Alyah - Google Blog Search |
BERITA ARTIS - <b>Alyah</b> Mohon Maaf - Gua.com.my Posted: 13 Jul 2013 11:30 PM PDT Dunia hiburan digemparkan dengan kontroversi yang berlaku antara pihak pengurusan Alyah yang dikhabarkan mahu memboikot akhbar Utusan Malaysia ekoran tersiarnya sebuah artikel yang bertajuk 'Alyah Tunggu Pinangan Ramli MS' di akhbar terbabit. Sebelum ini, GUA pernah menghubungi Alyah untuk mendapatkan penjelasan dari Alyah sendiri tetapi Alyah enggan memberikan sebarang komen mengenai isu terbabit dan GUA telah mendapatkan komen lanjut daripada pengurusnya, Syuib Ismail. Namun begitu, kesempatan yang GUA perolehi ketika bertemu dengan Alyah di rakaman program Aidilfitri TV9, 'Stailista Unplugged' di Sri Pentas 2, Shah Alam semalam memberikan ruang untuk Alyah mengulas lebih lanjut mengenai isu ini. "Saya jenis orang yang terbuka, walaupun bukan salah saya, saya memang tak ada masalah mahu meminta maaf. Cuma mungkin dalam keadaan ini, saya agak terpinga-pinga kerana saya tidak pernah melemparkan kata-kata yang saya nak 'banned' media. Sebab saya rasa kerjaya seni saya adalah periuk nasi saya, di mana media yang banyak menyokong saya, cuma apabila benda ini terjadi, ia agak memeranjatkan saya," cerita pelantun lagu 'Kisah Hati' itu memulakan perbualan. "Saya rasa agak terpukul juga kerana saya selalu tak ada masalah dengan media. Walaupun mungkin ada sesetengah wartawan yang menulis yang kurang baik tentang saya, tapi saya anggap itu kerja mereka. Apabila jumpa di luar saya tetap menegur dan bertanyakan khabar kerana perkara itu tidak menjadi masalah pada saya kerana saya jenis memahami. Tetapi apabila keluarnya artikel itu, Alyah 'Gam' Media?, dalam bentuk tanda soal, walaupun ianya dalam bentuk soalan, tapi secara tak langsung saya telah mengguris hati semua orang. Apabila ayat tu keluar, betul ataupun tidak, selalunya mesti orang akan anggap betul. Perkara itu buat saya rasa agak sedih, sebab saya rasa ini satu perkara yang akan memberi kesan kepada kerjaya seni. Saya tidak pernah menyatakan perkara itu," jelas Alyah panjang lebar. "Sebenarnya saya berkecil hati kerana cara penulisannya seolah-olah dia bercakap dengan saya, sedangkan saya tidak tahu kejadian tersebut. Tapi pada saya perkara itu boleh diselesaikan, ada cara lain lagi. Cuma apabila baca artikel dia, seolah-olah dia bercakap dengan saya, itu satu perkara yang macam tuduhan. Saya rasa yang menulis tu, menulis dengan perasaan sendiri, bukan dalam keadaan dia bekerja," ujar Alyah lagi. "Saya ada juga bertanya dengan pihak pengurusan saya mengenai keadaan ini, apa yang telah terjadi. Tapi apabila diterangkan satu demi satu, saya rasa 'no point' untuk cari sama ada siapa menang atau siapa betul. Perjalanan kerjaya saya masih panjang lagi, saya masih mahu berada dalam industri ini. Jadi saya rasa jalan terbaik adalah saya sendiri meminta maaf jika selama ini saya tidak menyenangkan. Saya manusia biasa dan tak mampu nak buat semua orang suka kepada saya," ulas Alyah panjang lebar. "Kadang-kadang saya fikir, saya terlalu jujur dengan kerjaya seni saya. Saya terfikir kebanyakkan yang terjadi bukan datang daripada saya sebab saya bukan jenis yang suka cari masalah. Tapi saya redha. Saya dari dulu sampai kini bergerak sendiri, dibantu oleh dua atau tiga orang teman rapat saya. Tahun lepas saya dikejutkan pasal 'designer' dan sekarang dikejutkan mengenai perkara ini, saya jadi takut untuk berhadapan dengan apa yang bakal terjadi selepas ini. Apa yang saya mampu lakukan adalah berdoa semoga saya dapat meneruskan kerjaya seni saya kerana ini adalah punca pendapatan saya. Saya membisu bukan bermakna saya mengiyakan," luah Alyah yang bakal mengadakan satu sidang akhbar untuk menerangkan segalanya dan memulihkan keadaan apabila dia sudah benar-benar bersedia. "Sekarang ini saya perlu masa untuk selesaikan banyak perkara dan untuk menguruskan semula kerjaya seni saya yang sebelum ini agak terganggu dan merosot. Apapun, saya mewakili pihak pengurusan dan diri saya sendiri, dengan rasa rendah diri ingin meminta maaf kepada sesiapa yang mungkin terasa, yang mungkin saya tidak sengaja. Daripada isu 'designer', daripada bekas PA saya sampai ke perkara yang terjadi sekarang ini, saya mohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki," tutur Alyah yang tidak mampu menahan sebak. |
You are subscribed to email updates from Alyah - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan