SHAH ALAM - Berita baik buat peminat lagu Bunga Padang Pasir, Anak Liar dan Hati Syaitan - kumpulan yang mempopularkan ketiga-tiga lagu berkenaan, Sofea akan membuat penampilan kembali pada 13 Mac ini.
Kumpulan yang juga dikenali dengan nama SYJ itu akan berganding dengan kumpulan Jinbara dan Bunkface untuk membuat persembahan dalam Konsert Di Hatiku yang akan diadakan di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi MARA UiTM, Shah Alam pada tarikh tersebut.
Konsert yang merupakan projek akhir pelajar Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM tersebut merupakan satu usaha menggabungkan bakat dari tiga era berlainan bagi memenuhi selera peminat muzik tanahair.
Menurut pegawai publisiti penganjur konsert, Nur Syahirah Abd. Majid, apa yang menarik ialah ketiga-tiga kumpulan berkenaan dipilih untuk membuat persembahan berdasarkan pungutan suara yang dilakukan ke atas lebih 100 pelajar fakulti tersebut.
"Kami cuba untuk membuat kelainan dengan mengadakan satu konsert mengikut citarasa penonton dan ketiga-tiga kumpulan inilah yang mendapat pilihan paling tinggi dalam pungutan suara yang kami lakukan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menurut Syahirah, setakat ini sebanyak 400 daripada 1,500 tiket-tiket konsert bernilai RM25 dan RM50 telah terjual sejak tiket-tiket berkenaan mula dijual dua hari lepas.
Katanya, bagi mereka yang berminat, tiket-tiket konsert tersebut masih boleh diperolehi di UiTM Shah Alam, I-City Shah Alam, Space U8, Plaza Masalam, Giant Shah Alam, dan disekitar Lembah Klang.
Tambah beliau, maklumat lanjut mengenai konsert tersebut boleh diperolehi dengan menghubungi Bahagian Publisiti, Konsert Di Hatiku di talian 013-7089805. - KOSMO! Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan