Browse >
Home /
General / Ahli akademik meriahkan Puisi Riong
KUALA LUMPUR: 09 Mac – Malam Puisi Riong anjuran bersama Berita Harian (BH) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kompleks Sukan UMP, Gambang, jam 8.30 malam ini bakal menggabungkan selebriti, pendeklamasi serta ahli akademik.
Pelawak, Sabri Yunus, berkata beliau akan mengekalkan penyampaian puisi secara jenaka pada Malam Puisi Riong itu, sekali gus menyuntik elemen hiburan yang menguji minda penonton.
"Saya akan menyampaikan puisi humor berjudul Mat Three Four yang mempunyai mesej bertepatan tema acara, iaitu 'Menjana Minda Mentransformasi Belia: Suara Hati Generasi Muda'," katanya, semalam.
Sementara itu Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim akan mendeklamasikan puisi Wasiat Perjuangan yang mengandungi pesanan kepada belia agar menjaga kehormatan diri dan keluarga serta membela nasib negara.
Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin bakal menyampaikan teromba Wahai Anak Muda yang menggunakan laras bahasa klasik dan kiasan dengan mengangkat persoalan akhlak, moral serta kepentingan berterima kasih kepada negara.
Malam Puisi Riong BH-UMP turut menampilkan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2004 dan 2005, Dr Zurinah Hassan dan Abdul Ghafar Ibrahim; juara rancangan realiti Imam Muda Musim Kedua, Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza; Juara Akademi Fantasia 2011, Hazama; vokalis kumpulan Jinbara, Shamsul Bakhtiar Zakaria atau Tia serta penulis dan penyanyi lagu puisi, Wani Ardy.
Acara itu yang mendapat kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Wanita UMP (MATAHARI), akan dimeriahkan dengan deklamasi puisi oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMP (Akademik), Prof Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta Penolong Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni universiti berkenaan, Prof Dr Yuserrie Zainudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan