Benarlah kata pepatah, kalau dah jodoh tak ke mana. Begitu juga halnya dengan penyanyi lelaki bersuara lantang, Black dengan kumpulan terkenal Meet Uncle Hussain.
Namun jodoh yang dimaksudkan ini bukanlah bermakna jodoh kahwin, tetapi jodoh mereka untuk berkolaborasi.
Jika sebelum ini mereka pernah bekerjasama menerusi lagu Drama King, namun kali ini kedua-duanya sepakat bergabung sekali lagi di atas pentas program realiti terbaru, Versus yang akan disiarkan di TV9 bermula 13 April ini.
Mengambil keputusan menubuhkan band baru yang dinamakan Black & Parallax, artis yang lahir daripada program realiti Mentor ini berkata, penubuhan itu diadakan khas untuk program tersebut.
Menurutnya, gabungan itu tercetus atas permintaan stesen televisyen berkenaan yang meminta dia bekerjasama dengan kumpulan Meet Uncle Hussain.
"Penubuhan Black & Parallax adalah khas untuk program Versus, di mana Black dan kumpulan Meet Uncle Hussain dihubungi TV9 untuk terlibat dalam program itu.
"Memandangkan kami sebelum ini pernah berkolaborasi bersama dalam lagu Drama King, jadi saya bersetuju sekali lagi bekerjasama kerana saya senang bekerja dengan mereka," katanya semasa ditemui di sidang media program Versus di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas mengenai nama kumpulan baru yang ditubuhkan oleh mereka, Black memberitahu, nama Black & Parallax adalah idea mereka bersama.
Menyedari kedua-duanya mempunyai kelompok peminat tersendiri, mereka berpakat untuk mengambil satu nama baru khusus untuk program Versus.
"Peminat sudah kenal Meet Uncle Hussain sebagai Meet Uncle Hussain dan Black sebagai Black. Jadi, kami tidak mahu peminat keliru dengan nama yang ada. Biarlah untuk program ini, mereka mengenali kami dengan nama Black & Parallax," katanya yang tidak mahu dilabelkan sebagai vokalis band.
Mengakui lebih gemar dikenali sebagai artis solo, Black bagaimanapun mengakui sedikit gugup untuk membuat persembahan secara live bersama band itu.
"Saya telah pun menerima jadual untuk program Versus dan setakat ini tiada masalah untuk saya mengikut jadual yang diberikan. Namun, saya harus belajar untuk mengikut rentak berkumpulan kerana ini adalah persembahan Black & Parallax," ujarnya lagi.
Konsep berbeza: Taja
Sementara itu, gitaris kumpulan Meet Uncle Hussain, Nik Mustaza Nik Mustapha atau lebih dikenali sebagai Taja menyifatkan penubuhan Black & Parallax berbeza kerana mengetengahkan konsep progresif fusion rock.
Menurutnya, persembahan kumpulan baru ini berlainan kerana mereka perlu tampil membuat persembahan secara langsung selama lapan minggu.
Mengakui keserasian yang tercipta dengan Black menyebabkan mereka tidak kisah untuk bergabung sekali lagi, Taja berhasrat menampilkan persembahan yang hebat dari minggu ke minggu.
"Biasalah jika ada perasaan gugup untuk bertanding kerana setiap band mempunyai keistimewaan tersendiri. Apa yang saya mahukan adalah kesempurnaan dari segi persembahan yang akan membuatkan peminat mengingati band kami.
"Perkara yang bagus mengenai program ini adalah kami diberikan lagu-lagu orang lain dan ia bergantung kepada kreativiti kami untuk mencantikkan lagi lagu yang sudah tersedia cantik. Daripada sini, kita tahu satu lagu boleh mempunyai teori muzik yang pelbagai.
"Perkara yang mencabar dan susah adalah untuk menjadikan lagu itu tidak sumbang setelah diubah," katanya yang sudah bersedia untuk memasuki program Versus.
Selain Black & Parallax, empat lagi kumpulan terkenal tanah air turut terlibat dalam program Versus iaitu 6ixth Sense, Hujan, Sofazr dan sebuah lagi band projek khas, Go Gerila! yang dianggotai Aizat dan Amir Jahari serta kumpulan baru mereka.
Kelima-lima kumpulan bakal menonjolkan bakat dan kreativiti mereka menerusi gubahan lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu dan diberi nafas baru yang diberikan selama lapan minggu berturut-turut.
Cabaran yang dilalui dan kehebatan mereka dapat disaksikan secara langsung pada jam 9.30 malam di TV9.
Related Posts via Categories
Tiada ulasan:
Catat Ulasan