Mila Jirin - Google Blog Search |
Cerita Artis: Mahu seimbangkan kehidupan - <b>Mila Jirin</b> Posted: 22 Feb 2013 04:33 AM PST SUDAH lama tidak melihat bekas juara program realiti tv, Akademi Fantasia musim ke lima ini beraksi di hadapan kamera. Malah, drama lakonannya juga sudah tidak kelihatan. Hanya drama terdahulu sahaja menampilkan dirinya. Itu pun semasa dia masih baru lagi menjadi juara. Bak kata orang, keropok lekor sedap makan panas-panas, bila sejuk sudah liat. Berkesempatan menemui Mila Jirin, 26, baru-baru ini semasa pra pelancaran Karnival Wow di Putrajaya, soalan apa aktiviti terbaru dan kemana dirinya menghilang diajukan. "Mila tidak hilang, masih membuat persembahan pentas dan aktif menyanyi tetapi mungkin sebab dah lama tidak keluar televisyen, itu yang ramai ingat saya sudah tidak aktif dalam bidang nyanyian," kata penyanyi yang nama sebenarnya, Norsyarmilla . Menurut Mila lagi, menyanyi memang menjadi keutamaannya dan tidak akan berhenti menyanyi selagi dia mampu melakukannya. "Mila bukan hanya menganggap menyanyi sebagai punca rezeki, tetapi kerana minat. Itu yang penting sebenarnya. Sebab itu Mila masih melakukan persembahan pentas. "Memang jaranglah nampak Mila di kaca televisyen, malah dalam akhbar pun dah lama tidak keluar sebab tidak ada cerita baru, tetapi rezeki Mila sebagai penyanyi tetap tidak putus-putus," jelasnya. Tambah penyanyi kecil molek anak kelahiran Pulau Mutiara itu, dia kini juga sedang fokus dalam kerjayanya sebagai usahawan melalui syarikatnya LuvMilla Corporations Sdn. Bhd. Tidak mahu memberi fokus pada bidang tertentu, dia sebaliknya lebih selesa untuk memberi keseimbangan pada kedua-dua bidang, kerjaya seni dan dunia perniagaan. "Mila tidak meletakkan keutamaan baik pada nyanyian atau perniagaan, sebaliknya fokus pada kedua-dua bidang. Biar ia gerak selari dan cara itu lebih baik sebenarnya. "Mila masih muda, masih banyak ruang dalam dunia perniagaan untuk menambah pendapatan. "Kerjaya sebagai seorang penyanyi ini kita tidak boleh menjangkakan apa-apa. Kita boleh berada di atas, dan bila-bila masa juga kita boleh jatuh. "Sebab itu saya ceburi bidang perniagaan. Sekurang-kurangnya, bila sesuatu terjadi, kita tidak perlu risau tentang kewangan dan perniagaan itu pasti akan membantu," ujarnya. Jelas Mila lagi, dia turut mengakui bahawa dunia glamor seorang artis perlulah selari dengan kewangan yang kukuh. Dalam pada itu, syarikat milik Mila itu kini sedang giat dalam bidang pengurusan acara. "Pada mulanya risau juga untuk berada dalam bidang pengurusan acara, tetapi lama-kelamaan selepas diberi kepercayaan, ia bukan lagi satu masalah," ujarnya. Buat lagu sendiri Tahun lalu menyaksikan Mila cuba menampilkan dirinya dalam bidang seni tanah air dengan album barunya, berjudul Mila Jirin. Namun, album itu tidak mendapat sambutan daripada para pendengar dan jualannya juga agak kurang memberangsangkan. Mila sendiri merasakan rasa duka citanya dengan perkembangan album tersebut yang dihasilkan sendiri oleh. Malah, stesen radio pun jarang memainkan lagu-lagu daripada album kedua Mila itu. "Pada mulanya memang rasa kecewa dan tertekan kerana kurangnya sambutan pada album kedua itu. "Tetapi bila fikir semula, tidak guna Mila hendak menyalahkan sesiapa atas kegagalan itu. Malah, ramai juga yang memberi sokongan pada saya untuk terus berkarya. "Mungkin sambutan yang kurang itu adalah kerana lagu saya itu yang memang tidak bagus. "Alhamdulillah, kini saya sedang dalam perancangan untuk menghasilkan album yang seterusnya," jelasnya. Tambah Mila, lagu-lagu yang bakal diterbitkan juga adalah lagu ciptaannya sendiri. "Mula-mula rasa tidak yakin juga bila hendak menghasilkan lagu. Tetapi bila dah siap dan bagi orang dengar, ramai yang cakap lagu itu okay," katanya. Tambahnya, dia juga tidak mahu terlampau cepat untuk menerbitkan album sebaliknya mahu mengambil masa yang secukupnya. "Saya tidak mahu terburu-buru dalam menghasilkan album seterusnya. Mungkin pengalaman lalu banyak mengajar saya," ujarnya. Jelasnya lagi, perancangan untuk melakukan muzik video juga akan dijalankan dengan kerjasama Nova Music. Tidak kisah dibandingkan Sudah hampir enam tahun Mila berada di dalam industri seni, tetapi namanya hanya naik ketika dia mula memasuki industri. Selepas itu, namanya semakin lama semakin tenggelam seolah ditelan dengan nama-nama bintang realiti lain. Kemunculan artis baru terutamanya penyanyi indie dan bintang YouTube selolah-olah menambahkan lagi kegelapan pada nama Mila. Namun, juara-juara wanita Akademi Fantasia seperti Stacy dan Adira masih kekal aktif jika hendak dibandingkan dengan Mila. Baginya, tidak apa yang menggusarkan hatinya mengenai perkara itu. "Semuanya terpulang pada rezeki dan saya sendiri percaya pada rezeki. "Mungkin sekarang bukan rezeki saya, tetapi akan datang tiada siapa yang tahu. Apa yang penting, usaha harus berterusan," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Mila Jirin - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan