Nuffnang

Isnin, 9 April 2012

Adi Putra - Google Blog Search

Adi Putra - Google Blog Search


<b>Adi Putra</b> Ubah Fizikal » Laman Kongsi Dot Com

Posted: 16 Mar 2012 11:23 PM PDT

SEPULUH tahun bergelar aktor, dari kota Singa merantau ke Malaysia, hasilnya cukup mengagumkan buat pemilik nama Mohamed Hadi Putera Halim atau nama pentasnya, Adi Putra.

Hari ini siapa yang tidak kenal Adi Putra, daripada suri rumah yang terpikat dengan watak Zikir dalam drama Tentang Dhia sehinggalah anak muda yang cukup kagum dengan karisma dan antagonis menerusi watak Jai dalam filem pecah panggung, KL Gangster.

Tidak perlu sebarang kontroversi bagi melariskan namanya, malah namanya kini masih bersih daripada sebarang cerita negatif. Cukup hanya dengan bakat, karisma serta disiplin yang dibawa di set penggambaran, Adi berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Isterinya di layar kaca dalam drama Tentang Dhia, aktres Nora Danish juga mengakui dia cukup mengagumi Adi, sambil menyifatkan sosok hebat itu sebagai seorang aktor yang cukup berkarisma.

Tersenyum dengan pujian itu kata Adi, 31, karisma tidak datang dengan sendirinya sebaliknya ia datang menerusi keikhlasan dalam melakukan setiap perkara.

"Kunci karisma adalah keikhlasan, keikhlasan itu sangat penting, kemudian baru letak profesionalisme.

"Saya tidak pernah rasa diri popular sebaliknya berfikir kerjaya saya sama seperti orang lain cuma kerja saya menuntut untuk saya keluar di akhbar, majalah dan televisyen. Jika kita kerja dengan ikhlas, glamor dan populariti akan menyusul," jawabnya yang akan bergandingan sekali lagi dengan Nora Danish menerusi filem Aku Terima Nikahnya yang kini dalam pembikinan.

Ubah fizikal

Suami kepada penerbit bernama Aida Yusof itu juga mula meraih perhatian menerusi perubahan fizikalnya dalam filem Haq.

Meskipun filem itu kurang mendapat sambutan, namun keberanian Adi menonjolkan tubuhnya yang sasa dalam filem sehingga ia meraih perhatian ramai.

Jolokan 'abang badan sasa' bagai sudah sinonim dengannya sejak itu, kemudian kemunculannya dalam filem KL Gangster menaikkan lagi profil namanya. 

Dalam filem KL Gangster 2 yang baru sahaja menamatkan penggambarannya, Adi sekali lagi dengan beraninya mewarnakan seluruh rambutnya dengan warna perang selain mengecilkan sedikit sosok tubuhnya.

"Rambut saya perang kerana dalam KL Gangster 2 ia merupakan kisah lima tahun sebelum KL Gangster yang pertama, jadi untuk nampak muda saya warnakan rambut dan kecilkan sikit badan supaya penonton percaya dengan apa yang mereka tonton," jawabnya yang telah mendirikan rumah tangga selama lima tahun.

Tambahnya yang cukup kagum dengan bakat aktor Hollywood, Johnny Depp, seorang pelakon harus ada sifat berani untuk berubah demi meyakinkan orang ramai yang menonton lakonan mereka.

"Saya bersedia untuk berubah dalam setiap watak berbeza yang diberikan kepada saya. Jika sama sahaja orang yang menonton pun bosan, saya juga bosan. Sebab itu saya mengubah fizikal saya dan ia memerlukan kerja keras serta disiplin yang tinggi.

"Bagi mengekalkan bentuk tubuh badan, saya akan ke gim setiap hari, jika tidak sempat saya akan berjoging, itu perkara wajib selain dapat meningkatkan kesihatan dan kecergasan tubuh badan," tuturnya yang memiliki Diploma Kejuruteraan Penerbangan dari Institut Pendidikan Teknikal Singapura.

Impian tertunai

Sejak bergelar aktor, sama seperti orang lain, dia juga ada menyimpan impian sendiri sebagai anak seni dan dia cukup bertuah kerana ada antara impian itu sudah tercapai. Selain ingin hasil kerjanya dihargai penonton, Adi menyimpan impian untuk berlakon bersama beberapa pelakon tersohor.
"Masa mula-mula berlakon saya ingin sangat berlakon dengan Rosyam Nor, Datuk Rahim Razali, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan tidak terfikir dapat berlakon di samping Shah Rukh Khan. Alhamdulillah, saya dapat berlakon dengan mereka semua, saya rasa sangat bertuah.

"Tetapi sebelum berjaya bekerja dengan mereka, saya bekerja keras. Bukan petik jari semua dapat," jelasnya yang berlakon sebabak dalam filem Bollywood, Don 2 bersama Shah Rukh Khan.

Sungguhpun namanya kini berada di puncak dan antara pelakon lelaki tempatan terhangat, Adi tidak pernah menganggap tahun ini miliknya kerana kejayaan beberapa naskhah drama dan filem lakonannya.


"Tidak boleh kata tahun ini tahun saya. Semua yang datang adalah rezeki daripada Allah. Setiap pekerjaan adalah ibadah. Saya hanya mampu bersyukur dengan kejayaan yang datang.

"Satu kesilapan besar apabila saya sendiri letakkan diri di tempat teratas, bagi saya Adi Putra yang dahulu dan kini masih orang yang sama," balasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan