Nuffnang

Isnin, 26 November 2012

Ning Baizura - Google Blog Search

Ning Baizura - Google Blog Search


Taufan Sandy, <b>Ning Baizura</b> Tetap Ke New York

Posted: 31 Oct 2012 05:00 AM PDT

berita | Tempatan

Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my

KUALA LUMPUR, 31 OKT 2012: Taufan Sandy yang melanda Amerika Syarikat kelmarin, sedikitpun tidak mematahkan semangat diva soul popular, Ning Baizura dan suaminya, Chris Dalton untuk mengunjungi bandaraya New York yang dikenal pasti sebagai salah satu kawasan paling terjejas akibat bencana berkenaan.

Ning Baizura ke sana kerana menemani suaminya yang terlibat dalam acara larian marathon amal yang bakal disertai lebih 300,000 peserta dari seluruh dunia.

Dihubungi portal murai.com.my sebentar tadi, Ning Baizura berkata dia dan suami akan bertolak ke New York tengah malam ini dengan menaiki penerbangan MAS. Bagaimanapun, mereka akan berhenti di London terlebih dahulu untuk menaiki pesawat British Airways untuk terus ke sana.

"Setakat ini tiada laporan daripada laman web rasmi larian marathon berkenaan yang mengatakan aktiviti amal itu dibatalkan atau digantikan kepada tarikh lain. Kerana sejak taufan itu melanda, kami sering mengikuti perkembangannya di kaca TV dan tiada langsung maklumat daripada pihak penganjur yang memberitahu, larian amal itu dibatalkan dan sebagainya.

"Malah, pihak penerbangan British Airways juga tidak memaklumkan apa-apa mengenai bahawa penerbangan kami ke New York, sama ada ia terpaksa dibatalkan atau pun ditangguhkan. Jadi atas dasar kerja amal, kami akan tetap meneruskan misi kami ke sana.

"Saya mengangap perkara ini sebagai cabaran buat dia (suami) dan sesuatu pengalaman yang tidak akan dapat kami lupakan bersama," katanya yang akan pergi bersama bapa dan ibu mertuanya.

Dalam keadaan dirinya yang sedang sarat berbadan dua, Ning Baizura turut mengambil langkah berhati-hati dengan mengambil keputusan untuk tinggal bersama mertuanya di London, jika keadaan di New York dilaporkan merbahaya buat dirinya.

Menurut Ning Baizura, daripada apa yang diketahui menerusi laporan berita CNN, Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York sudah pun dibuka kepada penerbangan domestik dan diharap ia bakal dibuka kepada peberbangan antarabangsa lain dalam masa terdekat.

"Saya dan suami dijangka akan berada di New York pada 1 November ini dan larian amal berkenaan akan berlangsung pada 4 November ini. Mungkin akan berlaku perubahan kepada lokasi permulaan larian, tapi saya tidak boleh pastikan lagi kerana tiada apa-apa perubahan setakat ini.

"Tapi apa yang saya tahu, kawasan tempat kami tinggal iaitu di Central Park, Manhattan tidak mengalami kesan yang teruk berbanding kawasan luar lain seperti New Jersey. Malah, pihak yang bertanggungjawab menguruskan pangsapuri kediaman kami selama 12 hari di sana memberitahu bahawa kawasan itu selamat dan tidak terjejas langsung. Malah kami masih boleh mengambil kunci pangsapuri seperti yang dijanjikan," katanya.

Jelas Ning Baizura lagi, biarpun ada beberapa pihak mungkin beranggapan tindakan dia dan suaminya agak merbahaya, tambahan lagi dengan dirinya yang sedangberbadan dua, namun demi membawa misi amal, mereka sanggup ke sana.

Meskipun begitu dia berfikiran positif dan bersyukur kerana pemergian dia ke sana adalah selepas berlakunya bencana Sandy.

"Saya membawa dua pakaian basahan tambahan dan sedikit makanan ringan di dalam bagasi apabila berada di dalam pesawat saya nanti. Ia sebagai persediaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini di lapangan terbang nanti, manalah tahukan...

"Malah dari sudut lain, saya rasa bertuah kerana sekurang-kurangnya akan dapat melihat sendiri bagaimana keadaan bandaraya New York selepas taufan. Pastinya akan banyak proses pembersihan dijalankan nanti.

"Dengan keadaan tidak terduga ini, pastinya ada beberapa rencana saya yang terpaksa dibatalkan demi menjaga keselamatan saya, suami , mertua dan anak dalam kandungan saya," katanya yang akan kerap berkomunikasi melalui Twitter, Facebook dan Instagram miliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan