berita | Tempatan Teks oleh Syafiqah Jalal
KUALA LUMPUR, 18 JUN 2012: Pertama kali digandingkan sebagai pasangan kekasih bersama dramatis, Tiz Zaqyah, pelakon kacak, Aqasha akui berasa sangat serasi.
Malah Aqasha berkata keserasian yang terjalin di dalam drama bersiri Dejavu di Kinabalu, telah memudahkan mereka untuk menjayakan drama yang bakal ditayangkan di TV3 pada setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam ini.
"Keserasian itu timbul mungkin kerana Tiz seorang pelakon yang mudah untuk berkomunikasi dan kreatif. Kerja pun jadi mudah.
"Menariknya, chemistry juga terlihat di dalam babak yang kami lakonkan.
"Bukan sahaja kerana keserasian kami. Saya juga perlu berterima kaish kepada pengarah fotografinya yang bijak dan kreatif memainkan sudut menarik kami bersama," katanya yang ditemui selepas pelancaran drama tersebut, kelmarin.
Berbeza dengan heroin yang digandingkan bersama, Aqasha turut memuji kebolehan serta bakat yang ada pada Tiz Zaqyah iaitu kekasihnya di dalam drama arahan Erma Fatima itu.
"Tiz seorang heroin yang sangat artistik. Dia mempunyai minat dan kebolehan dalam fotografi, melukis dan menyanyi.
"Sukar untuk mencari pelakon wanita yang mempunyai banyak bakat sepertinya," puji Aqasha.
Sementara itu, Tiz yang ditemui turut akui hubungannya dengan Aqasha sangat baik dan mudah kerana sikap profesional heronya itu.
"Mudah bekerja dengan Aqasha. Dia pelakon yang profesional dan tentunya sudah lama daripada saya yang baru sahaja lagi dalam dunia lakonan," jelasnya.
Bercerita mengenai pengalaman pertama menjalani penggambaran di puncak gunung Kinabalu, Tiz akui amat mencabar.
Katanya, dia terasa bagai hendak mati selepas semua tenaga digunakan untuk mendaki gunung hingga ke puncak.
"Terus-terang saya rasa bagai nak mati dan pengsan sahaja bila sudah selamat sampai ke atas puncak kerana mungkin tidak cukup fit.
"Namun, selepas selamat naik ke atas, saya rasa nyaman dan seronok melihat pemandangan dari atas puncak itu.
"Rasanya jika tidak kerana penggambaran ini, entah bila pula saya berpeluang ke tempat secantik itu.
"Meskipun terlalu penat, saya dapat menjayakan beberapa babak di atas puncak, malah suasana di puncak telah menghidupkan rasa cinta," luahnya lagi.
Selain Aqasha dan Tiz, Dejavu di Kinabalu turut dibintangi oleh Nazim Othman, Aishah Ilias, Meor Airf, Rebecca Nur Islam, Sharifah Nadian Yusnita dan Aida Khaleda.
Drama bersiri 28 episod itu mengisahkan mengenai Ammar (Aqasha) yang masih terasa kehilangan insan yang tercintanya iaitu tunangnya yang sudah tiga tahun meninggal dunia.
Mungkinkah ia hanya satu kebetulan ataupun takdir apabila dia dipertemukan dengan Nadira (Tiz Zaqyah) yang mempunyai ciri-ciri sama seperti arwah tunangnya itu?
Namun perasan dejavu yang dirasai setiap kali mereka berjumpa telah mewujudkan satu ikatan yang istimewa antara Ammar dan Nadira.
Walau bagaimana pun, saksikan kesudahannya di TV3 pada setiap hari Isnin, bermula hari ini hingga Khamis, pada jam 7 malam.