Bergabung dalam satu drama terbaru berjudul Strawberi & Karipap yang bakal disiarkan di Astro Ceria sepanjang bulan September ini, dua pelakon cilik, Mia Sara dan Rykarl dilihat begitu serasi ketika berada di lokasi penggambaran.
Biarpun ada kalanya kenakalan dan kepetahan dua pelakon kanak-kanak bijak ini agak keterlaluan namun ia tidak mengundang apa-apa masalah bagi pengarah mahupun pelakon-pelakon lain.
"Memang seronok bekerja dengan mereka, apa yang menariknya tentang Mia dan Rykarl mereka berdua tidak berpura-pura, kalau mereka happy, mereka akan sentiasa happy bila berada di lokasi. Saya pilih mereka sebab saya rasa mereka berdua ada keserasian bila berlakon, mereka juga ceria dan sudah ada pengalaman dalam lakonan.
"Saya terpaksa jadi kanak-kanak juga untuk handle mereka, nak cakap senang sangat nak handle itu tidak juga, tapi tidaklah sampai mendatangkan masalah besar," cerita P. Prem Anand Pillai, pengarah drama Strawberi & Karipap.
Selain meletakkan Mia Sara dan Rykarl sebagai pelakon utama, Strawberi & Karipap, pelakon remaja popular Nellydia turut berlakon dalam drama ini bersama pelakon, Zizan Nin.
"Cerita Strawberi & Karipap ini adalah idea asal Astro Ceria, kerana melalui penelitian kami, kebanyakkan penonton lebih gemar dan cenderung kepada pengisian yang bersifat ringan, komedi, mempunyai nilai kekeluargaan dan tidak memerlukan penghayatan yang berat untuk mentafsir keseluruhan jalan cerita.
"Kami ingin memberi hiburan buat penonton khususnya untuk golongan kanak-kanak," kata Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan