Semasa tayangan perdana 'Lawak Ke Der 2' baru-baru ini, GUA sempat menemubual Hans Isaac untuk mendapatkan komen lanjut mengenai hubungannya bersama aktres Neelofa.
Dalam sesi temubual itu, Hans berkata bahawa dia sudah bersedia untuk ke peringkat seterusnya dan berpendapat bahawa restu keluarga amat penting supaya proses perhubungan seseorang itu berjalan lancar.
"Saya sudah bersedia untuk ke peringkat seterusnya dalam proses perhubungan ini dan sekiranya mahu lebih rapat dalam sesebuah perhubungan, mestilah minta restu keluarga kedua-dua belah pihak bagi melancarkan semua proses perhubungan agar tidak timbul benda-benda yang tidak baik di kemudian hari," ujar Hans.
Dalam pada masa yang sama, Hans juga mengakui bahawa dia lebih selesa dan senang berkawan dengan Neelofa kerana masing-masing saling memahami antara satu sama lain.
"Tidak susah untuk berkawan dengan Lofa kerana dia senang untuk diajak bercerita dan berbincang. Sangat selesa dan senang," ujarnya ringkas.
Sebelum ini dalam suatu kenyataan yang lain, Neelofa pernah memberitahu bahawa dia mahu menamatkan zaman bujangnya pada usia 27 tahun, dan bagi Hans sendiri itu semua terpulang pada individu.
"Kalau sesiapa hendak berkahwin pada usia tersebut, saya tiada masalah dan itu terpulang pada individu tersebut. Sekiranya seseorang itu sayang kepada kekasihnya, tidak salah untuk dia menunggu sehingga mereka berkahwin.
Tak sedia bincang soal agama
Memandangkan Hans sudah membayangkan dia serius untuk bersama Neelofa, aktor ini turut diminta mengulas sama ada bersedia atau tidak untuk menukar agamanya.
Hans secara tegasnya tidak ingin membicarakan mengenai soal agama, kerana baginya soal agama amat sensitif dan sekiranya tidak ada 'hitam putih' dia tidak mahu lagi membincangkan persoalan ini, berikutan peristiwa lepas yang banyak mengajarnya supaya lebih berhati-hati apabila bercakap mengenai isu sensitif ini.
"Bab-bab agama ini saya tak mahu sentuh. Lagipun saya memang tidak suka untuk berbincang soal berkaitan agama. Perkara seperti ini bukan sesuatu yang elok untuk dibincangkan secara terbuka. Lagipun nak membincangkan ke tahap sehingga sampai soal tukar agama ni, bukan sesuatu yang mudah.
"Andai kata apa yang awak semua mahukan ini (tujar agama) tidak terjadi siapa yang akan tanggung malu? Cukuplah saya kena 'kaw-kaw' dahulu. Pengalaman lalu jadi pengajaran dan saya tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama," ujar Hans berterus-terang.
Dalam perkembangan lain, Hans akan ke Kuching selama tiga hingga ke empat minggu untuk menjalani penggambaran filem 'Nota' bersama-sama dengan Maya Karin.