Nuffnang

Jumaat, 19 Oktober 2012

Azhan Rani - Google Blog Search

Azhan Rani - Google Blog Search


TV9 - Hayati Keikhlasan Aidil Adha

Posted: 17 Oct 2012 09:00 AM PDT

Hayati Keikhlasan Aidil Adha

Setiap kali menjelang Aidil Adha, pasti ianya mengimbas kembali tentang sejarah pengorbanan agong Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. Peristiwa ini telah banyak memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua umat Islam. Oleh itu, TV9 dengan temanya tahun ini, "Hayati Keikhlasan Aidi Aldha" telah menyediakan dua telefilem yang menyuntik tentang kisah pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran khusus buat penontonnya.

Pada malam Aidiladha, 25 Oktober, jam 8.30 malam, penonton akan dibawa menghayati telefilem berjudul 'Kiblat Rindu' lakonan Azhan Rani, Dian P.Ramlee, Fauziah Nawi, Wan Hanafi Su dan Mak Engku. Ianya menceritakan tentang kasih sayang dan pengorbanan seorang anak kurang upaya terhadap ibu dan juga ayah angkatnya. Aidil, yang dilakonkan oleh Azhan Rani sangat menyayangi ibunya Leha (Dian P. Ramlee). Walaupun dia tidak sempurna seperti anak-anak lain namun, Aidil amat menyayangi dan menghormati ibunya. Kehidupan mereka sangat bahagia sehinggalah Leha meninggal dunia dan menjadikan Aidil yatim piatu.

Mail amat bersimpati dengan nasib Aidil dan telah membawanya tinggal bersama. Isteri Mail iaitu Senah merupakan adik Leha. Kehadiran Aidil tidak disenangi oleh Senah. Setiap kali Mail keluar bekerja, Senah akan mendera Aidil tanpa belas kasihan. Ini membuatkan Aidil bertambah rindu dengan arwah ibunya. Hampir setiap hari Aidil menjenguk kubur ibunya dan menggenggam gambar ibunya sehingga menjadi lusuh. Jauh di sudut hati, Aidil menyimpan hasrat untuk ke Mekah kerana arwah ibunya dahulu sering mengatakan bahawa dia ingin pergi ke Mekah. Sehinggalah pada suatu hari apabila Mail pergi untuk menunaikan ibadah haji, Senah yang sudah terlalu membenci Aidil sanggup pergi ke Kuala Lumpur dan meninggalkan Aidil sendirian di sana. Kehidupan Aidil mula berubah apabila dia bertemu Pak Mat yang hampir dilanggar kereta. Pak Mat yang terhutang budi membawa Aidil pulang bersamanya lalu dijaga dengan baik oleh ahli keluarga Pak Mat. Walaupun nasibnya sudah terbela, namun impiannya untuk ke Mekah tidak pernah padam. Saksikan kesudahan perjalanan Aidil, insan istimewa yang ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah pada 25 Oktober ini, 8.30 malam.

Pada malam pertama Aidil Adha, penonton akan dihidangkan dengan sebuah lagi telefilem menarik berjudul 'Tasbih Yang Terlerai'. Tele-filem yang penuh syahdu ini membuatkan penonton menghayati makna sebenar sebuah pengorbanan. Drama yang dibintangi pelakon handalan seperti Syafie Naswip, Fatimah Abu Bakar dan Yatt Hamzah akan bersiaran pada 26 Oktober jam 8.30 malam. Di saat menanti hari bahagia untuk menimang cahaya mata pertama hasil 20 tahun perkahwinan mereka, Salmah (Fatimah Abu Bakar) kehilangan suami tercinta.

Pemergian Idrus telah membuatkan Salmah mengabdikan sepenuh kehidupannya untuk beramal ibadat dan membesarkan Muhammad (Syafie Naswip) dengan penuh kasih sayang. Kerana terlalu manjakan anak tunggalnya itu, akhirnya Muhammad membesar menjadi seorang remaja yang sangat nakal ditambah lagi pengaruh rakan-rakan sebaya. Kenakalannya sering kali merisaukan hati Salmah, namun dia tidak pernah putus berdoa agar Muhammad menjadi anak yang baik dan berguna.

Muhammad malu diejek oleh rakan-rakannya apabila Salmah sentiasa memberi teguran kepada orang-orang kampung untuk sentiasa melakukan kebaikan. Muhammad juga tidak senang apabila melihat Salmah sering menggunakan sejadah, Al-Quran dan tasbih yang sudah usang dan hampir rosak itu. Lebih menjengkelkan bagi Muhammad apabila dia disuruh untuk membaiki Al-Quran ibunya yang sudah usang.

Suatu hari, tasbih kesayangan Salmah putus ketika dia dalam perjalanan pulang dari masjid. Dalam gelap, Salmah terkial-kial mengutip bijian tasbihnya yang berselerak tetapi tidak berjaya. Salmah meminta supaya Muhammad untuk mencari bijian tasbih yang selebihnya, pada mulanya dia bersetuju. Tetapi dek kerana malu diejek rakan-rakan Muhammad dia berputus asa. Muhammad merasa marah mengapa tasbih itu tidak digantikan sahaja dengan yang baru. Mengapakah Salmah teramat menyayangi sejadah, Al-Quran dan tasbih yang sudah terlalu usang dalam simpanannya? Jawapan pada segala persoalan yang dipendam Salmah akan terjawab pada 26 Oktober ini jam 8.30 malam.

Sama-samalah kita Hayati Keilkhlasan Aidil Adha hanya di TV9!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan