Nuffnang

Isnin, 14 Januari 2013

Wan Sharmila - Google Blog Search

Wan Sharmila - Google Blog Search


<b>Wan Sharmila</b> Rela Jadi Jahat ?

Posted: 11 Jan 2013 08:33 PM PST

BAGI mereka yang tidak mengenali Wan Sharmila, pastinya tidak tahu bahawa dia pernah berkahwin sebelum ini. Pemilik nama penuh Wan Sharmila Wan Muhamad ini pernah berumahtangga tetapi malangnya ikatan perkahwinan itu tidak kekal lama.

Menurut Wan Sharmila, biarpun sudah kira-kira tiga tahun hidup sebagai wanita bujang, dia tidak berasa terdesak untuk mencari pengganti kerana mahu terus fokus kepada karier terlebih dahulu.

"Buat masa ini, saya lebih selesa dengan kehidupan seperti ini, sangat selesa. Apa yang penting, tiada halangan untuk pergi ke mana-mana dan dengan sesiapa saja saya boleh berkawan," katanya yang mengakui gelaran janda tidak langsung memberi masalah kepada dirinya.

Bagaimanapun jangan salah anggap. Meskipun pernah melalui episod kegagalan dalam pernikahan, Wan Sharmila masih percaya kepada institusi perkahwinan.

"Tidak bermakna saya enggan berkahwin semula. Keinginan untuk ada pasangan, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri itu tetap ada, cuma mungkin tidak dalam waktu terdekat ini," jelasnya yang mengakui masih belum mempunyai teman pengganti.

Sebelum ini juga, Wan Sharmila mengakui bukan tiada individu yang cuba mendekatinya, tetapi amat sukar buatnya untuk menjalinkan hubungan secara serius kerana tertanya-tanya apakah pihak lelaki itu serius bersamanya.

"Tidak dinafikan, kadangkala memang ada lelaki yang cuba mendekati tetapi sukar bagi saya untuk menerima mereka kerana saya akan sering tertanya-tanya kejujuran mereka.

"Saya juga bukanlah semakin muda, jadi saya mahukan suatu hubungan yang serius dan lelaki yang boleh dijadikan suami bagi menjaga kehidupan saya di masa akan datang," jelasnya lagi.

Melihat pada susuk fizikal pelakon wanita ini, pastinya ada pihak akan mengandaikan bahawa dia baru berumur awal 20-an tetapi sebenarnya, wanita bertubuh kecil molek ini sudah berusia 31 tahun.

Selain itu, wanita yang banyak membintangi drama dengan penampilan remaja ini sudah layak dianggap antara pelakon berbakat tanah air berbekalkan pengalaman yang telah ditimbanya selama ini.

Suka jadi jahat

Terdapat pelbagai watak dalam dunia lakonan, dan pastinya kebanyakan pelakon mahu membawakan watak utama sebagai hero dan heroin dalam sesebuah drama mahupun filem.

Tetapi berbeza bagi wanita bertubuh kecil molek ini yang mengakui bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk membawakan watak jahat dalam mana-mana drama.

Malahan menurut Wan Sharmila, setelah beberapa tahun sering membawakan watak jahat, ia bagaikan sudah sebati dengan dirinya kerana baginya, ia merupakan suatu tugas yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Saya bukanlah seorang pelakon yang terlalu memilih untuk membawakan mana-mana watak, tetapi hampir kebanyakan tawaran lakonan yang diberikan kepada saya merupakan watak jahat.

"Sebagai pelakon, itu sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memikul tugas tersebut dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

"Selain itu, saya juga tidak mempunyai masalah untuk membawakan watak jahat yang diberikan kerana ia sudah sebati dengan diri saya," ujarnya.

Sungguhpun begitu tambah Wan Sharmila, itu tidak bermakna dia merupakan seorang wanita jahat atau kasar kerana watak sedemikian hanya dihidupkannya dalam layar kaca.

"Walaupun saya berkata sudah selesa membawakan watak jahat, itu tidak bermakna saya seorang yang mempunyai keperibadian seperti itu.

"Ini menunjukkan bahawa lakonan saya sebagai wanita jahat berkesan dan diterima secara baik oleh penonton, jika tidak masakan saya berterusan ditawarkan membawa watak sedemikian," katanya yang pernah berlakon dalam drama Sindarela dan Emil Emilda.

Apabila sudah lama melakonkan watak tertentu, pastinya seseorang pelakon itu mengidamkan untuk membawa watak tersebut ke suatu dimensi berbeza, itu jugalah yang diingini wanita yang dilahirkan di Johor Bahru ini.

Tambah Wan Sharmila, jika diizinkan, dia mahu membawakan watak seorang wanita jahat yang sejahat-jahatnya.

"Walaupun sudah banyak melakonkan watak seperti itu, tetapi sehingga kini saya masih belum berpeluang melakonkan watak yang benar-benar jahat mengikut keinginan saya.

"Selain itu, saya juga berminat untuk bekerjasama dengan Nabila Huda, anak kepada penyanyi legenda tanah air, Amy Search.

"Sebelum ini kami berdua juga pernah berbincang, mahu berganding dalam mana-mana drama sebagai adik-beradik yang jahat," katanya berseloroh.

Pelakon yang turut membintangi drama Kisah Kaisara, Tipah Vavavoom dan Rona Roni Makaroni ini turut mengakui dia tidak mempunyai masalah jika masyarakat melabel dia sebagai wanita jahat kerana watak lakonannya.

"Jika diberi gelaran sebegitu, saya menganggap ia satu pujian kerana lakonan saya dalam drama berkesan dan menjadi sehingga meninggalkan impak sedemikian kepada penonton," tambahnya.

Tambah pelakon ini lagi, jika terdapat tawaran bersesuaian, dia juga mempunyai keinginan untuk membawakan watak wanita yang baik kerana pengalaman membawakan watak berbeza pasti membantu meningkatkan lagi mutu lakonannya di masa hadapan.

Cabaran jadi ibu

Sungguhpun sudah berusia 31 tahun dan juga pernah menjadi isteri sebelum ini, tetapi Wan Sharmila mengakui bahawa antara cabaran besar dalam karier lakonannya adalah untuk menjayakan watak sebagai seorang ibu.

"Walaupun saya tidak mempunyai masalah untuk membawakan watak sebagai seorang gadis remaja dan juga watak jahat, tetapi watak sebagai ibu sungguh mencabar saya.

"Ini mungkin kerana saya tidak mempunyai benyak pengalaman bersama kanak-kanak. Jadi, untuk menjayakan watak itu, saya merujuk kepada rakan-rakan sebaya saya yang sudahpun bergelar ibu.

"Tetapi jika mahukan saya membawa watak sebagai kanak-kanak, itu tidak menjadi masalah buat saya kerana perangai saya memang sedemikian," katanya sambil ketawa kecil.

Wan Sharmila juga menegaskan dalam memikul watak sebagai ibu, mimik muka dan intonasi suara banyak memainkan peranan dan itulah aspek yang sedikit mencabar dirinya sebagai pelakon.

(Sumber Dari UTUSAN 12/01/2013)

Tiada ulasan:

Catat Komen