FAIZAL HUSSEIN pastinya bukan satu nama yang kecil dalam industri lakonan tempatan kerana mempunyai pengalaman 30 tahun dalam industri selain telah membintangi kira-kira 25 buah filem.
Terbaru, aksinya filem Bunohan arahan Dain Said memberi impak tersendiri buat pelakon bertubuh kurus dan tinggi lampai ini.
Membawakan watak seorang pembunuh upahan bernama Ilham yang telah diupah untuk membunuh adiknya sendiri, mainan jiwa dan konflik dalaman yang dipersembahkan Faizal menyaksikan kehebatan lakonan anak pasangan seniman Hussein Abu Hassan dan seniwati Mahyon Ismail ini.
Tidak hairanlah filem
Bunohan yang diterajui oleh Faizal itu mendapat sambutan baik dan tercalon dalam beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.
Tentu sekali dengan bakat, pengalaman dan statusnya sebagai pelakon berwibawa membuatkan Faizal berada dalam kelasnya tersendiri.
Pasti ada pihak tertanya-tanya apakah Faizal sudah merasakan dirinya hebat sehingga tidak mahu terlibat dengan filem yang melibatkan individu yang masih baru dalam industri.
Namun pelakon yang melonjak namanya dengan watak Azroy dalam filem
Gila-Gila Remaja pada tahun 1986 dan
Bayangan Maut pada tahun 1990 ini menyangkal dakwaan itu sebaliknya mengatakan bahawa dia bersikap terbuka untuk bekerja dengan sesiapa sahaja.
"Apa yang telah saya lakukan selama ini tidak boleh dijadikan penyebab untuk saya mendabik dada atau meletakkan diri satu tahap lebih tinggi berbanding pelakon lain.
"Secara jujur, saya gemar bekerja dengan pelbagai pihak kerana secara tidak langsung dapat memberikan saya pengalaman berbeza kerana cara kerja setiap orang berlainan.
"Apa yang penting, sebagai pelakon kita perlu memastikan mutu lakonan yang diberi sentiasa berada pada tahap terbaik dan akhirnya kita akan dinilai daripada lakonan kita, bukan dengan siapa kita berlakon," jelasnya.
Kekal lasak
Terdapat banyak gaya lakonan dalam bidang perfileman, ada antaranya memerlukan permainan emosi dan penjiwaan watak yang berat tetapi kurang penggunaan tubuh badan secara fizikal dan ada sebaliknya.
Merupakan suatu bonus apabila seseorang pelakon itu dapat membawakan watak dengan baik dalam melakonkan adegan yang memerlukan penggunaan fizikal yang tinggi dan juga permainan emosi yang berat.
Itulah yang sudah dilakukan oleh Faizal apabila mula melibatkan diri dalam bidang lakonan pada tahun 1982 melalui filem Senja Merah.
"Saya merupakan seseorang yang gemar aktiviti lasak dan saya gabungkan dua minat saya iaitu berlakon dan aksi lasak sekali gus.
"Kini pada usia 45 tahun, saya masih lagi melakonkan babak-babak aksi yang saya gemar semasa zaman remaja dahulu dan mujurlah keadaan fizikal saya masih mengizinkan," katanya.
Terbaru, Faizal bakal tampil dengan sebuah lagi filem aksi terbitan Metrowealth Productions (MIG) bertajuk Longkai yang diarahkan sutradara Hashim Rejab.
Faizal berkata, dia masih tidak mempunyai masalah untuk melakonkan babak-babak aksi kerana dia sememangnya mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif.
"Saya merupakan seseorang yang sukakan gaya hidup lasak kerana apabila mempunyai masa terluang antara aktiviti kegemaran saya adalah bersukan dan bermain sukan paintball.
"Selain itu, saya juga gemar melakukan watak aksi sendiri berbanding menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri kerana bagi saya, ia memberikan kepuasan yang berbeza apabila babak aksi itu dilakukan diri sendiri," katanya.
Walaupun begitu, Faizal juga akan mendapatkan pandangan pengarah dan kru produksi terlebih dahulu kerana semua keputusan bergantung kepada mereka sama ada dia dibenarkan melakukan aksi itu sendiri atau perlu dilakonkan pihak lain. [UM]