"SAYA tidak akan menolak jika ditawarkan untuk berbogel dalam mana-mana filem di masa-masa hadapan dan isteri saya pun tidak kisah jika saya dikehendaki berbogel sekali lagi (dalam filem)." Sekali dengar ia seperti kenyataan 'berani mati' atau 'madah bercili' yang dilontarkan dari mulut pelakon Hollywood, tetapi realitinya itulah kenyataan tulus pelakon Zul Suphian tatkala mengulas mengenai karakter lakonannya dalam dua buah filem seram, Mantra dan Keramat.
Kontroversi atau tidak, itulah pendirian pemilik nama sebenar Nurzul Suphia'an Sa'ban, 38, yang dulunya dikenali sebagai Zul Handy Black. Dia nampaknya cuba mencipta 'jenama'nya yang tersendiri dengan sering muncul dalam babak 'panas' dalam filem-filem lakonannya.
Namakan satu pelakon Malaysia yang pernah muncul berbogel di layar perak dan kemudian kini muncul separuh bogel dalam adegan ghairah bersama pelakon wanita dalam filem terbaharunya kalau tidak Zul Suphian!
"Saya beruntung kerana keluarga dan isteri saya, Fyza memahami tugas saya selaku seorang pelakon. Mereka tahu saya lakukan semua ini untuk tugas saya dan saya juga akan bertindak profesional. Isteri saya tidak kisah, kerana dia tahu saya ramai 'teman wanita' dalam setiap produk lakonan saya," tutur Zul.
"Saya melakukan itu semua bukan untuk mengundang kontroversi tetapi kerana mengikut kehendak pengarah dan supaya penonton dapat gambaran yang lebih jelas," itu ulasan dan alasan pelengkap yang diberikan Zul merangkumi adegan bogelnya dalam filem Mantra pada tahun lepas dan adegan ghairahnya bersama aktres Mon Ryanti untuk filem Keramat yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam.
Bagi Zul, beraksi ghairah bukanlah cabaran berat baginya, namun baginya, cabaran sebenar adalah apabila untuk filem Keramat dia perlu memerankan dua karakter yang berlainan iaitu watak Nazmir pada era hari ini dan Habib seorang lelaki yang hidup pada tahun 1900.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan