Selepas lebih sebulan berhempas pulas memastikan kelancaran serta kelangsungan penganjuran konsert 'bayi' sulung mereka, syarikat yang cukup sinonim dengan industri permotoran berkuasa tinggi, penerbitan dan juga pengurusan acara, Red Garage Group Sdn Bhd (RGGSB) sudah bersedia melancarkan Loudspeaker Y2K 11 25 Disember ini.
Stadium Merdeka yang berkapasiti 45,000 penonton bakal menjadi saksi melihat laungan dan sorakan hebat penggemar muzik tempatan apabila empat ikon rock, Wings, XPDC, Faizal Tahir (FT) bersama The Royal FT Force dan Azlan & The Typewriter dengan pengaruh tersendiri bersatu di pentas muzik ini.
Sejarah juga bakal tercipta malam itu nanti kerana pertembungan dua generasi muzik rock berhimpun menikmati lagu-lagu yang pernah dan masih hangat di carta radio tempatan. Hanya satu janji pihak penganjur buat mereka yang hadir, penonton akan pulang dengan memori yang cukup indah.
Kata Dira Abu Zahar selaku Pengarah Pengiklanan dan Promosi, RGGSB serta bertindak sebagai pengacara malam konsert, jutaan terima kasih diucapkan kepada rakan media TV , cetak, blogger dan portal terutamanya yang tidak putus-putus memberikan sokongan memastikan acara ini disedari masyarakat.
"Saya yakin, dalam arena industri seni ini, penggiat seni termasuk artis dengan rakan wartawan saling memerlukan. Terbabit dengan penganjuran konsert ini terus memperkuatkan lagi persepsi saya bahawa artis dan wartawan itu seperti isi dan kuku.
"Tak lupa juga kepada peminat rock muzik tempatan mahupun luar negara yang menjadi nadi penting kepada kami mempersembahkan konsert ini. Begitu juga dengan stesen radio Hot FM selaku penyiar rasmi, rakan penaja dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak," kata pelakon yang juga pengacara Melodi di TV3 itu.
Untuk membiarkan konsert ini terus ditunggu-tunggu, pihak penganjur memilih untuk tidak mendedahkan lagi giliran artis yang bakal membuat persembahan. Lebih afdal dibiarkan malam 25 Disember ini saja menceritakan momentun dan wajah sebenar yang bakal terjadi selama durasi sekitar tiga jam konsert berlangsung.
Tetapi sedikit pembayang boleh diberikan untuk menaikkan sedikit semangat buat peminat tegar empat wira rock ini. Dira atau nama penuhnya, Khaidhirah Abu Zahar dimaklumkan pihak produksi konsert mengenai beberapa judul lagu popular yang bakal dipersembahkan mereka.
"Saya belum pasti sama ada akan ada kolaborasi membabitkan keempat-empat mereka. Tunggu saja pabila malam konsert menjelma. Saya yakin deruan adrenalin setiap yang hadir akan terpompa saat melihat alunan muzik dan suara, gorengan gitar, ketukan dram dan pelbagai lagi bersatu.
"Faizal Tahir akan mempersembahkan lagu seperti Cuba, Bencinta dan Selamat Malam. Azlan & The Typewriter memilih lagu seperti Kelibat Si Penyair, Fobia, Lagu Untukmu dan tak ketinggalan lagu yang diberi nafas baru, Jeritan Batinku.
"Otai rock negara, Wings mempersembahkan lagu yang terus menyemarakkan semangat rock antaranya seperti Opera Hidup, Ranggi Metropolis, Taman Rashidah Utama, Sejati dan banyak lagi. XPDC pula memilih seleksi lagu Sakinah, Apa Nak Di Kata, Semangat Yang Hilang, Titian Perjalanan dan semestinya banyak lagi," kata isteri kepada pengarah fotografi, Mohd Helmi Mohd Yusof.
Sementara itu, jualan tiket konsert juga cukup memberangsangkan sambutannya hingga saat ini. Kepada yang belum mendapatkannya lagi, tiket berharga RM77 dan RM222 (VVIP) masih dijual. Urusan pembelian tiket boleh dilakukan dengan melayari www.tickethotline.com.my atau di talian, 03 7725 1177/ 03 77251166.
Ia juga boleh dibeli di stesen minyak Petronas terpilih. Malah sempena berlangsungnya Kuala Lumpur Bike Week (KLBW) 2011 di The Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang pada 23 dan 24 Disember, gerai jualan tiket turut dibuka.
Penjualan tiket pada hari Jumaat bermula dari jam 2.30 petang hingga 12 malam manakala Sabtu, kaunter tiket dibuka dari jam 10 pagi hingga 12 malam.
Full content generated by Get Full RSS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan