pertama Travelog yang disiarkan kali pertama pada November lalu mendapat tarikan penonton hingga mencatat rating 1.6 juta penonton.
"Kami di AirAsia sangat berterima kasih dengan semua yang terlibat. Insya Allah Travelog musim kedua akan menyusul kelak dengan konsep yang berbeza pula. Ada banyak lagi destinasi menarik yang mahu diperkenalkan menerusi pakej AirAsia yang disediakan.
"Program Travelog ini memang berbeza sebab memperkenalkan destinasi dan informasi tentang pelancongan dengan tepat yang merangkumi pakej mahal dan murah yang pastinya mampu untuk semua orang,'' kata Edd Razhe lagi.
Full content generated by Get Full RSS.