PETALING JAYA: Cuaca mendung dan hujan sedikit pun tidak menggugat kemeriahan acara konsert MTV World Stage Live In Malaysia 2013 yang diadakan di Surf Beach @Sunway Lagoon pada malam Ahad.
Malah konsert yang membariskan empat penyanyi iaitu Joe Flizzow, Exo, Far East Movement dan Robin Thicke telah menarik kira-kira 15,000 penonton dalam persembahan yang bermula tepat pukul 7.30 malam itu.
Joe membuka persembahan pada malam itu dengan lima buah lagu iaitu Iller Iller, Untukmu, All Around My World, Havoc dan Who Do It Better.
Tidak dapat dinafikan kredibiliti Joe amat menyerlah pada acara itu dan persembahannya setanding dengan penyanyi bertaraf antarabangsa yang lain.
Pujian juga harus diberikan kepada Joe apabila menyampaikan beberapa buah lagu berbahasa Malaysia dan ia adalah peluang baik untuk muziknya dikenali di peringkat antarabangsa apabila acara itu ditayangkan di seluruh dunia kelak.
Tidak keseorangan di pentas, Joe turut menjemput beberapa temannya seperti SonaOne, Altimet dan Ila Damiaa menerusi lagu Untukmu.
Suasana bertambah hangat apabila kumpulan daripada Korea Selatan iaitu Exo muncul di pentas dengan sorakan daripada peminat mereka yang kebanyakannya di kalangan remaja wanita.
Kumpulan yang dianggotai oleh 12 ahli itu turut sempat menzahirkan kegembiraan penerimaan masyarakat di negara ini terhadap mereka dan terharu dengan sambutan luar biasa diberikan.
Tidak menunggu lama, Exo meneruskan persembahan mereka dengan lagu History, 365 sebelum menyanyikan lagu popular mereka iaitu Growl.
Persembahan mereka di Malaysia juga adalah yang pertama kali menggabungkan kesemua anggota kumpulan itu di atas pentas sama.
Tumpuan penonton tidak reda apabila fFr East Movement memberikan persembahan bertenaga menerusi 12 buah lagu medley seperti Ain't Coming Down X Wild Things, Like a G6, Illest, So What, If I was You, Jello, Change Your Life, Rocket, Get Up (Rattle), Rocketeer, Live My Life.
Berpaksikan kepada muzik rancak dengan elemen electro-pop, Far East Movement turut menggunakan peralatan seperti dram dan iPad sebagai instrumen persembahan mereka.
Mereka turut menyampaikan lagu daripada Alicia Keys berjudul No One sebelum meninggalkan pentas dan kembali untuk mempersembahkan lagu Turn Up the Love yang menjadi siulan peminat mereka.
Pada acara penutup, penyanyi yang sedang popular menerusi lagu Blurred Lines iaitu Robin Thicke muncul di atas pentas diiringi oleh tiga penyanyi latar.
Bagaimanapun masalah teknikal yang dihadapi oleh penyanyi itu telah menyebabkan persembahan terhenti seketika namun Robin tidak membiarkan peminat menunggu lama apabila membuat persembahan secara accapela bagi menarik perhatian mereka.
Rata-rata yang hadir terpegun dengan persembahan lelaki itu yang cukup menghiburkan dan seksi sehingga peminat wanita menjerit menonton persembahannya.
Antara lagu yang disampaikan Robin pada malam itu adalah Give It To You, Take It Easy on Me, Feel Good, Oh Shooter, Lost Without U dan Shaking It For Daddy.
Bijak berkomunikasi dengan peminat, Robin sempat memberi pesanan kepada para peminatnya agar tidak berputus asa dalam mengejar impian dan percaya ia boleh dicapai dengan usaha dan kesungguhan.
Robin juga turut menyampaikan sebuah lagu balada berjudul Dreamlover dengan penuh emosi sebelum menutup acara malam itu dengan lagu Blurred Lines yang turut dinyanyikan oleh semua hadirin yang datang.
Rakaman program berkenaan bakal ditayangkan di 154 buah negara di saluran MTV pada Rabu ini pada pukul 11 malam (waktu Malaysia.)
-mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan