PETALING JAYA: Penerbit drama A.Aida mengakui kes penceraiannya dengan suami Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman yang masih lagi dalam proses perbicaraan mahkamah membuatkan tumpuan kerjanya terganggu.
Aida atau nama sebenar Zaidah Awang, 42, berkata, masalahnya itu juga membuatkan dia tidak boleh fokus pada drama yang diterbitkan bawah produksinya iaitu A.Aida Production termasuklah dalam penulisan skrip.
"Bayangkan jika skrip drama yang saya hasilkan biasanya mengambil masa dalam satu atau dua hari, tetapi sejak kebelakangan ini ia mengambil masa sehingga dua bulan.
"Kalau boleh saya tak mahu memikirkan tentang masalah rumah tangga ini, tetapi ia agak sukar. Harap-harap kes (penceraian) ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Aida ditemui pada pelancaran drama Putera Rayyan di Restoran Rebung, di sini, petang Selasa.
Pada 18 Oktober lalu, pelakon itu telah mengemukakan permohonan fasakh terhadap Suffian selepas tidak dapat mencapai persetujuan untuk berpisah secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Jalan Duta, dekat sini.
Aida berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.
Mengenai Putera Rayyan drama itu dibarisi pelakon-pelakon popular seperti Kamal Adli (Putera Rayyan), Nad Zainal (Arisa), Miera Liyana (Anisa), Aida Aris (Nora), Zila Bakarin (Tengku Mariam), Lutfia (Tengku Suraya) dan Razali Hussin (Zul).
"Sebenarnya cerita asal drama ini adalah mengenai Bawang Putih Bawang Merah, tetapi ia di olah dengan memberi fokus pada kisah Putera Rayyan yang ada dalam kisah hikayat itu.
"Jadi penulis skripnya Wan Mahani mengembangkan plot cerita Rayyan yang terpaksa mengharungi cabaran dalam perkahwinannya bersama Arisa," tuturnya.
Drama bersiri 23 episod itu bakal menemui penonton setiap hari Selasa dan Rabu pukul 10.30 malam serta Khamis (9.30 malam).
Ia akan disiarkan bermula 31 Oktober ini menerusi slot Samarinda di TV3.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan