Nuffnang

Jumaat, 23 Mac 2012

Kilafairy - Google Blog Search

Kilafairy - Google Blog Search


Tupai - Portal Hiburan Terkini: <b>Kilafairy</b> gembira jadi pelajar

Posted: 20 Mar 2012 03:00 AM PDT

Gadis seksi yang bakal menginjak usia 20 tahun pada 17 Mei akan datang ini mula mencipta nama menerusi lakonan filem pertamanya, "Karak". Selepas itu anak kepada penyanyi Rohana Jalil ini turut mengembangkan kariernya dalam bidang nyanyian pula selepas lagu "Roman" mula mendapat perhatian peminat.

Sibuk dengan pelajaran buat masa ini, Kilafairy akui dirinya masih aktif dengan aktiviti seni, cuma perlu membataskan diri daripada mengambil tawaran lakonan.

Mari ikuti perkembangan terbaru Kilafairy.

Hai! Agak lama tidak kedengaran nama Kilafairy sejak kebelakangan ini. Boleh ceritakan perkembangan terbaru?

Selepas tamat kontrak bersama KRU, Kila kini sibuk dengan aktiviti kolej. Kila ambil jurusan diploma pengurusan dan pemasaran di Kolej Antarabangsa Raffles. Buat masa ini, Kila agak sibuk kerana sudah semester akhir dan banyak projek yang perlu diselesaikan. Selain daripada itu, Kila juga masih dalam proses rakaman untuk lagu solo Kila yang ditulis dan dicipta sepenuhnya oleh Amylea. Liriknya pula ada juga yang Kila buat tapi keseluruhan lagu tersebut merupakan idea asal Amylea sendiri. Memandangkan Kila kini masih belajar, masa yang terluang tidak banyak, banyak tawaran berlakon terpaksa ditolak. Kila hanya sempat memenuhi undangan menyanyi di majlis korporat dek kerana masa yang diambil tidak lama seperti terlibat dengan penggambaran. InsyaAllah, selepas tamat pengajian pada 3 April ini, Kila akan bekerja seperti biasa. Tidak ketinggalan juga, filem "Hoore! Hoore!" yang telah menjalani penggambaran pada bulan Julai tahun lalu akan ditayangkan pada 24 Mei ini.

Sebagai seorang pelajar, Kila masih dapat meluangkan masa untuk belajar dan juga kerjaya?

Walaupun waktu padat dengan kuliah, Kila masih dapat meluangkan masa untuk bekerja. Kila seronok menjadi pelajar kerana dapat meluangkan masa bersama rakan di samping itu juga dapat menyanyi, melakukan perkara yang Kila memang minati.

Mengenai lagu solo Kila tadi, boleh ceritakan secara lanjut tentang lagu tersebut? Adakah ia hampir sama dengan lagu sebelum ini?

Tidak sama sekali kerana sebelum ini lagu yang dicipta oleh Roman merupakan lagu yang berentak balada sepenuhnya. Untuk lagu yang masih belum diketahui tajuknya ini lebih kepada R&B dan soul. Selain daripada itu juga, bunyi bass turut diselitkan. Lagu ini sememangnya merupakan pilihan Kila sendiri selepas berbincang dengan Amylea.

Mungkin sebelum ini ramai yang ingin bekerjasama dengan Kila. Namun Amylea yang menjadi pilihan. Mengapa?

Mungkin sebab Amylea mempunyai jiwa yang sama seperti Kila. Dia muda dan ideanya sangat kreatif. Kami telah berbincang dan dia tahu apa yang Kila inginkan. Selepas Amylea mencipta lagu tersebut, tanpa perlu berfikir Kila terus setuju kerana dia cipta lagu tersebut sememangnya bagus. Kila yakin lagu tersebut mempunyai kelainan tersendiri. Lagu ini juga dijangka akan diriliskan pada penghujung bulan April ini.

Semua orang mungkin sudah tahu mengenai penglibatan Kila dalam filem "Hoore! Hoore!". Boleh berkongsi tentang filem tersebut dengan lebih lanjut?

"Hoore! Hoore!" merupakan filem arahan sepenuhnya oleh pengarah ternama, Saw Teong Hin yang merupakan pengarah untuk "Puteri Gunung Ledang" sebelum ini. Ia adalah filem musikal yang menampilkan ramai artis terkenal seperti Akim, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Aznil Haji Nawawi dan pelakon baru yang memegang watak utama, Nurfarah. Kebanyakan lagu yang ada dalam filem ini dicipta oleh Audi Mok. Kila memegang watak sebagai Rita, seorang pelajar popular di sekolah tersebut. Rita digilai ramai lelaki termasuk Akim. Filem ini kelakar dan sememangnya sesuai ditonton oleh semua lapisan umur.

Kalau dulu berlakon, kini menyanyi pula. Mana satu menjadi keutamaan Kila?

Sebenarnya nak diikutkan Kila memang suka berlakon dan menyanyi. Kedua-duanya Kila gemari. Namun yang demikian, disebabkan terikat dengan aktiviti kolej, waktu untuk berlakon tiada. Kila cuma ada masa untuk menyanyi sahaja dan itu yang kila sempat buat sepanjang bergelar pelajar. InsyaAllah selepas habis belajar, Kila akan sambung berlakon semula.

Apakah perancangan Kila selepas tamat belajar nanti?

Kila mungkin akan menerima tawaran berlakon yang pernah ditangguhkan sebelum ini. Jika tiada aral melintang, Kila ingin sambung belajar di peringkat yang lebih tinggi di Australia. Walaubagaimanapun itu cuma perancangan. Semuanya terletak di tangan Yang Maha Esa. Doakan yang baik-baik sahaja.

Dari segi lakonan pula, ada watak yang Kila inginkan tetapi masih belum diberi peluang lagi. Boleh cerita sedikit?

Watak yang paling Kila mahu cuba adalah memegang watak gadis kampung yang bertudung. Sebelum ini Kila banyak ditawarkan watak perempuan gedik. Jika diberi peluang, watak gadis kampung dan juga wanita lasak merupakan impian Kila suatu hari nanti. Wanita lasak ni seperti Angelina Jolie.

Bakal mencecah usia 20 pada tahun ini, mungkin sudah bersedia untuk bercerita perihal teman lelaki. Ada sesiapa yang istimewa dalam hati Kila?

(Ketawa) Saya masih lagi solo. Jika ada pun hanya teman rapat yang masih dalam proses berkenalan. Buat masa ini, lelaki tersebut merupakan antara yang rapat dengan Kila dan mempunyai ciri-ciri lelaki yang Kila inginkan. Untuk bawa berjumpa mama (Rohana Jalil), masih belum tiba waktunya.

Sebelum berakhir, mungkin ada sesuatu yang Kila inginkan dalam hidup Kila suatu hari nanti. Boleh berkongsi di sini?

Sekarang Kila sudah mempunyai perniagaan sendiri di 19 USJ City Mall, Subang Jaya. Harapan Kila agar perniagaan ini berjaya dan Kila juga mahu menjadi pelakon yang disegani suatu hari nanti.

Terima kasih Kila. Gembira dapat menemubual anda!

Sama-sama dan terima kasih juga!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan