Ribuan peminat penuhi Berjaya Megamall meriahkan siri jelajah ABPBHLAUTAN  manusia yang membanjiri setiap inci ruang legar pusat beli-belah  Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang, petang semalam membuktikan siri  jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011  masih mempunyai pengaruh dan menjadi platform penting untuk mendekatkan  peminat dengan artis kesayangan mereka.  
  Saban tahun, setiap kali acara promosi ini mengunjungi mana-mana lokasi  terpilih, itulah juga pemandangan yang biasa dilihat. Ruang legar dan  setiap tingkat pusat beli-belah akan menjadi sesak kerana masing-masing  berebut-rebut untuk melihat artis yang diminati beraksi di atas pentas,  dengan lebih dekat.     Jika selama ini wajah popular itu hanya mampu ditatap menerusi layar  kaca dan media cetak, kini artis yang diminati berada di depan mata.  Andai bernasib baik, pengunjung yang hadir pada acara itu berpeluang  mendekati, beramah-mesra dan merakamkan foto kenangan bersama.
Tidak  keterlaluan andai dikatakan inilah masanya untuk peminat menerima  ganjaran atau habuan atas sokongan yang tidak berbelah bagi selama ini.  Hati mana yang tidak berbunga keriangan apabila berpeluang bersiar-siar  dengan idola menaiki kenderaan Nissan Livina X-Gear dan Nissan Teana  2.5L (A) tajaan Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd.
Walaupun ada  ketika pengunjung yang diundang ke atas pentas 'teruk' dikenakan  pengacara petang itu iaitu Faizal Ismail, AG dan Along Cham, apabila  mereka diminta melakukan pelbagai aksi yang boleh mengundang gelak  ketawa penonton, namun usaha itu berbaloi kerana hadiah yang dibawa  pulang cukup untuk dijadikan kenangan paling indah sepanjang hayat  mereka.
Sebagai contoh, seorang peminat wanita pastinya tidak  tidur malam dan bakal dicemburui teman lain apabila aktor kacak, Aaron  Aziz, melutut di depannya sambil menyampaikan hadiah. Aksi spontan  pelakon Ombak Rindu itu membuatkan penonton yang hadir bersorak  kegirangan.  
Lain artis lain pula gelagatnya. Andai Aaron mencuri perhatian  penonton dengan gaya seorang lelaki budiman, Diana Danielle dan Fauzi  Nawawi berjaya membuatkan penonton terhibur dengan tarian 1Malaysia yang  menjadi tema persembahan mereka petang itu.
Kemunculan pengacara  nombor satu, Aznil Nawawi, terus menggamatkan suasana apabila dia  mengarahkan peminat untuk melakukan aksi 'head banging' mengikut rentak  muzik metal yang diputarkan. Apa yang penting, aksi mereka mendapat  imbuhan apabila Aznil bermurah hati menghadiahkan wang tunai sebanyak  RM210 kepada pemenang bertuah.
Selain Aznil, Aaron juga bermurah hati menghadiahkan rantai kepada seorang peminat cilik.
Penangan  filem Ombak Rindu nampaknya menjangkiti siri promosi ini apabila sebuah  sketsa yang diadaptasikan daripada filem popular itu dipentaskan Aaron,  Tasha Shilla dan juga peminat terpilih.
Bersesuaian dengan  kepelbagaian kategori yang dipertandingkan, siri promosi itu juga  mengundang penyanyi yang bergelar finalis untuk menghiburkan peminat  serta pengunjung pusat beli-belah terbabit. Antaranya finalis kategori  Penyanyi Lelaki Popular, Aizat, yang menyampaikan lagu terbarunya,  Jerrypah, sambil diiringi petikan gitar.
Satu-satunya kumpulan  remaja yang berjaya melepasi tangga untuk bergelar finalis, Forteen,  terus menjadi tumpuan penonton dengan persembahan mantap, selain wajah  comel mereka. Kemunculan kumpulan ini menyampaikan lagu hasil ciptaan  Edry Abd Halim mendapat tepukan gemuruh pengunjung terutama remaja
wanita.
Turut  dinantikan kehadirannya pada siri promosi ini ialah Shila Amzah yang  menyampaikan dua lagu, Set Fire To The Rain, nyanyian Adele dan juga  single terbarunya, Patah Seribu. Sebelum menyampaikannya, sempat juga  Shila menujukan lagu terbabit kepada seseorang. Walaupun tidak menyebut  namanya namun rasanya ramai yang sedia maklum siapakah gerangan individu  dimaksudkan.
Ternyata, orang Pantai Timur memang beruntung  apabila siri promosi ini membariskan ramai finalis yang bukan  calang-calang. Kehadiran Bintang Paling Popular ABPBH2010, Shaheizy Sam,  kumpulan Meet Uncle Hussain, Yana Shamsuddin, Adi Putra, Fizz Fairuz,  Scha Alyahya, Black serta artis baru seperti Awi Rafael, Tasha dan Izara  Aishah berjaya memujuk peminat untuk menunggu sehingga acara berakhir.
Meskipun  tempoh 'kempen' yang diberikan penganjur amat singkat, namun masa itu  digunakan sepenuhnya oleh finalis untuk menghargai peminat mereka serta  mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang tidak berbelah bagi  selama ini.
Siri promosi jelajah ini akan diteruskan ke lokasi ketiga, Dataran Pahlawan, Melaka, pada 10 dan 11 Mac ini. 
   
Tiada ulasan:
Catat Ulasan